Total Pageviews

Terlanjur Cinta -17-

Monday, September 20, 2010

| | |
Bab 17

Zuhrin memarkir Honda City peninggalan Asya di kawasan meletak kereta Tesco Sungai Petani. Walaupun perjalanan dari rumah ke Tesco tak sampai lima minit, mereka berdua tetap berkereta memandangkan banyak keperluan yang hendak dibeli.

Mereka berjalan beriringan sambil berpegangan tangan. Zuhrin tetap kelihatan segak bergaya walaupun hanya berbaju T Mustang warna hitam dan dipadankan dengan jean biru dari jenama yang sama. Nurin juga mengenakan pakaian yang sedondon dengan Zuhrin cuma Nurin memilih blaus labuh dan longgar yang disulami dengan manik-manik seakan baju punjabi dipadankan dengan jeans biru dan tudung berwarna biru muda.

Tak ramai orang membeli-belah, mungkin kerana hari ini merupakan hari bekerja bukannya hari minggu.

“Tak bestnya, esok lusa dah kena kerja. Cuti saya dah nak habis.” Nurin memuncungkan mulutnya.

Tak sanggup rasanya mahu meninggalkan Zuhrin di rumah sendirian, manakala dia pula terpaksa berkerja.

“Tak mau kerja, berhenti. Dok rumah, jaga saya ja.” Usik Zuhrin.

Dalam nada bergurau, Zuhrin menzahirkan perasaannya.

“Awak suka kalau saya berhenti?” Nurin cuba meneka hati Zuhrin.

Zuhrin menarik troli yang paling di hadapan dan menolaknya. Nurin masih memaut lengan Zuhrin sambil berjalan. Di dalam hati Zuhrin terselit kerisauan andai terserempak dengan orang-orang yang mengenalinya, terutama keluarga tanpa mengira jauh atau dekat. Tapi nak dizahirkan kepada Nurin, bimbang menyinggung perasaan si isteri.

Mereka menyusuri rak ke rak. Nurin menarik Zuhrin ke lorong yang menempatkan cadar.

“Saya ingat nak beli cadar baru lah. Dah lama tak beli.” Zuhrin hanya menganggukkan kepala sambil sama-sama memilih yang berkenan di hati.

Nurin mempunyai rutin untuk menukar set cadar sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Manakala langsir pula dua bulan sekali. Nurin sukakan suasana yang segar.

“Awak pilih na. Saya nak citarasa awak pula.” Dia mahu terasa dekat dengan Zuhrin walaupun nanti Zuhrin akan meninggalkannya untuk kembali ke Adelaide.

“Pilih sama-sama la.” Zuhrin menarik Nurin yang bersidai di troli untuk sama-sama memilih.

Nurin menggelengkan kepalanya.

“Saya nak pilihan awak sepenuh. Pilih tiga set, untuk bekalan waktu awak takdak dengan saya nanti.” Barulah Zuhrin mengerti akan hajat Nurin.

Zuhrin mencuit hidung Nurin lembut. Nurin tersenyum. Selesai memilih cadar-cadar yang diperlukan, mereka menyusuri lorong ke lorong sehinggakan troli yang kosong mulai penuh. Semua keperluan sama ada makanan mahupun keperluan harian seperti sabun dan lain-lain telah memenuhkan troli mereka.

Mereka berbual riang bak pasangan kekasih yang sedang asyik bercinta dan sememangnya itulah yang mereka rasai. Dua minggu berlalu terlalu pantas, bagaikan tak terasa.

“Awak betul-betul tak kisah kalau saya resign?” Nurin mengembalikan persoalan yang terhenti sebentar tadi, Zuhrin yang sedang berbaris untuk membayar berkalih dan mencari wajah isterinya.

“Awat pula saya nak kisah? Saya lebih suka kalau awak resign, saya ni kesiankan awak. Terkejar-kejar ke sana sini sebab nak siapkan kerja, lepas tu nak uruskan bisnes lagi. Robot pun boleh rosak tau.”

Nurin menarik nafas panjang dan melepaskannya sebagai keluhan. Entah kenapa, Nurin rasa terbeban.

“Tapi, keputusannya di tangan awak. Sebagai suami, saya tak paksa awak resign. Saya sokong semua keputusan awak, yang penting...awak happy.” Zuhrin meletakkan tangan kirinya ke bahu Nurin.

“Saya takut bosan bila awak tak ada nanti.” Rengek Nurin.

Zuhrin mengukir senyum, sangat memahami perasaan Nurin kerana dia juga begitu apabila Nurin tiada bersamanya.

“Awak masih ada perniagaan untuk awak uruskan. Cuba awak fikirkan, memanglah depa boleh diharapkan. Tapi sampai bila awak nak orang uruskan semuanya untuk awak. Mana tahu, satu hari nanti Seri dengan Ina nak kahwin dan berhenti. Macam tu juga Rosma, nak tumpukan perhatian kepada rumahtangga ka.” Zuhrin cuba memujuk dengan memberi ruang kepada berfikir.

Nurin menganggukkan kepalanya. Memang kata-kata Zuhrin ada kebenarannya. Perbualan mereka terhenti apabila sampai giliran mereka untuk membayar barangan yang diambil.

“Bagi masa untuk saya fikirkan. Saya sayangkan karier saya sekarang, tapi saya juga tahu lambat laun saya akan berhenti dan tumpukan perhatian kepada yang lebih perlu... yang lebih penting.” Nurin merujuk kepada rumahtangga dan perniagaan peninggalan orang-orang tuanya.

“Lebih penting? Termasuk saya?” Zuhrin mengusik nakal.

Pantas pinggang Zuhrin disambar ketam Nurin. Zuhrin mengaduh manja sambil menggosok pinggangnya. Melihatkan Nurin yang kerisauan, ketawa Zuhrin kembali meledak. Nurin menarik muka kerana dipermainkan.

Zuhrin memunggahkan barang-barang dengan berhati-hati ke dalam but kereta. Nurin yang mahu membantu disuruhnya masuk ke dalam kereta. Nurin akur.

“Nak ke mana lagi?” Tanya Zuhrin sebaik sahaja selesai menyimpan semua barang dan masuk ke dalam kereta. Bersedia untuk beredar.

Nurin menunjukkan riak berfikir. Zuhrin mengundurkan kereta untuk memberi ruang kepada kereta yang sedang menunggu, masuk.

“Nak ke bulan.” Zuhrin menarik hidung Nurin sebaik mendapat jawapan daripada si isteri.

Namun Zuhrin bagaikan tersentak apabila terpandangkan orang yang berada di dalam kereta yang sedang menunggu apabila kereta mereka bertentangan.

“Mak Nab?” Zuhrin dan wanita yang dipanggilnya Mak Nab itu berpandangan seketika.

Nurin yang terperasankan reaksi Zuhrin cepat-cepat mencuit suaminya. Sebaik sahaja tersedar, pantas Zuhrin menggerakkan kereta untuk meninggalkan kawasan itu secepat mungkin.

Mak Nab tak sempat memberitahu suaminya, Pak Rosli. Melihatkan isterinya bagaikan ternampak hantu, Pak Rosli mencuit isterinya.

“Awat yang hang terbeliak macam nampak hantu?”

“Saya nampak Ayen.” Pak Rosli terpinga-pinga.

“Ayen kan ada kat Australia la ni.” Mak Nab menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Betoi, saya nampak. Dia dengan perempuan dalam kereta yang keluar tadi.” Mak Nab mempertahankan pendiriannya.

Pak Rosli hanya mendiamkan diri, tanpa mahu melayan isterinya. Baginya Mak Nab hanya ternampak pelanduk dua serupa. Kalau Zuhrin pulang ke Malaysia, masakan mereka tak tahu memandangkan rumah mereka bersebelahan dan mereka bakal berbesan apabila Zuhrin tamat pengajian nanti.

Nurin perasankan reaksi tegang di wajah Zuhrin.

“Awak...” Nurin memanggil lembut.

Zuhrin berkalih dan mengukir senyum semanis mungkin. Namun Nurin dapat merasakan kehambaran disebalik senyuman itu.

“Awak, okey?” Zuhrin menganggukkan kepalanya sambil masih tersenyum.

Nurin mencari tangan Zuhrin. Perlahan-lahan dia membelai jari-jari suaminya.

“Saya tau, ada something yang mengganggu awak.”

“Sorry.” Zuhrin bersuara perlahan.

“Awat pula minta maaf dengan saya. Saya cuma nak tau, apa yang tiba-tiba buatkan suami saya terdiam.” Sememangnya Nurin dihimpit dengan rasa ingin tahu.

“Kereta yang bertentang dengan kita, waktu nak keluar parking tadi jiran saya. Kawan baik mak ayah saya.” Nurin turut terdiam mendengarkan jawapan Zuhrin.

Seketika kemudian Nurin kembali senyum.

“Insya-Allah tak ada apa yang akan jadi. Kita perlu lebih berhati-hati. Tapi kalau dah suratannya kita perlu berdepan dengan semua ni dengan lebih awal, saya pasrah. Kita hadapinya bersama-sama.” Zuhrin membalas genggaman Nurin.

Dia mencari kekuatan.

“Saya tau, betapa susahnya awak nak hadapi orang yang melahirkan dan membesarkan awak. Betapa besarnya keputusan yang awak buat untuk membolehkan kita bersama. Terima kasih.” Pujukan Nurin menyejukkan hati Zuhrin.

Zuhrin mengambil tangan Nurin dan diciumnya perlahan. Nurin mengusap pipi Zuhrin sambil tersenyum. ‘Cinta kita adalah milik kita. Kita akan pertahankannya bersama, hingga ke akhirnya.’ Mereka berikrar tanpa ucapan, hanya mata yang berbicara.

0 comments:

Followers