Bab 24
“Chek banyakkan makan kurma dengan kismis ni, jangan biaqkan perut tu kosong langsung...nanti angin. Bila angin makin teruklah alahan tu.” Nurin mengangguk sambil tangan menyambut kurma dan kismis yang dihulurkan.
“Ayaq ni minum lah waktu bila pun, tapi ingat...jangan yakin kepada ayaq. Ayaq tetap ayaq biasa, kalau alahan berkurangan semuanya kerana izin Allah bukan kerana tok.” Tok Leha mengingatkan Nurin supaya niat dan akidahnya tidak terpesong.
Nurin menganggukkan kepalanya lagi.
“Lagi dua minggu chek mai lain na.” Pesan Tok Leha lagi sebelum Nurin, Didi dan Rosnah beransur pulang.
Nurin yang keletihan bersandar di kerusi belakang. Didi yang memandu memandang Nurin yang layu melalui cermin pandang belakang, Rosnah memeluk semua barang yang disampaikan oleh Tok Leha tadi.
Benar kata Tok Leha, mereka hanya berikhtiar. Allah yang menentukan segala-galanya.
Tapi ada sesuatu yang mengganggu fikiran Rosnah. Kenapa reaksi Tok Leha apabila melihat Nurin begitu terperanjat dan kenapa Tok Leha menyuruh Nurin mengulang menjumpainya dua minggu lagi? Selama ini Tok Leha tidak pernah menyuruh sesiapapun mengulang menemuinya, semuanya terpulanglah kepada individu itu sendiri.
Rosnah menyimpan keraguannya di dalam hati, dia tidak mahu membebankan Nurin dengan prasangkanya yang bukan-bukan.
‘Mungkin Nurin ni teruk sangat kot keadaan dia, sebab tu la Tok Leha suruh Nurin mengulang.’ Rosnah bersangka baik kepada Tok Leha yang selalu membantunya setiap kali mengandung kerana keadaanya hanya lebih baik sedikit sahaja daripada Nurin.
‘Assalamualaikum, ya habibi.
Terlalu lama rasanya saya tak mengarang email buat awak. Bukan saya tak rindu, tapi maafkan saya, kesihatan menghalang saya. Maafkan saya kerana merahsiakan alahan saya daripada awak. Maafkan saya...saya benar-benar bersalah sebab buatkan awak tertanya-tanya ke mana saya menghilang. Maafkan saya kerana menyusahkan awak di sana.
Alhamdulillah, dua tiga hari ni kesihatan saya bertambah baik. Kandungan saya juga dah berusia sembilan minggu. Saya terasa betapa indahnya bakal menjadi ibu. Saya rasakan seolah-olah awak terlalu dekat dengan saya, bagaikan sentiasa di sisi saya.
Anak-anak ini menjadi kekuatan saya untuk mengharungi hidup tanpa awak. Mereka menjadi lambang saya cintakan awak. Jadi, janjilah dengan saya...sebagai suami dan bakal seorang ayah, awak jangan sekali-kali mensia-siakan kami.
Kami bertiga mungkin tak dapat bersama awak di hari konvo awak nanti, tapi cinta dan kasih kami sentiasa bersama awak.
Kami akan menghitung saat untuk bertemu awak.
Wassalam.
Salam rindu buat walid.
Zuhrin membaca email Nurin berulangkali, cuba memahami maksud sebenar kami bertiga...apakah anaknya kembar? Akhirnya, Zurin pasti kegembiraannya berganda semangatnya juga berganda-ganda.
Nurin sentiasa memberikannya khabar gembira, hatinya berbunga-bunga dan bagaikan terawang-awang seketika dalam limpahan rezeki dan kurnia yang Allah berikan. Zuhrin terus bersujud syukur menyatakan kesyukurannya yang tak terluah ke hadrat Illahi.
“Alhamdulillah...” Ucap Zuhrin berulang kali.
Obsession with Maroon
2 years ago
0 comments:
Post a Comment