Total Pageviews

Terlanjur Cinta -6-

Friday, August 13, 2010

| | |
Bab 6


Zuhrin membaringkan tubuh ke atas katil bujangnya. Otaknya ligat berfikir, bagaikan kipas siling yang sedang berputar. Masih terbayang di matanya, saat pertama dia terpandangkan Nurin.

Dalam kekalutan, Nurin masih kelihatan manis di matanya. Zuhrin bingung dengan perasaannya. Dia ingin memiliki Nurin, tapi bagaimana? Dia takut kehilangan Nurin, tapi untuk menyunting wanita muda itu sebagai isteri…mampukah dia?

‘Makan pakai aku di sini pun orang yang taja. Macamana aku nak bela bini dengan anak-anak? Bukannya lama, setahun saja lagi pengajian aku. Tapi, macamana kalau dia tak mau kawan dengan aku lagi?’ Zuhrin gagal melelapkan matanya. Fikirannya kusut, benar-benar kusut.

Mujurlah dia tak punya kelas esok.

‘Aku boleh buat part-time job kat sini. Kalau dia sanggup susah payah dengan aku dan terima aku seadanya, dialah jodoh aku. Tapi macamana dengan orang tua aku?’ Satu lagi persoalan yang mengganggu fikirannya.

Sudah tiga hari Zuhrin berfikir, namun dia belum ketemu jawapannya. Hatinya mahu, namun akalnya seakan menghalang. Dia buntu. Bagaimana mahu berhadapan dengan keluarganya.

Nurin merenung kosong ke skrin komputer ribanya. Zuhrin masih membisu. Nurin pula sudah bulat hatinya selepas tiga malam menunaikan solat sunat istikharah. Dia yakin dengan keputusannya.

Penat bermenung, Nurin meneruskan kerjanya sehingga lewat malam. Seperti biasa Nurin kembali lewat ke hotel penginapannya.

‘Lagi dua minggu, aku akan balik. Bosannya, Didi pun dah balik.’ Nurin mengeluh lagi apabila melihat kamar yang kosong tanpa kelibat dan gurau senda Didi.

Kesunyian sedikit terubat dengan kehadiran Didi yang sudi menemaninya. Mereka menghabiskan cuti hari minggu bersama, menjelajah bumi China. Sempat juga mereka meluangkan masa untuk menikmati pemandangan indah di Shenzhen dan terbang ke Beijing untuk melawat keindahan bandar perlancongan itu termasuklah Kota Larangan dan kehebatan Tembok Besar China.

Kunjungan ke Beijing yang mempunyai keluasan 20 kali ganda daripada Kuala Lumpur tidak sah jika tidak melawat Forbidden City atau Istana Larangan yang meliputi keluasan 72 hektar. Berada di Forbidden City atau Kota Larangan di tengah bandar Beijing, China seolah-olah kembali ke zaman silam kegemilangan empayar maharaja China yang dianggap dewa di kalangan rakyat. Dengan keluasan 720,000 meter persegi, kompleks istana itu merupakan yang terbesar di dunia. Pada 1977, istana itu telah disenaraikan sebagai ‘Tapak Warisan Dunia’. Nurin tidak dapat menggambarkan dengan kata-kata bagaimana istana yang begitu luas dan besar mampu dibina dalam tempoh 14 tahun dan dikatakan menggunakan seramai 200,000 tenaga buruh. Dia dan Didi terlalu kagum dengan apa yang dilihat sambil mulut mengucapkan Subhanallah mengkagumi ciptaan makhluk Allah.

Pada zaman dulu, rakyat tidak dibenarkan memasuki Kota Larangan, kecuali pembesar istana atau gundik, itu pun jika ada urusan atau dengan kebenaran maharaja. Namun kini, sesiapa saja boleh melawat dan menikmati keindahannya. Istana Larangan itu tidak putus-putus dikunjungi sama ada dari luar mahupun penduduk tempatan sendiri. Ia boleh dilihat apabila seawal jam 8.30 pagi ramai beratur membeli tiket masuk berharga RMB60. Sukar mengungkapkan keindahannya dengan kata-kata. Setiap istana sarat dengan ukiran yang masing-masing mempunyai maksud tersendiri, sekali gus melambangkan kemewahan dan kebesaran kuasa Maharaja China. Ia jelas terpampang pada ukiran naga serta burung phoenix pada jambatan batu marmar.

Rakyat China memuja Maharaja mereka sebagai ‘tuhan’ berdasarkan kemampuan dan kuasa yang ada. Maharaja pada zaman Dinasti Ming dan Qing dikatakan mempunyai 1,000 gundik dan setiap seorang disediakan sebuah bilik. Disebabkan terlalu ramai gundik, kadangkala maharaja tidak berpeluang melakukan hubungan seks dengan semua wanita itu. Ada yang mencapai usia tua dan masih dara. Bagi mengekalkan kemampuan seksual, maharaja dikatakan mengupah dukun untuk menyediakan ‘ubat kuat’ daripada ramuan akar kayu bagi membolehkan baginda bersetubuh dengan gundiknya setiap hari.

Gundik yang berpeluang mengadakan hubungan seks dengan maharaja dianggap wanita bertuah, apatah lagi jika mengandung dan melahirkan anak. Disebabkan terlalu banyak gundik, maharaja tidak mengenali nama anak yang dilahirkan gundiknya.

Mereka berdua sempat meninjau tempat beradu maharaja yang menggunakan tilam daripada kain sutera. Ada lubang kecil yang membolehkan angin masuk ke bilik bagi menghasilkan suasana selesa apabila maharaja beradu atau bersama gundik.

Parit di sekelilingnya sedalam enam meter, manakala dinding tembok setinggi 10 meter. Di Kota Larangan itu ada lima dewan, 17 istana dan beberapa bangunan lain. Dikatakan lebih 9,999 bilik boleh ditemui, tetapi daripada jumlah itu hanya 8,600 bilik masih wujud sehingga kini. Mengikut keterangan pemandu pelancong mereka, kira-kira 27 tahun diperlukan untuk meneliti setiap sudut di Istana Larangan ini yang mempunyai 9,999 bilik dan lebih 2,000 bilik khas untuk gundik. Mana tidaknya, setiap maharaja dikatakan mempunyai lebih 3,000 gundik, sekali gus melambangkan kuasa dan keangkuhan pemimpin negara itu. Di situ juga terdapat dewan istiadat, ruang pejabat, bilik menteri dan penterjemah, bilik minum teh dan taman diraja.

Mereka terpegun melihat keajaiban binaan Istana Larangan yang mempunyai tembok simen kukuh berwarna merah dan bertentangan dengannya adalah Medan Tianenmen, manakala di sebelah kanannya bangunan Dewan Agung Orang Ramai China. Dinding di Kota Larangan mempunyai pintu pagarnya tersendiri. Di selatan ada Pintu Pagar Meridian dan utara pula Pintu Pagar Divine Might. Jarak di antara dua pintu pagar di utara dan selatan ialah 960 meter, manakala barat dan timur ialah 750 meter. Tembok atau dinding itu memang kuat dan tebal bagi menahan serangan atau tembakan meriam.

Kota Larangan terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu halaman luar dan dalam. Antara yang termasuk di halaman luar ialah tiga dewan, perpustakaan, arkib dan setor. Halaman dalam pula menempatkan tiga dewan untuk aktiviti harian. Halaman dalam adalah tempat maharaja dan keluarganya tinggal bersama pembesar dan orang suruhan, termasuk gundik. Warna rasmi untuk kerabat diraja ialah kuning.

Dari Kota Larangan mereka meneruskan perjalanan untuk melihat lagi satu keajaiban kejuruteraan masyakat silam. Susunan bongkah batu besar sepanjang 6,700 kilometer sarat dengan kesenian terutama ukiran naga, simbol maharaja juga dikenali sebagai Tembok Besar China.

Mereka berdua tidak dapat menyembunyikan kekaguman mereka! Di fikiran mereka terselit satu soalan, bagaimana agaknya pekerja membawa bongkah batu besar untuk membina tembok yang pada asalnya dibina untuk pertahanan. Tembok yang disiapkan pada zaman Dinasti Ming dan merentasi beberapa wilayah di China bermula di Shanghai, Jiayu, Hebei, Beijing, Shanxi, Mongolia, Ningxia dan Gansu sangat sesuai dikunjungi pada musim panas atau luruh sama ada awal pagi atau lewat petang.

Bahagian tembok paling cantik dikatakan di Datong, Wilayah Shanxi (2,500 kilometer di selatan Beijing) kerana ia sarat dengan kesenian China, terutama ukiran naga, simbol maharaja yang menjadi perlindungan daripada kuasa jahat.

Setakat ini, hanya seorang warga Amerika saja dikatakan berjaya berjalan daripada titik mula tembok hingga ke akhir dan beliau mengambil masa dua setengah tahun untuk menghabiskannya.

Tempat lain yang dikunjungi mereka ialah kilang jed. Jed yang dikatakan mencerminkan keperibadian diri, malah mengikut kepercayaan masyarakat Cina, batu itu melambangkan kemewahan dan sesiapa yang memakainya, secara tidak langsung menunjukkan kedudukan tinggi. Selain warna hijau yang dikatakan membawa tuah kepada si pemakainya, jed sebenarnya terbahagi kepada dua kategori, iaitu jadeite dan nephrite. Jadeite dikatakan paling bermutu tinggi dan termahal di dunia. Ia dinilai dari sudut tekstur, tona warna, kilauan dan ketelusan. Difahamkan ada 38 warna jed; putih, merah jambu, perang, jingga, kuning, ungu muda dan hitam yang setiap satu ada nilai dan maksud tersendiri.

Selain daripada itu, mereka juga tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi syurga membeli-belah di Beijing, antaranya di Pasar Sutera (Ya Shiu), Jalan Wang Fu Jing, Lady Street (berhampiran Rumah Malaysia di Wilayah Chaoyang), Ya Show atau Red Bridge. Di situ, semua barangan sama ada pakaian, kasut, beg tangan mahupun perhiasan diri boleh ditawar sehingga lebih 50 peratus. Namun, mereka telah dinasihatkan untuk berhati-hati ketika bertanya harga barangan kerana silap haribulan anda akan dimaki jika tidak membeli.

Gadis penjual di situ memang cantik tetapi mereka juga pandai memujuk dan memaksa pengunjung membeli barangan. Oleh itu, jika benar-benar mahu membeli disarankan barulah bertanyakan harga. Jika tidak, mereka akan memegang tangan sekuat-kuatnya sehingga pengunjung membeli.

Oleh kerana mereka berdua bergerak sendiri tanpa pemandu pelancong, mereka disarankan sentiasa membawa kad perniagaan hotel tempat menginap kerana masalah bahasa adalah masalah utama di sini. Kad perniagaan hotel itu memudahkan pemandu teksi untuk membawa mereka pulang. Bagi mereka yang ingin menjimatkan kos, kereta api bawah tanah kemudahan awam paling sesuai kerana tambang hanya RMB3 sehala berbanding teksi yang kadang kala mencecah sehingga RMB100.

Apa yang menarik di Beijing walaupun jalan raya sesak dengan kenderaan, basikal tetap menjadi pilihan. Tetapi yang membimbangkan ialah cara pemanduan mereka yang agak berbahaya terutama bagi penunggang basikal.

Satu lagi situasi yang tidak dapat dilihat di Malaysia ialah pasangan warga tua di negara ini masih romantik walaupun sudah berusia. Mereka sering dilihat menghabiskan masa di taman berdua-duaan dan menyertai setiap aktiviti yang dianjurkan sambil membawa sebotol air teh herba. Mungkin itu rahsia menyebabkan mereka masih sihat. Pastinya, kunjungan ke Beijing, ibu negara yang sesak dengan penduduknya meninggalkan seribu kenangan manis yang tidak boleh diungkap dengan kata-kata.

Kalau tanpa kehadiran Didi, pasti dia hanya terperuk di bilik hotel sahaja apabila menjelang hari minggu. Kepulangan Didi kerana tuntutan tugas tak mampu dihalang.

‘Tak lama lagi, aku akan kehilangan Didi. Didi takkan jadi milik aku seorang, lagi.’ Nurin mengeluh.

Didi bakal melangsungkan perkahwinannya dengan pemuda pilihan keluarganya hujung tahun ini. Mereka berdua telah berjanji, cinta mereka hanya untuk lelaki bernama suami dan itu juga yang cuba dilakukannya. Didi lebih bertuah kerana memiliki ibubapa untuk memilih jodoh buatnya. Namun bukan dirinya.

Sambil melayari internet, Nurin ternampak satu email masuk.

‘Zuhrin?’ Hairan juga hati Nurin apabila Zuhrin menghubungi melalui email, bukannya YM seperti selalu.

‘Mungkin dia tak sampai hati untuk menolak rancangan gila aku jika kami berbalas mesej.’ Nurin membuat telahan sendiri.

“Assalamualaikum, permaisuri hati.

Maafkan saya kerana membiarkan awak tertunggu-tunggu. Saya dah berfikir dengan sedalam-dalamnya dan saya juga dah bulat dengan keputusan saya selepas menunaikan solat istikharah.

Wahai Nurin binti Faizal, saya Abu Zuhrin bin Abu Zahid ingin melamar awak untuk menjadi suri hati saya. Tapi, sebelum awak menerima lamaran ini saya ada permintaan yang perlu awak fikirkan semasak-masaknya. Teruskan pembacaan awak sehingga ke noktah akhir. Saya akur, jika permintaan saya terlalu berat.

Pertama, seperti yang awak tahu saya masih seorang pelajar yang hanya akan tamat setahun lagi. Saya tak mampu memberikan kemewahan kepada awak, namun saya akan sentiasa cuba membahagiakan awak. Selama ini, saya hidup di sini dengan duit biasiswa. Tapi mulai semalam, saya sudah mula bekerja sambil belajar untuk menampung hidup kita. Saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk awak. Saya akan kumpul duit yang cukup secepat mungkin untuk kembali ke tanah air, supaya kita dapat berkahwin. Maaf, kerana saya tak mampu untuk pulang sekarang.

Kedua, saya tak mampu bersama awak setiap saat. Susah senang, tawa dan tangis awak, saya tak mampu menjadi bahu dan dada tempat awak melepaskan semua kepedihan. Saya tak mampu mengesat airmata awak saat awak kesedihan, saya tak mampu memeluk awak untuk menenteramkan awak kerana kita bakal berjauhan. Tapi, cinta saya akan sentiasa bersama awak. Saya akan sentiasa memeluk awak dari kejauhan.

Ketiga sayang, saya pohon kejujuran, penghormatan dan kesetiaan daripada awak sebagaimana selayaknya seorang isteri kepada seorang suami walaupun saya lebih muda. Saya juga akan mencintai awak sepenuh hati saya. Insya-Allah.

Keempat, maafkan saya. Saya pohon pernikahan kita dirahsiakan daripada keluarga saya. Bukan selamanya, sayang. Hanya sehingga saya tamat pengajian kerana saya yakin dugaan yang akan menimpa terlalu berat untuk awak tanggung seorang. Saya takkan terkecuali menerima hukuman kerana merahsiakan perkahwinan kita, tapi biarlah saya yang menanggungnya bukan awak.

Inilah empat permintaan saya. Fikirkan dan renungkanlah sedalam-dalamnya. Saya menantikan jawapan awak. Saya sanjung tinggi keputusan awak untuk tidak bercinta sebelum berkahwin, setelah berfikir saya rasa saya telah buat keputusan yang tepat. Dan saya juga redha jika awak menolak, tapi jauh di sudut saya amat berharap agar kita dapat bersama melayari bahtera rumahtangga bersama. Bahagia selamanya.

Wassalam.”

Nurin membaca email Zuhrin berulangkali, bagaikan tidak percaya lelaki seperti Zuhrin sanggup mengahwini seseorang yang baru dikenalinya. Hanya kerana cinta dan juga demi menghormatinya. Nurin mengesat airmata bahagianya.

‘Saya benar-benar harap awak akan membahagiakan saya. Saya harap dengan kehadiran awak, hidup saya akan kembali bahagia.’ Nurin benar-benar menaruh harapan tinggi kepada Zuhrin.

Zuhrin berdebar menanti jawapan daripada Nurin. Benarlah kata orang, penantian itu satu penyeksaan. Kini, hidup Zuhrin bertambah sibuk apabila memulakan kerja separuh masanya di sebuah kedai buku. Sengaja dia memilih kedai buku ini, kerana boleh mendapat harga yang lebih murah untuk buku-buku rujukannya dan juga makan minum disediakan oleh majikan. Dengan ini, dia boleh berjimat.

Selepas dua hari membiarkan Zuhrin ternanti-nanti, Nurin membalas email Zuhrin. Walaupun dia sudah membuat keputusan sejak dari awal, sengaja dia mahu mendera hati anak muda itu.

“Assalamualaikum, ya habibi…

Saya Nurin binti Faizal, dengan lapang hati menerima lamaran Abu Zuhrin bin Abu Zahid. Saya terima dengan rela hati semua permintaan yang awak kemukakan. Saya tak pinta kemewahan daripada awak, saya cuma mahukan kebahagiaan. Saya redha, kalau awak ingin merahsiakan hubungan kita tapi hanya sehingga awak tamat pengajian kerana lebih lama kita merahsiakan pernikahan boleh mengundang lebih fitnah yang lebih besar.

Simpanlah wang gaji awak sebagai mas kahwin saya, saya akan ke sana untuk melangsungkan perkahwinan kita. Awak tak perlu pulang ke Malaysia. Minggu depan, saya akan kembali ke Malaysia. Tugasan saya di sini hampir selesai. Selepas seminggu, saya akan ke sana. Awak uruskanlah segala urusan yang patut dengan kedutaan, saya akan bantu apa yang patut dari sini.

Kejujuran dan keikhlasan merupakan tonggak kepada hubungan jarak jauh. Jadilah seorang suami yang terhormat kerana keperibadian, bukannya kerana harta.

Kita akan berhubung lagi. Wassalam.”

Zuhrin bagaikan mahu terbang dan menembusi siling kerana terlalu gembira. Seakan mahu dipeluk Nurin andai wanita muda itu berada di hadapannya. Zuhrin sendiri bagaikan tidak percaya, dia akan berkahwin dalam usia yang muda dan situasi yang sebelum ini tidak pernah terlintas di fikirannya.

Zuhrin tersenyum sendiri.

0 comments:

Followers