Bab 16
Nurin mengambil cuti dua minggu untuk meluangkan masa bersama Zuhrin. Memandangkan mereka tidak sempat berbulan madu selepas berkahwin, mereka memilih untuk menikmati keindahan Pulau Perhentian untuk bersama.
Pulau Perhentian bukan nama asing di peta pelancongan Malaysia. Ia ibarat sebutir mutiara di antara gugusan pulau di perairan Terengganu yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia. Pulau pelancongan berkenaan terbahagi dua, iaitu Perhentian Kecil dan Perhentian Besar. Bagaimanapun, bagi pengunjung yang mahukan lebih kedamaian, Perhentian Kecil yang kurang jumlah penduduknya wajar menjadi pilihan.
Pulau Perhentian terkenal dengan air lautnya yang jernih bak kristal, pepasir pantai yang putih dan juga ikan-ikan tropika yang mendiami terumbu karang yang menakjubkan. Pulau ini juga dihiasi kehijaunan flora dan fauna yang bening jika pengunjung menyusuri denai hutannya.
Mereka memilih untuk terbang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur seterusnya ke Kota Bharu, Kelantan. Dari Kota Bharu mereka memilih teksi sebagai pengangkutan ke Kuala Besut yang jaraknya empat puluh lima minit, untuk ke Pulau Perhentian pula mengambil masa tiga puluh minit dengan bot dari jeti Kuala Besut. Zuhrin lebih suka jika memandu dari rumah, namun Nurin menolak kerana takut percutian kurang menarik kerana penat di perjalanan. Enam jam perjalanan pasti memenatkan dan baginya sayang masa yang terbuang.
Mereka berdua memilih untuk menginap di Bubu Long Beach Resort (Bubu Resort). Bubu Resort hanya kira-kira 50 meter dari pantai. Lokasi strategiknya membuatkan ia menjadi pilihan ramai pelancong tempatan dan luar negara.
Bagaimanapun bilik penginapan di Bubu Resort tidak mempunyai kemudahan TV kerana ia memang tidak diperlukan supaya tetamu dapat berehat sepenuhnya. Malah, ia menyediakan bilik khas berkonsep Bali untuk pasangan yang berbulan madu.
Zuhrin mengheret bagasi mereka masuk ke bilik bulan madu ataupun Honeymoon Room yang telah ditempah oleh Nurin.
‘Alhamdulillah.’ Zuhrin memanjatkan syukur kerana diberi peluang untuk menikmati percutian bersama Nurin.
Nurin memilih bilik bulan madu kerana dia mahukan yang terbaik dalam bulan madu mereka dan dia mencari keselesaan juga kepuasan. Bilik ini dilengkapi dengan katil bersaiz king, bilik mandi bersama mandian air panas, dan balkoni untuk menikmati matahari pagi dari Laut China Selatan. Keindahan dan hembusan bayu Laut China Selatan terasa mendamaikan. Bagaikan hembusan kebahagiaan yang merestui mereka.
Bilik ini dihiasi dengan perabut etnik yang menawarkan suasana yang romantik. Nurin merebahkan badannya ke atas katil. Zuhrin mengukir senyum melihat Nurin yang keletihan. Nurin menanggalkan tudung kepala yang berwarna putih sambil berbaring. Zuhrin mengemaskan pakaian ke dalam almari.
“Awak pernah mai sini?” Soalan Nurin dijawab dengan gelengan oleh Zuhrin.
Zuhrin duduk di sisi Nurin sebaik sahaja selesai mengosongkan bagasi mereka. Nurin bangun dari pembaringannya. Mata mereka bertentangan dan akhirnya mereka mengukir senyum bersama.
“Pernah dak awak terfikirkan kegilaan kita?” Nurin ingin menyelami pemikiran suaminya.
“Kegilaan?” Zuhrin mengerutkan dahinya, tak faham apa yang cuba diperkatakan oleh Nurin.
“Ya, kegilaan. Kita saling tak mengenali, berjumpa tak sampai sekerat hari tapi kita pilih untuk berkahwin daripada bercinta.” Barulah Zuhrin faham persoalan yang cuba dikemukakan oleh Nurin.
“Kalau difikirkan, memang ada gilanya. Tapi bila direnungkan, itulah hikmahnya.” Zuhrin menzahirkan pemikirannya.
Nurin bersandar ke dada Zuhrin. Zuhrin mengubah kedudukannya untuk memeluk Nurin dari belakang, di pinggang.
“Saya teringatkan satu cerita, awak dengar ya.” Nurin menganggukkan kepalanya tanpa menoleh.
“Pada suatu pagi di satu sekolah menengah, ada seorang pelajar bertanya pada seorang guru yang sedang mengajar. Waktu tu, guru tu sedang menyentuh mengenai kasih dan sayang secara am. Dialog di antara pelajar dan guru tersebut berbunyi begini. `Cikgu, macam mana kita nak pilih seseorang yang terbaik sebagai orang paling kita sayang? Macam mana juga kasih sayang itu nak berkekalan?” Zuhrin tersenyum sendiri apabila teringatkan cerita yang pernah di ceritakan Razman saat dia keliru dalam membuat keputusan tentang hubungannya dengan Nurin.
“Apa cikgu tu jawab?” Nurin memotong cerita Zuhrin dengan soalan.
“Oh, awak nak tahu ka? Emmm...baiklah, sekarang kamu buat apa yang saya suruh. Ikut je ye...mungkin kamu akan dapat apa jawapannya. Kamu pergi ke padang sekolah yang berada di luar kelas sekarang juga. Kamu berjalan di atas rumput di situ sambil memandang rumput di depan kamu, pilih mana yang paling cantik tanpa menoleh ke belakang lagi walaupun sekali. Dan kamu petiklah rumput yang paling cantik yang berada di depan kamu tersebut dan selepas itu bawa balik ke kelas.”
Dahi Nurin berkerut, berfikir tapi dia tidak mahu memotong cerita Zuhrin.
“Apabila pelajar tersebut balik semula ke kelas, tiada pun rumput yang berada di tangannya. Maka cikgu pun bertanya kepada pelajar tu, Mana rumput yang cikgu suruh petik?”
Nurin menganggukkan kepalanya sambil cuba berfikir.
“Murid tu jawab macam ni, tadi saya berjalan di atas rumput dan sambil memandang rumput yang berada di situ, saya carilah rumput yang paling cantik. Memang ada banyak yang cantik tapi cikgu kata petik yang paling cantik maka saya pun terus berjalan ke depan sambil mencari yang paling cantik tanpa menoleh ke belakang lagi. Tapi sampai di penghujung padang , saya tak jumpa pun yang paling cantik. Mungkin ada di antara yang di belakang saya sebelum itu tapi dah cikgu cakap tak boleh menoleh ke belakang semula, jadi tiadalah rumput yang saya boleh petik.” Zuhrin bercerita dengan penuh semangat.
Nurin masih menanti cerita seterusnya daripada Zuhrin.
“So sayang, moral the story is apabila kita telah berjumpa dengan seseorang yang kita sayang, janganlah kita hendak mencari lagi yang lebih baik daripada itu. Kita patut hargai orang yang berada di depan kita sebaik-baiknya. Janganlah kita menoleh ke belakang lagi kerana yang berlaku tetap dah berlaku. Dan semoga yang berlalu tidak lagi berulang. Jika kita berselisih faham dengan orang yang kita sayang itu, kita boleh perbetulkan keadaan dan cuba teruskan perhubungan tersebut walaupun banyak perkara yang menggugat perhubungan tersebut. Dan ingatlah orang yang kita sayang itulah yang kita jumpa paling cantik dan paling baik pada mulanya walaupun nak ikutkan banyak lagi yang cantik dan baik seperti rumput tadi. kecualilah jika perhubungan tersebut tak boleh diselamatkan lagi, maka barulah kita mulakan sekali lagi. Maka sayangilah orang yang berada di depan kita dengan tulus dan ikhlas.” Nurin mengukir senyum sendiri.
“Tapi, awak tak takutkah saya merupakan pasangan yang silap?” Nurin masih cuba menduga Zuhrin.
“Sayang, dalam dunia ini tak ada istilah pasangan yang silap. Allah dah menetapkan jodoh semua hamba-Nya. Cuma manusia yang silap dalam menjadi pasangan. Kita tak hargai pasangan kita.” Nurin terasa bahagia.
Pemikiran Zuhrin lebih matang daripada usianya. Zuhrin mencium pipi Nurin dari belakang. Nurin berkalih, Zuhrin melonggarkan pelukannya untuk memberi ruang kepada Nurin berkalih menghadapnya.
“Terima kasih sebab pilih untuk hidup bersama saya yang serba kekurangan.”
Zuhrin tak mahu Nurin terus hanyut dalam emosinya. Bibirnya mencari bibir Nurin sebagai jawapan kepada segala persoalan. Mereka hanya mendoakan, kebahagiaan yang mereka kecapi akan berpanjangan dan berkekalan.
Mereka menghabiskan masa selama empat hari tiga malam di Pulau Perhentian. Menikmati keindahan alam semlajadi dan bersantai sambil meluangkan masa untuk lebih mengenali antara satu sama lain.
Mereka berdua tidak melepaskan peluang untuk menerokai keajaiban dunia dasar lautnya. Keindahan terumbu karang dan ikan berwarna-warni sememangnya menakjubkan. Mereka bernasib baik kerana dapat melihat penyu dan ikan pari.
Di masa yang terluang, mereka sekadar bersantai dan bermalasan di tepi pantai sambil menikmati kesegaran udara dan keindahan pantai. Zuhrin menyinsing seluar jeans Giordano berwarna kelabu gelap sehingga ke paras betis. Baju T putih longgar bagaikan lekat ke badan dek peluh. Tangan Zuhrin kejap memegang tangan Nurin yang juga sedondon.
“Pernah tak awak terfikir tentang anak?” Mereka terus berjalan menyusuri pantai, membiarkan kaki di basahi air laut.
“Awat pula dak?” Zuhrin membalas perlahan.
“Awak dah bersedia untuk jadi seorang ayah?” Soalan Nurin membuatkan langkah Zuhrin terhenti.
“Kalau boleh, saya memang nak anak cepat. Saya sukakan budak-budak. Lagipun anak tu kan pengikat kasih sayang.” Jawapan Zuhrin melegakan hati Nurin.
“Tapi, saya kesian tengok awak. Kesibukan awak, menakutkan saya.” Zuhrin berterus-terang, memandangkan komitmen Nurin kini.
Nurin mengukir senyum.
“Sekurang-kurangnya, saya taklah sunyi sangat bila awak takdak.” Zuhrin menganggukkan kepalanya, mengakui kebenaran itu.
“Tapi, awak janganlah pulak lebihkan anak sampai lupakan saya.” Zuhrin memprovok Nurin dengan nada merajuk.
“Awak nak tau, awat kita pakai cincin kahwin kat jari manis?” Zuhrin mengerutkan dahi, kenapa tiba-tiba bertukar topik. Namun Zuhrin tetap menggelengkan kepalanya.
“Ibu jari melambangkan ibu bapa, jari telunjuk represent adik beradik kita, jari hantu ialah diri kita sendiri, jari kelinking pula anak-anak.”
“Jari manis?” Zuhrin bertanya, mungkin Nurin terlupa.
“Jari manis melambangkan pasangan kita.” Nurin tersenyum.
“Saya tak faham.”
“Cuba awak cantumkan jari-jari awak. Jari tangan kiri dengan tangan kanan. Ibu jari dengan ibu jari. Macam tu juga dengan jari lain. Lepas tu jari hantu awak masukkan ke dalam. Jari lain biarkan bertemu hujungnya.Cuba awak buka ibu jari awak, ibu jari menwakili orang tua, ibu jari biasanya dibuka kerana semua manusia mengalami sakit dan mati. Dengan demikian orang tua kita akan meninggalkan kita suatu hari nanti. Tutup balik ibu jari awak, kemudian buka jari telunjuk, jari telunjuk mewakili kakak dan adik anda, depa akan memiliki keluarga sendiri, sehingga mereka juga akan meninggalkan kita. Sekarang tutup balik jari telunjuk dan buka jari kelingking, yang mewakili anak-anak. Cepat atau lambat anak-anak juga akan meninggalkan kita. Last sekali, tutup jari kelingking dan buka jari manis awak tempat dimana kita pakai cincin perkawinan, awak akan heran sebab jari ni tidak boleh dibuka. Sebab jari manis mewakili suami dan isteri, selama hidup kita dan pasangan kita akan terus melekat satu sama lain.” Zuhrin yang sedang mendengar dan mempraktikkan teori dari Nurin mengakui kebenaran itu.
“Cinta sejati akan berusaha bersama, selama-lamanya.” Zuhrin kembali menggenggam tangan isterinya.
“Saya akan terus mencintai awak, selamanya walaupun anak kita dah sedozen.” Kata-kata Nurin itu di sambut dengan ketawa dan pelukan oleh Zuhrin.
Nurin membalas pelukan Zuhrin.
“I love you.” Bisikan cinta Zuhrin bagaikan air sejuk yang membasahinya saat kehangatan.
Terasa damai dan bahagia. Masa seakan terlalu mencemburui mereka, empat hari di sana berlalu dengan terlalu pantas. Terasa berat hati untuk meninggalkan pulau yang penuh keistimewaan itu. Apa yang pasti, bagi Nurin mahupun Zuhrin; cinta mereka makin kuat. Mereka semakin memahami erti cinta yang sebenar. Cinta bukan untuk dilupakan tapi untuk dimaafkan, bukan untuk berjumpa tapi untuk memahami dan bukan untuk melepaskan tapi memegangnya kuat-kuat.