Bab 18
“Betoi kak, aku nampak sendiri. Budak tu sebijik Ayen. Takkan aku tak kenai bakai menantu sendiri?” Sebaik sahaja pulang dari Tesco, Mak Nab terus bergegas ke rumah Zuhrin.
Mak terus menggoreng ikan bilis untuk dibuat sambal, jualan petang ini.
“Hang ni, Nab. Takkan Ayen balik tak bagitau aku. Lagipun, mana dia nak cari duit nak balik pulak. Kenduri Aisyah hari tu kan dia baru balik.” Walaupun mulut mak menafikan, tapi sebagai seorang ibu hatinya tetap berdetak menerima perkhabaran yang sangat-sangat mengejutkan.
“Aku nampak dia dengan perempuan.” Mak Nab tetap mahu memberitahu apa yang dinampaknya.
Dia mempercayai apa yang dilihatnya. Dia pasti, dia tak bermimpi.
“Perempuan? Ayen tak pernah ada hubungan dengan mana-mana perempuan. Dia anak yang paling patuh, dia takkan buat benda pelik-pelik. Lagipun, dia pun tahu lepas habis belajaq dia akan nikah dengan Iffah.”
Mak Nab mengakui kebenaran kata-kata mak, tapi dia sukar untuk menafikan apa yang dilihatnya. Terlalu jelas dan dekat. Dia yakin, itu ialah Zuhrin.
Walaupun hatinya tidak enak, mak tetap meneruskan persiapan buat meniaga malam nanti. Mak berniaga nasi lemak dan nasi campur. Itulah rezeki yang membantu mereka sekeluarga meneruskan kehidupan dan dengan rezeki itulah dia membesarkan anak-anaknya. Didikannya suami isteri kepada anak-anak agak ketat.
Tapi perkhabaran yang dibawa sahabat baiknya, tetap mengusik ketenangan seorang ibu. Mak pura-pura tak memberi perhatian dengan perkhabaran itu dan cuba menyakini anak kesayangannya.
Zuhrin berpeluh-peluh mengayuh basikal di dalam gim mini di tingkat atas rumah. Nurin pula sibuk dengan stok yang baru sampai di spa. Di hatinya terasa rindu kepada keluarga, terutamanya mak dan ayah.
‘Ya Allah, ampunilah dosa aku. Berikanlah aku kekuatan, aku rasa aku dah buat satu keputusan yang betul. Memilih unuk berkahwin daripada menambah dosa menjalinkan hubungan cinta tanpa ikatan. Berdosakah aku, kerana membelakangkan orang-orang yang melahirkan aku dan membesarkan aku dengan penuh kasih sayang?’
Zuhrin mengesat peluhnya, singlet putih yang dipakainya sudah lencun. Penat berkayuh, Zuhrin berlari-lari anak di atas treadmill.
‘Aku cintakan dia, aku tak sanggup kehilangan dia.’ Zuhrin mengeluh sendirian.
Fikirannya buntu. Dia tahu dan sedar, masalahnya sekarang cukup besar. Dia dah mengheret Nurin sama ke dalam masalah keluarganya. Walaupun dia pernah memberitahu keluarga sudah punya pilihan untuknya, namun dia tidak pernah memberitahu yang dia telah ditunangkan seawal umur lapan belas tahun dengan anak Mak Nab yang juga sebaya dengannya.
Iffah, memang cantik. Lebih cantik daripada Nurin, namun tidak pernah terdetik rasa cinta dihatinya pada Iffah. Iffah baik budi bahasa, bersopan santun dan juga pintar. Sebagai seorang bakal doktor yang kini sedang meneruskan pengajiannya di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. Iffah sepatutnya menawan hatinya. Tapi, entah kenapa dia tak pernah mampu untuk memupuk rasa cinta kepada wanita muda itu sebagaimana Iffah kini amat mencintainya. Emel-emel yang Iffah layangkan dan ingatan wanita itu seakan mengejarnya, namun tak pernah dibalasnya, bimbang menanam harapan di hati wanita muda itu.
Zuhrin rasa bersalah dan berdosa kepada semua. Penat berlari Zuhrin meloloskan diri melalui pintu kaca untuk keluar ke balkoni tingkat atas. Sekadar mencari angin, melepaskan rasa sesak di dalam dada.
“Apa yang awak menungkan?” Sapaan Nurin yang sedang menatang dua gelas jus epal dan sedikit kuih mengejutkan Zuhrin.
Nurin meletakkan dulang di atas meja santai berbentuk bulat daripada rotan yang dilengkapi dengan empat bangku rotan.
“Takdak apa. Penat kayuh basikal awak tu.” Zuhrin berdalih.
Nurin mengukir senyum sendiri. Dia tahu, Zuhrin menyembunyikan kegelisahannya. Nurin bangun dan berjalan ke arah Zuhrin. Nurin memeluk Zuhrin dari belakang dan menyandar kepalanya ke belakang suaminya. Zuhrin tersentuh, perlahan-lahan dia memegang tangan Nurin yang memeluknya erat.
“Awak...kita kena hargai setiap saat yang kita ada, sebab kita tak tau apa yang akan terjadi nanti. Selagi kita bersama, setiap saat adalah milik kita. Saya tak mau kehilangan satu saat pun daripada masa-masa ni.” Nurin membisikkan kata-kata semangat buat Zuhrin.
Zuhrin mengangguk perlahan, mengakui kebenaran kata-kata Nurin.
“Awak...saya tak menyesal kalau satu hari nanti takdir tak menyebelahi kita. Awak nak tau sebab apa?” Sengaja Nurin memprovok Zuhrin
Zuhrin mengangguk lagi.
“Sebab kasih sayang yang awak bagi, cukup untuk menemani saya sepanjang hayat. Saya cintakan awak dan akan terus mencintai awak. Insya-Allah...kalau boleh, sampai ke hujung nyawa.” Nurin melafazkan ikrar cintanya kepada Zuhrin.
“Saya juga...tapi saya sentiasa doakan agar takdir menyebelahi kita.” Zuhrin berkalih dan membalas pelukan Nurin.
“Jom, minum.” Nurin tidak mahu kesedihan menyelubungi kebahagiaan mereka.
Usah memberatkan kepala dengan sesuatu yang belum pasti, itu praktis Nurin.
Mereka beriringan dan menikmati hidangan petang dengan ceria. Nurin mahupun Zuhrin memilih untuk melayan perkara yang belum mereka hadapi dengan secara berdepan sambil menikmati saat-saat bahagia mereka bersama.
0 comments:
Post a Comment