Total Pageviews

Terlanjur Cinta -3-

Friday, August 6, 2010

| | |
Bab 3

Penerbangan dari KLIA ke Hongkong mengambil masa tiga jam setengah dan ia amat membosankan Nurin yang sememangnya tidak suka terbang. Nurin menghabiskan masanya dengan menonton tayangan filem Harry Potter and the Goblet of Fire. Sebaik sahaja menjejakkan kaki keluar dari kapal terbang, kedinginan sudah terasa. Semakin lama semakin menggigit Nurin yang dibaluti dengan jaket labuh yang juga berwarna putih.

Seperti semalam, Nurin mencari seseorang yang memegang namanya. Seorang lelaki berjaket biru berlambang H2H memegang nama bapanya.

“Excuse me, do you wait for somebody from Malaysia?” Soal Nurin untuk mendapatkan kepastian.

“Yes. But I don’t know who he is.” Jawab lelaki itu sepatah-sepatah.

Nurin tahu yang lelaki itu tidak fasih berbahasa Inggeris namun dicubanya dengan sedaya-upaya.

“You hold my first name. I’m Nurin.” Nurin memperkenalkan dirinya kepada lelaki yang memegang nama bapanya.

“Oh…sorry. I thought, I am waiting for a man. Come, let me take your luggage.” Lelaki itu berbahasa sambil mengambil bagasi beroda berwarna jingga yang sedang diheret oleh Nurin.

Nurin membalasnya hanya dengan senyum dan membuntuti lelaki itu ke kenderaan yang berada di kawasan lapangan terbang itu.

“Please wait here.” Pinta lelaki itu pada Nurin.

Nurin berdiri di bawah bumbung yang menempatkan lorong pejalan kaki ataupun sementara menunggu kenderaan. Dua minit berlalu, lelaki itu kembali dengan van biru model Kia Pregio.

Dengan penuh sopan dan hormat Nurin dipersilakan naik ke dalam van.

“Please help to tight your seat belt, miss.” Sekali lagi dia menyuruh dengan penuh hormat.

Nurin sedikit terpinga, kerana tidak menyangka undang-undang di Hongkong mewajibkan pemakaian tali pinggang walaupun berada di tempat duduk belakang. Nurin mengenakan tali pinggang ke tubuhnya.

Pemandu yang tidak diketahui namanya itu terus memandu laju merentas lebuhraya dan juga jambatan yang menghubungkan kawasan lapangan terbang dengan bandar Hongkong. Nurin kagum dengan persekitaran yang bersih. Jika mengikut perancangan asal, Nurin mahu menaiki feri ataupun tren laju ke Stesen Keretapi Kowloon.

Sebaik sahaja memasuki kawasan bandar, Nurin agak kecut perut. Kenderaan terlalu rapat rasanya bagaikan cermin sisi mahu berlaga sesama sendiri, jalanrayanya yang sempit namun mampu memuatkan beberapa laluan kereta. Bangunan yang tinggi, kelihatan semua orang bergerak pantas. Nurin tidak pasti adakah kerana sejuk ataupun sememangnya itu budaya hidup mereka.

Nurin menikmati pemandangan asing di hadapan matanya. Perjalanan selama empat puluh lima minit. Baru saja fikirannya mahu melayang, dirinya disapa pemandu van.

“Miss, this is Kowloon Train Station. You will take train from this station to station in Dongguan.”

Nurin hanya menganggukkan kepalanya sebagai tanda faham, sambil mengukir senyum buat si pemandu.

Pemandu itu berjalan mendahului Nurin sambil mengheret bagasinya memasuki perkarangan stesen keretapi Kowloon. Nurin melihat sekelilingnya, hampir semuanya dalam tulisan cina.

Mereka terus menuju ke kaunter untuk membeli tiket. Pemandu H2H bercakap-cakap dengan pnejaga kaunter.

“Miss, do you have Hongkong dollar?”

Nurin mengangguk sambil mengeluarkan dompetnya.

“How much?” Tanya Nurin sambil memandang wajah pemandu itu.

“HK$145.” Jawabnya.

Nurin mengeluarkan HK$150 dan diserahkan kepada pemandu H2H.

“Your train will leave from here at 3.45 p.m. Now is 2.15p.m. You can wait here, but I can’t wait with you. I’m sorry.” Terang pemandu itu kepada Nurin sambil memohon maaf kerana tidak dapat menemani Nurin.

“Thank you very much.” Nurin menghulurkan tip buat pemandu H2H, walaupun cuba ditolaknya.

Nurin tetap berkeras. Akhirnya pemberiannya Nurin diterima. Nurin tinggal seorang di bumi asing ini. Melihatkan Starbuck Coffee di tingkat atas, Nurin mengheret bagasinya. Dia perlukan tempat untuk berehat sambil menikmati kopi dan Starbuck Coffee saja yang dikenalinya.

Nurin amat menyukai kopi hitam dan pekat, kerana dia selalu kekurangan tidur dan kopi pekat membantunya berjaga. Nurin menghirup kopi panas dengan perlahan-lahan. Hatinya sedih, apabila mengenangkan keadaan dirinya. Dia tidak kurang wang ringgit, namun dia amat kekurangan kasih sayang dan perhatian.

Semua orang yang menyayangi dan disayanginya telah menginggalkannya dan dia keseorangan di dunia ini. Hanya kepada ibu bapa Didi, dia menumpang kasih. Tanpa Didi dan keluarganya pasti dia akan lebih sunyi. Nurin mengeluh sendirian sambil mengawal emosinya yang tidak stabil saat ini. Suasana yang bising tetap tak mampu mengisi kesunyian hati Nurin.

0 comments:

Followers