Bab 5
“Macamana dengan kerja hari ni?” Zuhrin masih di meja belajarnya.
Berbual dengan Nurin melalui YM sambil belajar bukanlah perkara asing dalam hidupnya semenjak mengenali Nurin.
“Sibuk, macam selalu. Saya baru balik kerja. Stress sikit hari ni. Macam-macam masalah dekat production.” Luah Nurin sambil mengeluh sendirian apabila melihat jam tangannya sudah menunjukkan pukul sebelas malam.
“Tak apa, esok cuti. So boleh tidur lama sikit esok.” Pujuk Zuhrin.
Nurin tersenyum sendiri. Didi sudah terlena ketika dia pulang kembali menyambung tidurnya selepas membuka pintu buat Nurin.
“Awak tak sibuk?” Nurin membalas soalan anak muda yang jauhnya beribu batu itu, namun terasa begitu dekat.
“Macam biasa saja. Routine. Sibuk dengan kuliah dan assignment. Biasalah student.” Zuhrin masih terbayangkan raut wajah Nurin yang redup.
“Tak sibuk dengan girlfriend?” Usik Nurin.
Nurin mengenakan pakaian tidurnya sebaik sahaja selesai mandi. Cemburu melihat Didi yang telah nyenyak.
Zuhrin kelu melihat mesej Nurin.
‘Kalau aku katakan aku dah jatuh cinta pada dia…adakah dia akan percaya?’ Zuhrin berperang dengan dirinya.
Nurin meregangkan otot-ototnya sambil membuat senaman ringkas dan ringan, sekadar untuk melegakan otot-ototnya yang kejang kerana tekanan kerja.
“Macamana saya nak luangkan masa untuk girlfriend kalau saya sendiri tak tahu macamana nak beritahu pada dia.” Nurin tersentak.
‘Melepaslah aku. Dah ada buah hati rupanya mamat ni.’ Nurin mengeluh perlahan.
Dalam diam, dia mula menyimpan hati pada Zuhrin. Namun dia tak punya kekuatan, dia takut kepada kegagalan. Kesunyian, buatkannya bertambah takut. Selama inipun dia telah berikrar untuk tidak jatuh cinta dan menjalinkan hubungan cinta sebelum berkahwin.
‘Apakah aku akan mungkir pada janji yang aku buat pada diri aku selama ni?’ Nurin bermonolog sendiri.
“Apa susah, terus-terang sajalah. Kalau lambat, nanti melepas.” Nurin cuba menyembunyikan gelora hatinya dengan memberikan nasihat kepada Zuhrin.
Mudah untuk menyembunyikan gelora hati bila tidak bertentangan mata. Kalau tidak, pasti dia takkan mampu. Mukanya terasa panas dengan tiba-tiba. Nasib baik Didi tidur. Kalau tidak, masak dia digulai dek Didi. Nurin tersenyum sendiri.
Zuhrin menconteng kertas di hadapannya tanpa arah. Dia membaca mesej Nurin berulangkali. Cuba mencari kekuatan dan semangat.
“Berterus-terang?” Zuhrin bertanya sendiri.
‘Tapi, siapalah aku yang nak digandingkan dengan dia? Aku hanya anak seorang peniaga pasar malam, masih belajar sedangkan dia sudah gagah membina nama dalam kerjaya.’ Zuhrin mengeluh sambil mengusap-usap tengkoknya sendiri.
“Kalau saya katakan saya dah jatuh cinta pada awak? Awak percaya?” Zuhrin cuba mengatakannya dalam gurauan.
Nurin yang sedang meneguk air suam kosong hampir tersedak. Hatinya berdebar-debar.
‘Gurauan apakah ni?’ Nurin menarik nafas, cuba untuk bertenang.
“Dengan saya? Pandai awak buat joke. Awak kena cari perempuan yang cantik, supaya sepadan bila berjalan dengan awak.” Nurin cuba meredakan gelora hatinya.
Mujurlah mereka berbicara menggunakan internet, kalau tidak Nurin tidak tahu bagaimanakah mahu bereaksi kepada Zuhrin. Mana hendak disorokkan mukanya?
“Ataupun saya yang tak layak untuk awak?” Zuhrin cuba memprovok Nurin.
Nurin tersentap.
“Saya tak pernah meletakkan sebarang kriteria kepada bakal suami saya. Jangan main-main lagi soal hati” Tegas Nurin.
“Saya tak main-main. Saya sukakan awak. Saya dah jatuh cinta pada awak sejak saya nampak awak di airport Penang. Awak ingatkan, awak beratur belakang saya dengan kawan-kawan.” Nurin terkedu.
Barulah dia teringat, Zuhrin bersama dua orang lagi temannya semasa di Lapangan Terbang Bayan Lepas.
“Kenapa saya?” Nurin tidak tahu bagaimana mahu menangani Zuhrin. Dia gugup, tanpa pengalaman menangani lelaki dalam soal perasaan.
“Maafkan saya, saya berangan terlalu tinggi. Saya lupa, kita terlalu jauh berbeza. Awak dah berjaya sedangkan saya masih terkial-kial mencari ruang untuk meneruskan hidup.” Zuhrin bagaikan tersedar dari mimpinya.
Hati Nurin terasa sayu, liur ditelan terasa pahit.
“Sebagai seorang lelaki, semudah itu awak mengalah?” Nurin pula cuba memprovok Zuhrin.
Zuhrin menelan liur.
‘Apakah dia juga rasa apa yang aku rasa?’ Zuhrin berfikir sendiri.
“Kalau awak sukakan seseorang, awak tak boleh mengalah dengan terlalu cepat. Macamana awak nak pertahankan satu hubungan kalau awal-awal lagi awak dah angkat bendera putih. Katakan pada dia, betapa awak cintakan dia.” Nurin benci kepada orang yang cepat mengalah.
“Awak sudi menerima saya sebagai teman lelaki?” Zuhrin cuba berlagak gentleman.
Nurin yang sudah mengantuk kembali segar apabila membaca mesej Zuhrin.
“Awak masih mahu bermain?” Nurin cuba menidakkan apa yang dibacanya.
“Saya takkan bermain soal hati. Saya sukakan awak. Saya nak lebih mengenali awak, untuk bersama awak.” Zuhrin semakin berkeyakinan.
“Maafkan saya, saya tak boleh walaupun saya juga sukakan awak. Saya punya pendirian saya sendiri.” Nurin sendiri terkejut dengan taipan luar sedarnya, mengakui perasaan sendiri.
“Apa maksud awak?” Zuhrin tidak sabar.
Nurin tahu, dia tak boleh berpatah balik.
“Saya dah berikrar selama ni, saya takkan bercinta sebelum berkahwin. Mungkin kedengaran kolot pada awak, tapi saya lebih perlukan seorang suami daripada seorang kekasih.” Tegas Nurin.
“Apakah awak sedang menolak cinta saya?” Zuhrin merenung foto Nurin yang dibingkaikannya.
Foto yang dihantar oleh Nurin melalui email, mereka bertukar foto di minggu pertama perkenalan mereka.
“Saya menolak kalau awak ingin bercinta. Tapi tidak kalau awak ingin berkahwin dengan saya.”
Zuhrin bingung.
“Saya seorang wanita, saya juga sukakan awak. Tapi maaf, saya tak perlukan kekasih tapi saya lebih memerlukan seorang suami.” Nurin mengulangi pendirian hidupnya dengan lebih tegas.
Nurin amat mengimpikan seorang lelaki bergelar suami untuk mengisi hatinya dan anak-anak untuk membahagiakan kehidupannya yang sudah sekian lama kosong.
“Awak tahu kemampuan saya. Mana mungkin saya mampu untuk melangsungkan perkahwinan sekarang. Tambahan pula dengan pengajian saya di tahun akhir.” Zuhrin cuba berfikir secara waras.
“Saya tahu, segalanya macam tak masuk akal. Tapi kalau awak betul-betul sukakan saya, kita kahwin. Tentang saya awak tak perlu risau, saya anak yatim piatu dan tiada keluarga. Awak cuma perlu fikirkan keluarga awak. Jangan lupa Zuhrin, beza usia kita empat tahun. Saya lebih tua daripada awak.” Nurin mengingatkan Zuhrin sebelum Zuhrin memberi kata putus.
Zuhrin terasa bagaikan sedang bermimpi.
‘Apakah aku sedang dipermainkan?’
“Awak serius?” Zuhrin cuba mendapatkan kebenaran.
“Soal nikah kahwin bukan soal yang boleh dibuat main.” Nurin sendiri tidak menyangka dia seberani ini.
“Saya sukakan awak. Saya cintakan awak. Tapi untuk buat keputusan sebesar ini, saya perlu berfikir, masak-masak.” Zuhrin takut dia tak mampu memberikan kebahagiaan dan kehidupan kepada Nurin.
“Fikirkanlah. Keputusan saya muktamad. Hubungi saya, bila awak dah ada jawapannya. Assalamualaikum.” Nurin memutuskan perbualan mereka.
Jam di hadapannya sudah menginjak ke pukul 3.15 pagi. Nurin berasakan matanya berat. Perlahan-lahan dia merebahkan diri ke sisi Didi sambil memeluk temannya yang paling akrab.
Obsession with Maroon
2 years ago
0 comments:
Post a Comment