Total Pageviews

Terlanjur Cinta -12-

Thursday, August 26, 2010

| | |
Bab 12

Zuhrin menarik nafas lega sebaik sahaja kapal terbang MAS mendarat. Dia juga seperti Nurin yang tidak suka terbang. Zuhrin tersenyum sendiri.

Enam jam penerbangan dari Adelaide ke Kuala Lumpur dan sejam penerbangan dari Kuala Lumpur benar-benar meletihkan. Ketika penerbangannya transit sejam di KLIA, Zuhrin di amuk resah apabila melihat jam di tangan. Keletihan dan kerinduan yang bercampur aduk benar-benar meletihkannya.

‘Di sini kita bertemu buat pertama kali dan di sini kita akan kembali bertemu untuk mencorakkan kehidupan kita agar lebih bererti.’ Masih terbayang di matanya, kekalutan Nurin mencari ruang kosong dalam penerbangan yang sama ke Kuala Lumpur.

Allah telah mencorakkan pertemuan mereka dengan amat indah. Kekalutan Nurin dan kejadian malang Nurin terlepas kapal terbang ada hikmahnya kepada mereka berdua.

Zuhrin melangkah dengan penuh semangat untuk mengambil bagasinya dan melepasi imigresen. Dia ingin segera menemui isteri yang amat dirinduinya. Langkahnya laju, seakan ingin berlari. Walaupun hanya dengan jeans biru lusuh dan baju T hitam yang sendat ke badan, langkah Zuhrin tetap menarik perhatian beberapa wanita yang dilaluinya. Namun dalam fikiran Zuhrin hanyalah Nurin. Sejak semalam tidurnya tidak lena hanya kerana rindu yang teramat sangat.

Nurin resah menanti Zuhrin muncul di balai ketibaan. Setiap saat yang berlalu bagaikan mendera hatinya. Terasa bagaikan ingin menangis. Nurin memeluk beg tangannya erat-erat, mengurangkan tekanannya.

Sekejap-sekejap, dia bangun dan mengintai di sebalik dinding cermin mencari kelibat suaminya. Keresahannya bagaikan menanti kelahiran anak sulung.

Tiba-tiba dia ternampak lambaian Zuhrin di sebalik dinding kaca yang memisahkan balai ketibaan Lapangan Terbang Bayan Lepas.

Nurin bergegas mendapat Zuhrin yang sedang melangkah keluar. Zuhrin tersenyum lebar, menarik tangan Nurin dari laluan.

Nurin menghulurkan tangan untuk bersalam. Zuhrin terkedu. Hatinya terasa sejuk. Salam Nurin bersambut, Nurin menunduk dan mencium tangan suaminya. Buat seketika Zuhrin rasa bagaikan terawang-awang, pelbagai perasaan di alaminya antara bahagia dan bangga sebagai suami.

Zuhrin memegang bahu Nurin. Nurin memandang sambil tersenyum. Zuhrin memeluk isteinya, erat. Perlahan-lahan Nurin membalas pelukan Zuhrin. Nurin menahan tangisan gembiranya. Tindakan spontan mereka agak menarik perhatian. Menyedari diri menjadi perhatian, Nurin cepat-cepat meleraikan pelukannya.

“We’re in Malaysia”. Nurin mengingatkan Zuhrin.

Mereka meninggalkan balai ketibaan dengan beriringan. Tangan kiri Zuhrin memaut erat pinggang Nurin, manakala tangan kanannya menarik bagasinya.

“Parking mana?” Zuhrin bertanya apabila Nurin tiba-tiba berhenti dan menyeluk poket seluar jean hitamnya.

Nurin hanya tersengih tanpa menjawab dan meneruskan berjalan sambil menarik tangan Zuhrin.

“Awak nak drive atau awak nak saya drive?” Zuhrin menjungkitkan bahunya apabila mendengar pertanyaan Nurin.

“Okeylah, memandangkan awak baru balik dan for sure masih penat…saya drive hari ni.” Nurin mendekati Honda Civic biru miliknya.

Zuhrin memasukkan bagasinya ke tempat duduk belakang dan mengambil tempat di sisi Nurin sebagai co-pilot.

‘Boleh tahan juga bini aku.’ Bagi Zuhrin yang hanya biasa dibesarkan dari keluarga yang sederhana, memandu kenderaan seperti Honda Civic hanya mampu diimpikannya sahaja. Kalau dapat memandu Proton Wira second-hand pun sudah besar rahmat padanya.

“Awak nak balik terus atau nak jalan-jalan dulu?” Nurin sudah menghidupkan enjin dan memasang penghawa dingin, untuk menyejukkan ruang kereta.

Walaupun cuaca malam sememangnya sudah sejuk, namun dek kerana gugup semuanya serba tidak kena.

“Kenapa saya nampak awak macam tak selesa?” Zuhrin perasankan perubahan Nurin yang tiba-tiba.

“Awak, sebelum kita balik ke rumah…pernahkan awak menyesal menikahi saya? Seorang yang tak pernah awak tahu asal-usulnya, seseorang awak tak pernah kenal.”

“I don't care who you are, where you're from…What you did, as long as you love me.” Zuhrin melagukan bait daripada lagu As Long As You Love Me yang dipopularkan oleh kumpulan Backstreet Boys.

Nurin mengukir senyum.

“Saat saya bulatkan fikiran saya untuk bersama awak, saya tak peduli lagi siapa awak kerana awak tak pernah pedulikan siapa saya. Saya seharusnya berterima kasih pada awak kerana memberi peluang kepada saya yang tak punya apa-apa untuk memiliki awak.” Zuhrin menggenggam jari Nurin, seakan menyalurkan semangat.

“Thanks.” Nurin membalas genggaman Zuhrin.

“Kita makan dulu, saya tak makan lagi. Saya tunggu awak.” Nurin mula menggerakkan keretanya dan menghala ke Padang Kota Lama.

Kata-kata Nurin bagaikan air sejuk mengalir di dalam hati Zuhrin. Ada rasa kebahagiaan apabila mendengar Nurin menunggunya untuk makan bersama.

“Sebelum kita balik, saya nak awak tau sedikit sebanyak asal-usul isteri awak ni.”

Selepas menikmati sotong kangkung, mereka bersidai seketika di tembok Padang Kota Lama.

“Dan saya juga nak awak mengenali saya.” Mereka berpandangan seketika.

Bayu malam yang menghembus terasa menyegarkan.

“Macam yang awak tahu, saya anak yatim piatu. Mama dan papa meninggal dunia dalam kemalangan kereta, semasa umur saya lima tahun. Saya kemudiannya di pelihara oleh ibu. Ibu adalah kawan baik mama dan papa. Tapi macam yang awak tahu, saya sebatang kara. Ibu juga dah meninggal dunia lima tahun lepas sebab breast cancer dan ibu tak pernah kahwin sebab takut suami dia tak dapat terima saya. Saya sayang sangat dengan ibu, kami terlalu rapat bukan setakat sebagai ibu dan anak tapi juga sebagai sahabat baik. Jangan tanya saya kenapa saya tinggal dengan ibu, bukan dengan keluarga mama ataupun papa sebab saya sendiri tak pernah kenal depa walaupun khabarnya mama dan papa memang orang Sungai Petani.” Nurin menyeka air matanya, dia sentiasa sedih apabila mengenangkan dirinya yang sebatang kara dan hidupnya dipenuhi dengan kesepian.

Zuhrin menyapu airmata isterinya.

“Keluarga yang saya ada hanyalah kakak-kakak yang tinggal di sebelah rumah saya. Hanya kepada merekalah saya bergantung harap selain daripada Didi dan keluarga. Sakit pening saya, merekalah yang ambil tahu. Saya sebatang kara.”

“Awak tak sebatang kara lagi. Awakkan ada saya.” Zuhrin menarik Nurin ke dalam pelukannya. Diusapnya lembut rambut si isteri.

“Saya pulak anak ketiga daripada lima adik beradik, anak lelaki bongsu. Abang saya yang sulung dah kahwin dengan pilihan keluarga dan la ni kerja dan tinggal di KL. Anak dah dua. Kakak saya pun dah kahwin, juga dengan pilihan keluarga. La ni dok kat Ambangan Heights dengan husband. Waktu kita kenai dulu, saya balik untuk kenduri kahwin dia la. Saya pun dah kahwin…tapi dengan pilihan sendiri.” Kata-kata Zuhrin disambut dengan cubitan di pinggangnya.

“Awak ni…” Nurin tersipu malu apabila diusik Zuhrin begitu.

“Keluarga saya agak keras dalam memilih menantu. Semua menantu adalah pilihan mereka sendiri. Maafkan saya kerana tak berterus-terang tentang ni, tapi saya rasa awak harus tahu…untuk bersedia. Orang tua saya sebenarnya dah ada pilihan untuk saya. Anak kawan baik depa. Tapi, saya yakin dengan jodoh kita. Insya-Allah, saya akan terus pertahankannya.” Nurin diamuk resah.

“Jangan risau, jangan fikir banyak selagi kita tak harus berdepan dengannya.” Zuhrin tak mahu Nurin membebankan fikirannya.

Nurin mengangguk lemah.

“Mak ayah saya menyara keluarga dengan meniaga nasi campur di pasar-pasar malam. Keluarga saya tak senang, sekadar cukup makan pakai dan untuk belajar.” Zuhrin sedikit termenung apabila teringatkan kedua ibubapanya yang kuat memerah keringat untuk membesarkannya adik beradik.

“Saya harap, awak dapat faham keadaan saya kalau saya terpaksa berkorban untuk membantu meringankan beban mereka. Saya masih ada dua orang adik perempuan yang masih belajar. Seorang di UUM dan yang bongsu di MRSM Beseri.” Tambah Zuhrin.

Nurin menganggukkan kepalanya.

‘Aku sebenarnya teringin mengenali keluarganya sebab aku sendiri tak punya keluarga. Aku rindu pada kasih sebuah keluarga.’ Sempat Nurin bermonolog sendiri.

“Kita balik nak?” Ajakan Zuhrin disambut Nurin dengan melihat jam dipergelangan tangan.

“Ha…dah pukoi 2 pagi?” Zuhrin menganggukkan kepalanya sambil tersenyum nakal.

Nurin mengetapkan bibirnya apabila Zuhrin mengenyitkan matanya. Zuhrin ketawa melihat Nurin yang geram dengan kenakalannya.

Mereka berjalan beriringan kembali ke kereta. Nurin memandu pulang, kerana sampai saat ini Zuhrin tidak pernah tahu alamatnya.

Nurin memandu melalui lebuhraya dari Pulau Pinang dan keluar melalui Sungai Petani Utara.

“Rumah awak kat mana?” Zuhrin meletakkan tangannya ke atas peha Nurin.

“Bukan rumah awak…rumah kita.” Nurin memperbetulkan Zuhrin.

Zuhrin hanya tersengih.

Nurin meneruskan perjalanan menghala ke selatan sebaik sahaja keluar dari lebuhraya. Namun Nurin membiarkan soalan Zuhrin tanpa jawapan.

Beberapa minit kemudian, Nurin membelok masuk ke Lagenda Heights yang berhadapan dengan Taman Ria. Lagenda Height merupakan kawasan yang sedang membangun, ditambah pula dengan kehadiran Tesco yang menghidupkan lagi kawasan disekelilingnya.

Nurin meneruskan pemanduannya ke blok-blok rumah teres dua setengah tingkat. Zuhrin hanya mampu menahan debar di hatinya. Sebagai seorang yang juga berasal dari Sungai Petani, Lagenda Heights merupakan kawasan kediaman yang agak mewah. Harga untuk sebiji banglo pun dah hampir tiga suku juta.

Akhirnya Nurin menghentikan keretanya di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat. Punat alat kawalan jauh untuk pintu pagar ditekan. Nurin memarkir kereta bersebelahan Rexton II dan sebuah Honda City hitam. Zuhrin menarik nafas panjang, bagaikan menahan sesuatu di dalam dada.

“Dah sampai.” Nurin bersuara perlahan apabila melihat Zuhrin yang bagaikan terkejut.

Zuhrin mengukir senyuman, namun Nurin dapat merasakan kehambaran di sebalik senyuman itu.

Mereka melangkah turun. Zuhrin melihat ada pintu pagar kecil yang menghubungkan rumah Nurin dengan rumah di kiri kanannya. Kedua-duanya berkunci dari sebelah bahagian rumah Nurin. Tanpa memperdulikan Zuhrin, Nurin membuka pintu untuk melangkah masuk. Zuhrin juga membuntuti isterinya.

Nurin merasakan langkahnya bagaikan tidak kena. Ada sesuatu yang bertaburan di lantai rumahnya. Cepat-cepat Nurin membuka lampu. Nurin memandang Zuhrin sambil tersenyum.

Sepanjang laluan dari pintu ke tangga, hingga ke katil ditaburi dengan mawar merah. Haruman mawar merah menyerbak ke seluruh rumah. Zuhrin memandang Nurin dengan rasa terharu.

“Awak buat semua ni?” Nurin cepat-cepat menggelengkan kepalanya menidakkan soalan Zuhrin.

Nurin bergerak ke katil apabila melihat sekeping kad bersampul merah terletak di atasnya bersama sekuntum mawar merah. “Surprise…!!! Babe, all the best. Idea ni dari aku, tapi yang kerja keras untuk mrealisasikan idea aku ialah staf-staf hang. Don’t worry about the mess. Just enjoy it. Esok kami kemaskan, lagipun semua orang dah tak sabar nak jumpa Prince Charming hang. Ciao.” Nurin tersenyum sendiri.

0 comments:

Followers