Bab 30
Sejak kembali ke Malaysia dan memulakan tugasnya di H2H, Zuhrin jarang meninggalkan Nurin lama-lama. Nurin yang semakin sarat membimbangkan Zuhrin walaupun adanya Ina dan Seri yang sentiasa menemani Nurin di rumah.
Zuhrin juga jarang berlama-lama di rumah mak dan cuba mengelak untuk bermalam di rumah mak, bukannya dia sombong atau lupa diri tapi bimbangkan Nurin.
Tapi tak selamanya Zuhrin boleh memberikan alasan apatah lagi kepada orang yang melahirkannya. Rayuan sedih mak yang rindukannya telah menggoyahkan hatinyanya. Sayu hatinya apabila mendengar suara mak.
“Sayang, mak minta saya tidoq kat rumah mak malam ni. Semua alasan saya kena reject.” Adu Zuhrin.
“Mak rindukan awak tu, saya takdak masalah. Malam nanti saya suruh Kak Ina dan Kak Seri tidoq sini, jangan tidoq kat butik. Awak baliklah sana.” Nurin memberikan jalan untuk melegakan hati Zuhrin.
Dia selalu menyuruh Zuhrin balik melawat mak ayah, baginya tanggungjawab seorang anak lelaki masih tetap kepada orang tuanya walaupun telah beristeri berlainan pula dengan anak perempuan yang wajib mentaati suami lebih daripada ibu bapa.
Nurin juga membacakan satu email yang diterimanya kepada Zuhrin, bukan niat dia mahu menunjuk pandai, cuma mahu membuang rasa bersalah Zuhrin kerana tak mampu membuat pilihan.
Dalam Hadith Sahih Bukhari, seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. maksudnya :
“Siapakah yang perlu kita hormati dan kasihi selepas Allah dan Nabi?”
Jawab Nabi “Ibu kamu”
“Selepas itu?”-
“Ibu kamu”
“Selepas itu?”-
“Ibu kamu”
Kali ke 4 lelaki itu bertanya, “Selepas itu?”
Jawab Nabi “Ayah kamu”
“Saya nak awak lihat betapa tingginya nilai seorang ibu di dalam Islam. Jasa dan pengorbanan seorang ibu tidak ada apa cara sekalipun dapat kita membalasnya. Saya juga bakal menjadi seorang ibu, saya juga mengharapkan anak lelaki saya akan menyayangi dan menghormati saya sebagai seorang ibu.” Nurin menggenggam tangan Zuhrin seakan menyalurkan kekuatan kepada suaminya.
Zuhrin hanya menunduk.
“Seorang lelaki datang kepada Sayyidina Umar al-Khattab r.a dan berkata, “Saya telah mendokong ibu saya sepanjang tawaf dan haji, sudahkah saya dapat membalas jasa ibu.” Jawab Umar r.a., " Kamu belum dapat membalas jasa ibumu walaupun setitis air mata ibumu semasa melahirkanmu.” Nurin menyambung lagi ayat-ayat di dalam email yang diterimanya.
“Awak, apa yang saya faham...kata-kata tadi juga menjelaskan selepas Allah dan Rasul-Nya, orang yang perlu dihormati dan dikasihi adalah ibu dan bapa. Bukan setakat menghormati dan mengasihi mereka tetapi segala keperluan hidup, keselamatan dan hak-hak mereka perlulah kita penuhi sekadar kemampuan.” Nurin mengukir senyum.
Dia mahu suaminya berbakti kepada mak ayah selagi masih berpeluang sedangkan dia tak punya peluang itu.
Menurut Al Qurthubi, derhaka kepada kedua orang tua ialah menyalahi perintah keduanya, sebagaimana bakti keduanya bererti mematuhi perintah mereka berdua. Berdasarkan ini jika keduanya atau salah seorang dari mereka menyuruh anaknya, maka anaknya wajib mentaatinya, jika perintah itu bukan maksiat. Meskipun pada asalnya perintah itu termasuk jenis mubah, begitu pula bila termasuk jenis mandub (sunat).
Bagi Nurin, cukuplah penderhakaan mereka kerana berkahwin tanpa restu dan masih merahsiakan hubungan halal mereka. Dia tak mahu menambahkan lagi penderhakaan mereka kepada ibu bapa mertuanya.
Dalam sebuah hadis dijelaskan, Rasulullah s.a.w. bersabda: Dari Abdullah bin Amr, ia berkata: “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah, lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku datang untuk berjihad bersama baginda kerana aku ingin mencari redha Allah dan hari akhirat. Tetapi aku datang kesini dengan meninggalkan ibu bapaku dalam keadaan menangis’. Lalu sabda baginda: “Pulanglah kepada mereka. Jadikanlah mereka tertawa seperti tadi engkau jadikan mereka menangis”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Oleh itu perintah ibu atau bapa yang bukan bersifat maksiat atau mempersekutukan Allah, maka kita wajib mentaatinya. Namun jika perintahnya bersifat melawan kehendak dan hukum agama, maka tolaklah dengan cara yang baik.
Nurin juga pasti, niat mak mahu mengahwinkan Zuhrin dengan Iffah bukan bersifat maksiat, cuma mahukan yang terbaik untuk anak lelakinya. Cuma, jodoh sudah ditentukan Allah dan mereka hanya berusaha untuk bersama mencari keberkatanNya.
“Awak jangan risaukan saya, kalau dah sampai masanya pasti saya akan hubungi awak. Insya-Allah saya takkan biarkan awak terlepaih saat-saat penting kelahiran anak-anak kita.” Zuhrin merenung wajah isterinya.
“Saya sentiasa berdoa, agar Allah membukakan hati mak dan ayah untuk menerima awak sebagai menantu apabila sampai masanya. Saya yakin, jodoh kita adalah untuk meleraikan semua kekusutan dan masalah generasi sebelumnya.” Zuhrin mengucup dahi isterinya, lembut.
“Terima kasih, sebab sentiasa tahu macamana nak membahagiakan saya dan juga bagaimana nak menarik saya dari tergelincir.”
“Kerana awak suami saya.” Nurin tersenyum penuh makna.
‛Kerana awak suami saya, saya berdoa siang malam supaya kita bersama lagi di syurga yang abadi.’ Nurin terus tersenyum.
0 comments:
Post a Comment