Total Pageviews

Terlanjur Cinta -4-

Monday, August 9, 2010

| | |
Bab 4

Nurin berteleku seketika di tikar sembahyang. Bermunajat kepada Allah yang Maha Besar. Hanya kepada-Nya sahajalah tempat Nurin mengadu, selepas ibu meninggalkannya sendirian di alam yang fana ini.

Kedinginan bumi China menambahkan lagi kesunyian yang mencengkam jiwanya. Dua minggu di Dongguan, dia makin memahami rentak hidup masyarakat sini. Masih dia terbayang, saat dia melangkah turun dari keretapi di Stesen Keretapi Dongguan semua mata memandang berkali-kali kepadanya. Seakan melihat makhluk asing turun dari kapal angkasa. Hanya kerana perwatakannya yang bertudung. Tapi sekarang, dia tidak peduli lagi dengan pandangan-pandangan mereka apabila dia keluar berjalan-jalan ataupun ke mana sahaja asalkan luar dari biliknya. Dia cuma fikirkan keselamatannya sahaja. Menurut teman-teman yang dikenalinya di sini, Dongguan merupakan kawasan yang tidak selamat terutamanya kepada orang asing sepertinya. Rompakan berlaku setiap hari dan bagaikan rutin yang terpaksa dilalui kebanyakan penduduk sini.

Nurin sentiasa bergerak pantas, seakan mahu berlari dan tidak membawa beg sandangnya bersama. Semua barang termasuklah paspot, beg duit dan telefon bimbit disumbat ke dalam poket seluar. Langkahnya semakin besar apabila melintas tempat berkumpul kumpulan motor tumpang ataupun dikenali juga sebagai teksi motorsikal. Renungan mereka sentiasa menakutkannya. Selalunya, Nurin hanya berkunjung ke pasaraya Rainbow yang berada dihujung jalan yang menempatkan hotel New Century yang didiaminya untuk mendapatkan bekalan makanan seperti buah mahupun jus. Jarak pasaraya itu dengan hotel hanyalah lebih kurang seratus meter. Selain daripada itu, Nurin pernah menikmati hidangan makanan Hunan di sebuah restoran kaum itu bertentang dengan pasaraya Rainbow. Menikmati hidangan kepala ikan yang besar dikukus bersama cili yang banyak, ketam yang dikukus dengan telur, udang yang dikukus sendirian dimakan bersama nasi terasa terlalu sedap kerana susah untuk mendapatkan makanan yang boleh dijamahnya.

Nurin pening melihat lalulintas di bandar industri ini, semua pemandu mahu cepat dan hon dibunyikan sepanjang masa. Seakan hon siapa yang besar, dialah yang kuat. Dia bertambah pening apabila tiba di bulatan, kalau di Malaysia pemandu akan melewati bulatan dengan mengikut arah jam tapi berbeza dengan Dongguan kerana mereka memilih laluan mana yang lebih dekat tanpa mengira arah mengikut atau melawan arah jam. Semua perbuatan itu adalah betul kecuali jika berlakunya kemalangan.

Nurin yakin dia takkan mampu untuk terus menetap disitu untuk jangkamasa yang lebih lama. Oleh kerana itu, dia lebih suka berada dibiliknya sambil menikmati DVD yang mudah diperolehi dari kedai-kedai di sekitar hotel.

Hari ini, sekali lagi dia akan mengharungi hari minggu yang bakal menyeksakan jiwanya dengan kebosanan. Usai solat subuh, Nurin menghadap komputer ribanya. Sambil membaca akhbar tempatan melalui internet, Nurin menghiburkan hatinya dengan lagu-lagu melalui MP3. Terubat juga kesunyian dan kerinduannya pada Malaysia apabila dapat meluangkan masanya mengambil tahu keadaan tanahairnya yang tercinta.

Sempat Nurin membaca pesanan ringkas Zuhrin melalui email. Nurin menghidupkan Yahoo Messenger ( YM ) yang menjadi medium perbualan mereka berdua. Walaupun mereka berjauhan beribu batu, Nurin terasa dekat dengan Zuhrin. Dia benar-benar senang apabila dapat meluangkan masa bersama Zuhrin walaupun hanya di alam maya.

Semenjak hari pertama dia menghuni bilik ini, dia tidak pernah mematikan televisyen mahupun lampu walaupun pada waktu tidur. Sememangnya ia satu pembaziran, tetapi dia lebih takut pada kesunyian daripada pembaziran.

Akhirnya, dia terlelap lagi dek kedinginan pagi dan juga kesunyian. Baru sahaja setengah jam Nurin kembali terlena, dia dikejutkan dengan bunyi loceng pintu. Dengan malasnya dia bangun dan membuka pintu.

“Ni hao.” Sapa dua orang pekerja hotel.

“Ni hao.” Balas Nurin kembali.

“Room service?”

“No, thank you.” Nurin menolak dengan sopan kerana dia mahu bermalas-malasan tanpa diganggu lagipun biliknya masih dalam keadaan yang teratur.

Mereka meninggalkannya dan berlalu ke bilik lain untuk meneruskan tugas mereka hari ini.

Nurin bercadang mahu merendamkan badannya ke dalam air panas, untuk melegakan badannya yang penat dan stress selama dia berada di bumi China.

Belumpun sempat dia melangkah ke meja solek untuk mengambil minyak aromaterapi yang bakal di campurkan dengan air mandian, loceng biliknya berbunyi lagi.

“Apa lagi, depa ni?” Omel Nurin sendirian.

“Nak ambil laundry kot.” Nurin membuat telahan.

Sebaik sahaja pintu dibuka, seseorang menerkam masuk. Nurin yang berada di balik pintu jatuh terduduk.

Menyirap darah Nurin apabila menerima layanan sebegitu. Tapi…

“Hai, babe. Rindunya aku…” Pelukan dan ciuman bertalu-talu daripada Didi menyejukkan kembali hatinya.

“Ya Allah, yang. Nasib baik aku tak kena sakit jantung.” Nurin membalas pelukan Didi.

Terlerai rasanya rindu mereka.

Mereka beriringan kembali ke ruang rehat bilik. Didi terus melontar badannya ke katil dan Nurin mengambil tempat disisinya.

“Awat mai tak bagitau?”

“Saja, aku nak surprise hang. Aku sampai Hongkong petang semalam, nak terus ke sini aku tak confident. So aku stay satu malam kat sana, I took the earliest train today.” Terang Didi satu persatu.

“Lama mana hang cuti?” Bagai tak percaya melihat Didi berada di sisinya.

“Aku ambil cuti sebulan. Aku ingat nak temankan hang.”

“Betul ni?” Nurin bagaikan tidak percaya.

“Yes, baby.”

“Sayangnya aku dekat hang.” Nurin memeluk Didi dengan erat.

Didi membalas pelukan Nurin.

‘Aku sanggup buat apa saja, asalkan hang bahagia.’ Sayangnya Didi pada Nurin tidak terungkap dek kata-kata.

Kejutan Didi memang tidak diduganya. Nurin berlalu dari sisi katil untuk menyediakan minuman panas buat Didi. Didi juga meninggalkan katil dan melabuhkan punggungnya di meja solek, membelek komputer riba Nurin.

“Wei, ada mesej.”

Sambil membawa minuman teh hijau panas, Nurin mendapatkan Didi. Dia tahu, siapa yang menghantar mesej padanya.

Didi menyambut cawan yang berisikan teh itu.

“Zuhrin?” Bisik Didi di telinga Nurin.

Nurin terasa mukanya panas. Malu.

‘Awai pulak pakcik ni bangun hari ni.’ Bebel Nurin seorang diri.

Didi terasa senang sekali apabila melihat Nurin mula menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki. Terasa bagaikan Nurin mula keluar dari kepompongnya dan mula mengenali dunia. Didi tersenyum sumbing melihat Nurin yang malu-malu.

“Good morning, princess.” Usik Didi sambil membaca pesanan Zuhrin melalui YM.

“Sapa Zuhrin ni?” Didi cuba mengorek rahsia.

“Sorry la. Aku tak sempat nak cerita kat hang lagi. Aku pun baru ja kenai dia.” Tergagap-gagap Nurin cuba menerangkan kepada Didi.

“Cool.” Didi teruja.

0 comments:

Followers