Total Pageviews

Terlanjur Cinta -13-

Thursday, September 2, 2010

| | |
Bab 13

Zuhrin mengaminkan doa sebaik sahaja selesai solat subuh berjemaah dengan Nurin. Terasa satu kebahagiaan dan rahmat kerana memiliki Nurin yang penuh dengan rahsia dan kejutan.

Zuhrin bersidai di balkoni bilik tidur mereka, menikmati kesegaran udara pagi. Berhadapan rumah itu, masih lagi tanah lapang. Belum ada rumah yang dibina walaupun sudah ada perancangan. Nurin berada di dapur, menyiapkan sarapan pagi.

Zuhrin masih terkejut sebenarnya apabila melihat realiti kehidupan Nurin yang jauh tersasar dari bayangannya. Walaupun sebatang kara, Nurin hidup mewah. Dia rasa rendah diri, bagaikan tak layak untuk berdampingan dengan Nurin. Namun masih terngiang-ngiang di telinganya.

“Saya tak kurang wang ringgit, tapi saya miskin kasih sayang. Saya tak minta wang ringgit awak, saya hanya minta awak cintai dan sayangi saya sepenuh hati awak.” Nurin terperasankan reaksi Zuhrin yang merendah diri.

“Walaupun miliki harta bergunung, ia tak mampu memberikan saya kebahagiaan dan kasih yang hilang.” Sambung Nurin lagi untuk mengembalikan semangat Zuhrin kepadanya.

“Awak, kita sarapan dulu.” Kehadiran Nurin yang tiba-tiba, mengejutkan Zuhrin dari lamunannya.

Zuhrin menganggukkan kepalanya, menutup rasa terkejutnya.

Mereka beriringan menuruni tangga. Rasa bangga di hatinya apabila melihatkan potretnya hasil lukisan bergantung bersebelahan dengan potret Nurin. Rumah itu dihias dengan tema retro dan kontemporari, memenuhi citarasa anak muda yang funky dan ceria. Sewajarnya orang takkan dapat meneka kesepian dan kesunyian pemiliknya.

Zuhrin melabuhkan punggungnya ke kerusi makan. Kerusi makan untuk empat orang kelihatan elegan, dengan dibaluti kulit berwarna hitam dan kemasan jahitan benang berwarna koko seakan emas, di tengah meja segi empat itu bagaikan berlubang dan diisi dengan batu-batu sungai yang pelbagai warna dan saiz.

“Bila awak masak semua ni?” Zuhrin agak terkejut melihat hidangan nasi lemak bersama sambal sotong kering bersama ikan bilis, sambal ayam, ikan bilis goreng dan telur rebus. Zuhrin membayangkan Nurin seperti wanita lain yang berkerjaya, kurang cekap di dapur.

“Masak? Pagi ni la. Tapi bahan-bahan saya dah siapkan semalam lagi.” Nurin keliru dengan soalan Zuhrin.

‘Awat orang tua ni tengok aku semacam ja?’ Nurin perasan riak wajah Zuhrin yang penuh tanda tanya.

Tanpa menghiraukan persoalan Zuhrin, Nurin menghidangkan nasi lemak buat Zuhrin.

“Takut nak makan masakan saya ka? Saya tak pandai masak, cukup-cukup untuk makan sendiri saja.” Zuhrin tersentak.

Takut Nurin terasa hati.

“Bukan macam tu. Saya terkejut. Saya tak expect semua ni. Sejak dari semalam terlalu banyak kejutan buat saya. Saya agak keliru. Maafkan saya.” Zuhrin menzahirkan rasa hatinya.

Nurin mengukir senyum.

“Mungkin saya juga begitu, kalau berada di tempat awak.” Nurin memejamkan sedikit matanya apabila Zuhrin mengusap lembut pipi Nurin.

Zuhrin menarik cekak yang dikenakan oleh Nurin pada rambutnya yang ikal separas bahu itu.

“Awak lebih cantik macam ni. Saya suka.” Nurin tersipu malu mendengar pujian Zuhrin.

Zuhrin suka melihat Nurin membiarkan rambutnya lepas, keayuannya mempersonakan. Mereka menikmati hidangan bersama.

‘Terima kasih kerana menyerikan hidup ini. Aku bersyukur, amat bersyukur kerana memilikimu. Moga cinta kita akan terus teguh menempuh apa jua dugaan dan rintangan yang melanda.’ Zuhrin bermonolog sendiri sambil menikmati keredupan wajah isterinya yang sedang menikmati hidangan mereka.

“Saya ingat nak buat kenduri sikit.” Kata-kata Nurin menyentak khayalan Zuhrin.

“Kenduri?” Nurin menganggukkan kepalanya.

“Bukan apa, awak cuti tiga bulan. Selama ni semua orang tahu saya ni bujang. Saya tak mau timbul syak atau tak puas hati di kalangan jiran. Saya juga tak mau kena tangkap basah dalam rumah sendiri.”

Kata-kata Nurin yang terakhir disambut dengan tawa besar daripada Zuhrin.

“Okey…okey. Saya setuju. Saya pun tak mau kena tangkap basah lepas kahwin.” Zuhrin masih dalam tawanya.

“Adoi…” Zuhrin terjerit apabila dicubit Nurin di paha.

Cepat-cepat Zuhrin mencium pipi Nurin yang geram dipermainkannya.

Zuhrin menarik manja hidung isterinya. Mereka ketawa bersama. Betapa indahnya hidup, saat bersama. Sememangnya Zuhrin tidak pernah menyesal memilih untuk menikahi Nurin. Dia tak kesal menamatkan zaman bujangnya ketika usianya masih muda, ketika teman-temannya masih mencari erti kasih.

“Assalamualaikum.” Laungan salam menyentakkan mereka.

Nurin mencapai tudung kepala yang sedia tersangkut di bilik bawah.

“Waalaikumsalam.” Suara Nurin ceria.

Nurin berlari anak membuka pintu. Ina dan Seri, dua orang pembantu kedainya yang tinggal di atas butik pengantin tersengih. Inilah kakak-kakak yang dimaksudkannya kepada Zuhrin semalam.

“Awainya Kak Ina dengan Kak Seri. Nak mai kemas rumah ka?” Usik Nurin apabila melihatkan rumahnya masih dipenuhi dengan kelopak-kelopak mawar merah.

Sekali lagi mereka tersengih.

“Didi on the way. Kami semua nak minta cuti hari ni. Kita tutup semua kedai boleh?” Nurin terbeliak.

‘Uiks…nak mogok ka?’ Nurin terkejut.

“Awat kak? Tetiba ja, ada apa-apa yang tak kena ka?” Tanya Nurin sambil mempersilakan Ina dan Seri masuk.

Mereka melabuhkan punggung ke atas sofa berbentuk L, berwarna hijau muda. Nurin pula duduk bertentangan di atas sofa berbentuk jari sambil memeluk bantal spongebob. Belumpun sempat Seri mahupun Ina menjawab apa-apa, kedengaran Didi memberi salam.

Serentak mereka menjawab salam.

“Hi, Babe.” Didi memeluk Nurin erat.

“Macamana, kreatif dak idea aku?” Becok Didi bertanyakan idea bunga mawarnya.

Nurin hanya ketawa.

“Kreatif, tapi jangan lupa kemas balik na. Hang kan dah janji.” Didi hanya tersengih sambil menggaru kepala.

“Ha, kak Seri, kak Ina…kita sambung balik.” Nurin hampir terlupakan persoalan mereka tadi.

Perbualan mereka sekali lagi terhenti apabila Zuhrin menyertai mereka dengan menatang seteko air kopi bersama beberapa cawan.

Seri dan Ina tersengih.

“Hai, Didi.” Sapa Zuhrin kerana dia hanya mengenali Didi.

Seri dan Ina berpandangan. Terpukau dengan ketampanan Zuhrin walaupun hanya berbaju T putih dan berkain pelikat.

“Hai, apa habaq? Sihat?” Didi ramah.

“Rasa macam nak demam.” Kata-kata Zuhrin disambut dengan gelak tawa Nurin dan Didi.

“Jom siap. Kita pi beli barang nak buat kenduri.” Nurin terbeliak.

“Hari ni?”

Serentak Didi, Ina dan Seri mengangguk.

“Buat hari ni la, sebelum jadi bahan cerita.” Potong Didi.

“Dan ka nak cari cater?”

“Buat apa katering. Kita masak la sama-sama. Bukannya ramai jemputan hang. Staf-staf hang, orang-orang lorong ni. Berapa kerat ja?”

Walaupun tidak faham, Zuhrin tetap membisu.

“Awak okey ka kalau kita buat kenduri hari ni?” Nurin tak mahu membelakangkan Zuhrin.

“Saya tak kisah.” Zuhrin memang tak kisah.

“Nurin, tak mau kenalkan kami ka?” Ina dah penat menunggu.

Nurin menepuk dahinya, menyedari kealpaannya.

“Sorry...sorry...” Nurin mengakui keterlanjurannya.

“Awak, ni Kak Ina dengan Kak Seri. Depa ni jiran kita. Kak Ina, Kak Seri, ni Zuhrin suami saya.” Mereka berbalas senyum. “Habaq je la kami ni pekerja hang. Jiran apa lak. Kami kan merangkap jaga untuk hang.” Zuhrin makin keliru.

0 comments:

Followers