Total Pageviews

Terlanjur Cinta -7-

Monday, August 16, 2010

| | |
Bab 7


Segalanya berlaku terlalu pantas. Zuhrin tidak percaya, dia kini bergelar seorang suami. Dapat dirasakannya tanggungjawab yang semakin berat. Tindakan mereka berdua amat nekad.

Nurin hadir ke Adelaide bersama Didi. Walaupun awalnya, Didi agak menentang pernikahan mereka namun akhirnya akur demi kasih kepada sahabat baiknya yang bagaikan saudara sendiri. Pelukan Didi kepada Nurin selepas diijabkabulkan diringi dengan linangan airmata. Mereka dinikahkan di Masjid Khalil.

“Babe, aku impikan majlis kita dilangsungkan serentak. Kemeriahan majlis kita menggambarkan betapa bahagianya kita saat memulakan alam baru.”

Nurin mengesat airmata Didi.

“Aku juga tak pernah impikan majlis seringkas ni. Tapi aku yakin, inilah pilihan aku. Yang penting sekarang, aku tak sebatang kara lagi. Aku dah ada suami, suami untuk menemani dan bersama aku melayari kehidupan aku.” Mereka berdua kembali berpelukan.

Selain Didi, hanya beberapa orang teman Zuhrin telah hadir bersama untuk meraikan pernikahan mereka termasuklah Hanif dan Razman yang bersama Zuhrin ketika di Lapangan Terbang Bayan Lepas yang lalu. Sengaja mereka rahsiakan hubungan suci ini.

Didi kembali ke Malaysia keesokan harinya, kerana tidak boleh bercuti panjang lagi. Nurin pula hanya berkesempatan bercuti dua minggu, dek hambatan tugasnya. Zuhrin terasa bahagia walaupun mereka akan berjauhan, dipisahkan hemisfera.

Walaupun sibuk dengan kuliah dan kerja, mereka manfaatkan masa dua minggu bersama dengan sebaik-baiknya. Buat pertama kalinya mereka berdua merasakan, betapa manisnya cinta. Betapa hebatnya penangan rindu.

Mereka sempat menghabiskan masa dengan melawat tempat-tempat menarik di Adelaide. Dengan keluasan 3,700 kilometer, negeri keempat terbesar di Australia itu didiami lebih 1.2 juta penduduk yang kebanyakannya adalah penghijrah dari Asia. Adelaide, ibu kota Australia Selatan adalah bandar terancang yang dikelilingi taman, bangunan moden dan deretan bangunan bersejarah dengan jarak untuk ke pantai hanya kira-kira 20 minit memandu.

‘Saya berjanji untuk sentiasa membahagiakan awak, agar awak boleh lupakan semua kepedihan dan kesunyian dulu.’ Zuhrin seakan berikrar di dalam hatinya.

“Awak tak menyesal memilih untuk berkahwin dengan saya?” Zuhrin membelai rambut Nurin yang berada dalam dakapannya.

Nurin mendongakkan kepalanya, mecari wajah Zuhrin.

“Kenapa?” Nurin mengerutkan dahinya.

“Kerana saya serba kekurangan.” Ada nada sebak di pendengaran Nurin.

Nurin memeluk Zuhrin dari sisi.

“Seharusnya, saya yang berkata macam tu. Saya paksa awak kahwin dengan saya tanpa beri awak peluang untuk lebih mengenali saya.”

Nurin tidak pernah menceritakan latarbelakangnya kepada Zuhrin. Zuhrin cuma mengenalinya sebagai seorang wanita yang sebatang kara dan meneruskan hidup sebagai seorang jurutera elektronik di bahagian RND. Dia selesa begitu, dia hanya akan berterus-terang apabila sampai masanya.

“Terima kasih sebab beri peluang untuk saya lebih mengenali awak dan juga mencintai awak. Saya mengharapkan yang terbaik dalam hubungan kita, tapi saya harap awak dapat bersabar dengan kejarakkan kita. Saya yakin, kalau kita saling jujur dan ikhlas dalam hubungan kita; kita akan bahagia.”

“Insya-Allah.” Balas Nurin.

Kebahagiaan pertama yang dikecapnya sebaik sahaja bergelar isteri ialah saat bersolat dengan berimamkan Zuhrin. Ciuman Zuhrin di dahinya seakan air sejuk yang mengalir di hati yang panas. Kedamaian yang tak mampu untuk diungkapkannya dengan kata-kata.

Nurin tidak menghadapi masalah dengan makanan kerana di Adelaide tidak sukar mencari makanan halal. Malah untuk menikmati makanan seperti tomyam, sambal udang dan kangkung goreng belacan juga tidak sukar kerana ada sebuah restoran Melayu yang diusahakan rakyat Malaysia kira-kira 100 meter dari Central Market. Kaki lima Adelaide dipenuhi deretan restoran dan kafe yang menggambarkan kepelbagaian etnik komuniti yang mengikut laporan memiliki kapasiti restoran paling banyak di Australia berbanding populasi penduduknya. Cuma Nurin terperasankan sesuatu, tiada aktiviti menarik selepas jam 9 malam dan gedung beli-belah ditutup seawal 5.30 petang.

Zuhrin meluangkan masa untuk membawa Nurin menyusuri Sungai Torrens menaiki gandola yang dikemudi tenaga profesional di tengah bandar Adelaide ketika matahari pagi menyimbah bumi, untuk memberikan Nurin kenangan terindah dalam hubungan mereka. Nurin terasa seperti berada di Venice, Itali. Hampir 45 minit berada dalam gandola bagaikan tidak terasa. Ditemani bangau dan merpati putih selain keindahan persekitaran buatkan Nurin bagaikan bermimpi.

Nurin tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke Harbour Town untuk membeli-belah dan sedikit buah tangan untuk Didi dan pekerja-pekerjanya. Cuaca di Adelaide tidak begitu berbeza berbanding Malaysia, panasnya berangin dan sepanjang tahun. Nurin terasa selesa kerana kurang berpeluh walaupun berjalan banyak.

Walaupun kebanyakan masanya dihabiskan untuk berada di dalam bilik Zuhrin yang kecil, namun itulah syurga mereka. Dua minggu bersama bagaikan terlalu singkat. Mereka harus kembali ke dunia realiti.

Terlalu berat untuk melepaskan Nurin kembali ke Malaysia tanpa dirinya.

“Tak boleh ka awak dok sini?” Terasa sayu hatinya.

Nurin memeluk Zuhrin, erat. Pipi lelaki itu dikucupnya perlahan.

“Kita punya tanggungjawab sendiri, sayang. Saya tunggu kepulangan awak.” Nurin melepaskan pelukannya.

Zuhrin mengucup dahi isterinya lembut. Nurin melangkah perlahan, tangan mereka masih bertaut. Nurin cuba bertahan, menyeka airmatanya. Akhirnya, mereka terpaksa juga meleraikan pegangan tangan apabila Nurin melewati balai berlepas. Zuhrin melambai perlahan.

Buat pertama kalinya, dia terasa sakit dan peritnya kehilangan. Dia ingat, dia cukup kuat untuk menempuhi hari-hari sebagai seorang suami tanpa isteri di sisi. Tapi ternyata, cinta teramat menyakitkan.

Zuhrin menghela nafas panjang. Dia hanya mampu memandang langkah Nurin yang makin hilang dari pandangan.

‘Kita akan berpisah buat seketika. Sabarlah sayang, saya akan usahakan agar kita dapat bersama lagi.’

Zuhrin melangkah pulang, kembali ke dunia asalnya sebagai seorang siswa Universiti Adelaide.

Nurin meyandang beg tangannya seperti selalu. Namun langkahnya kurang bersemangat. Seakan separuh daripada dirinya dibawa pergi. Peritnya penangan cinta. Ternyata cinta itu buta, cepat atau lama mengenali seseorang bukan ukuran sedalam mana cinta kita.

0 comments:

Followers