Bab 35
Zuhrin bersandar di dinding sambil berbual kosong bersama
ayah, bapa-bapa saudara dan sepupu-sepupu lelakinya. Perbualan bertambah rancak
apabila dihidangkan dengan kopi panas dan makanan ringan seperti kacang.
“Murah rezeki
hang no, Ayen. Balik-balik saja teruih
dapat kerja. Orang lain melambak-lambak dok tanam anggoq lagi.” Pak Tam menepuk
bahu Zuhrin.
“Alhamdulillah, rezeki.” Zuhrin sememangnya amat
bersyukur kerana Zaim memberinya peluang sebelum dia kembali ke tanahair lagi.
‘Rezeki isteri dengan anak-anak.’ Sambung Zuhrin di dalam hati.
Dia tak sangka perbualan singkat dengan Zaim semasa
kenduri di rumah Nurin menyambut kepulangannya balik ke Malaysia sewaktu cuti
yang lalu membuahkan rezeki. Panggilan telefon daripada Zaim kepadanya di
Adelaide memberi ruang kepadanya untuk berfikir dan merebut peluang yang ada.
Gaji yang ditawarkan juga lumayan. Allah membukakan pintu rezeki kepadanya
selepas perkahwinan mereka.
“La ni kan susah nak dapat kerja. Ingatkan lepas Ayen
balik dari Australia, dia kena tolong kami meniaga dulu.” Ayah menyampuk, terselit
rasa bangga di hatinya dengan kejayaan anak lelaki bongsunya itu.
“Tu maknanya, bolehlah kahwin cepat.” Usik pak cik.
Pak cik merujuk kepada pertunangannya dengan Iffah yang
telah lama dilangsungkan.
Zuhrin ternganga. Nurin yang berada tidak jauh daripadanya
juga tersentak. Reaksi Zuhrin mengundang gelak tawa semua. Zuhrin sempat
melempar pandang kepada Nurin, dia perasankan reaksi Nurin yang berubah. Zuhrin
tak sedap hati. Dia takut Nurin terluka, tambahan pula Nurin amat dikenali
sebagai seorang yang suka menyimpan perasaannya sendiri mungkin kerana sudah
terbiasa hidup sendirian.
“Hang ni. Orang suruh nikah macam suruh makan racun.” Pak
Long menepuk paha kiri Zuhrin apabila melihat wajah kelat Zuhrin.
Zuhrin menelan liur apabila melihat Nurin beredar. Nurin ke dapur,
membantu apa yang patut. Dia tak mahu mendengar
perbualan mereka tentang perkahwinan suaminya dengan wanita lain. Hatinya
terluka, pedih. Baru sekejap Nurin ke dapur untuk membantu menyusun pinggan
mangkuk yang di cuci maksu, Nurzaiham menangis.
Cepat-cepat Zuhrin bangun dan mendapatkan puteranya.
Nurzaiham terdiam sebaik sahaja berada di pangkuan Zuhrin. Nurin tak jadi ke
ruang tamu apabila mendengar tangisan anaknya yang mereda.
Zuhrin kembali ke kelompok mereka sambil meriba
Nurzaiham. Zuhrin mengacah Nurzaiham. Telatah mereka menarik perhatian semua.
“Jaga budak pun pass
dah. Hm...boleh nikah dah ni.” Usik Pak Long lagi.
“Bukan takat boleh nikah, dah boleh jadi pak orang dah
ni. Untung
budak Iffah tu no.” Gurauan Pak Tam hampir membuatkan Zuhrin termengkelan.
“Lepaih ni, kita
berkumpul ramai-ramai balik kenduri hang nanti la kot no.” pakcik menambah
perisa.
Zuhrin terasa mukanya panas. Dia serba salah, dia juga
takut Nurin terluka andai perkara ini sampai ke telinga isterinya. Walaupun Nurin
mengetahui tentang rancangan ibubapanya, namun Nurin masih belum tahu tentang
ikatan pertunangan antaranya Iffah yang telah termetri sekian lama.
“Benda lambat lagi, tak payah pikiaq lagi la.” Zuhrin
mengambil jalan selamat.
Kata-kata Zuhrin disambut dengan gelak tawa semua.
“Mak la ni bukan main seronok lagi bila dapat jumpak
Nurin.” Pak Long berkata apabila melihat tok meriba Nurzaihani sedangkan
Nurzaiham masih di atas ribaan Zuhrin.
“Alhamdulillah, mak syukur sangat. Walaupun mak tak dapat
tengok depa nikah, tak dapat jaga Anis dalam pantang sekurang-kurangnya mak
berpeluang jaga Nurin dengan cicit-cicit mak.” Tok tersenyum, bahagia.
“Dah kahwin lari dengan tunang orang, mana berani balik.”
Mak Zuhrin menyindir sinis.
Zuhrin tersentak.
“Benda dah lepaih, tak payah la ungkit. Orang-orang tu
pun dah takdak.” Ayah cuba meredakan suasana.
Sebagai seorang suami, sebenarnya ayah agak terasa. Mak
masih berdendam kepada adiknya sendiri kerana merampas tunangnya. Selepas
berpuluh tahun berkahwin, isterinya masih belum dapat memaafkan adiknya,
bagaimanakah perasaannya sebagai seorang suami?
Mak menarik muka masam.
“Itu yang dikatakan jodoh.” Mak Long cuba
meredakan suasana.
“Bila suami Nurin balik, mak?” Pak Long mengubah topik
perbualan mereka, dia tak mahu suasana yang meriah bertukar tegang.
“Tak tau lah. Bila mak tanya dia, dia kata nanti dia akan
kenaikan kita semua dengan suami dia.” Tok tak dapat menyembunyikan keinginan
hatinya untuk mengenali suami cucu yang kini menjadi cucu kesayangannya.
“Kalau la dia tak nikah lagi, kan baguih kita nikahkan
dengan Ayen.” Kata-kata tok walaupun perlahan, sempat ditangkap oleh telinga
yang lain.
“Awat pulak Ayen?” Ayah bertanya pantas.
“Sebab kisah lama perlu diselesaikan. Tak taulah, hati
mak berkenan betoi bila tengok depa dua.” Suara tok masih perlahan.
“Tapi sayangnya Nurin dah kahwin, dah ada dua anak dah
pun.” Tok mengeluh.
Zuhrin termengkelan.
‘Tok ni, tau apa-apa ka?’ Fikirannya celaru, hatinya berdebar.
“Apa yang penting, depa hidup bahagia. Lagipun Ayen kan muda
empat tahun dengan Nurin tu.” Ayah cuba memujuk hati mertuanya.
Tok mengangguk-anggukkan kepala, setuju. Apa yang
penting, cucu-cucunya hidup bahagia.
Nurin kembali ke ruang tamu bersama maksu dengan menatang
goreng pisang. Dia senang bersama maksu yang hanya tua dua tahun daripadanya.
Sememangnya mereka sekepala. Berpantang di rumah tok juga mengeratkan hubungan
mereka, terasa bagaikan kakak sendiri.
“Wah, ralit la kita menyembang macam ni.” Kata-kata Pak
Tam di sambut dengan tawa yang lain.
Nurin dan maksu berpandangan.
“Nurin tidoq sini lagi malam ni?” Tok bertanya lembut.
Nurin mencuri pandang kepada Zuhrin. Zuhrin juga kelu.
“Tak apalah, tok. Malam ni saya balik rumah saya lah.
Bukan jauh mana, dekat ja.” Nurin cuba menolak dengan baik.
“Alah, balik rumah pun bukannya ada sapa. Lagipun,
malam-malam nak balik dengan anak-anak kecil kan ke susah.” Mak Long menambah.
Semua yang ada mengiyakan kata-kata Mak Long. Nurin serba
salah. Dia tahu, dia tak punya pilihan untuk menolak. Dalam sekilas dia nampak Zuhrin
menganggukkan kepalanya perlahan. Nurin tahu, dia terpaksa akur untuk bermalam
semalam lagi.
Tok
riang kerana dapat menghabiskan masanya bersama anak cucunya. Nurin melepaskan
keluhan dalam diam, dia rindukan suaminya.
0 comments:
Post a Comment