Bab 13
Adam melangkah meninggalkan dewan sekolah dan bergerak menuju ke tempat pertemuan. Persekitaran sekolah amat sunyi. Tiada siapapun kelihatan. Dia mendaki anak tangga ke tingkat tiga, bangunan yang menempatkan kelas-kelas untuk tingkatan empat. Kelas yang menyimpan banyak kenangan mereka.
Sepi terasa menyelubungi seisi bangunan. Seluruh isi sekolah menghadiri jamuan di dewan sekolah. Adam kelihatan kacak dengan sepasang baju melayu ala Raihan berwarna biru, sedondon dengan Qistina…warna kegemarannya dan dipadankan dengan sampin berwarna emas dan coklat tua.
Adam amat berharap Qistina akan menemuinya setelah melihat Qistina menerima hadiahnya, namun Qistina adalah seorang yang sukar dijangka hati dan fikirannya. Adam mengakui walaupun Qistina tidak secantik Syiera dan Niza, mahupun gadis-gadis lain, namun Qistina amat istimewa di hatinya.
Sebaik sampai ke tingkat tiga, tempat perkenalannya dengan Qistina. Kelas 4KE2 yang menyimpan terlalu banyak memori dalam hubungan mereka yang singkat. Adam melintasi tempat kenangan dan melangkah birai tingkap untuk ke koridor tepi kelas yang bertentangan dengan koridor yang digunakan sebagai laluan pejalan kaki. Koridor yang seluas satu meter, selalu menyaksikan pertemuan mereka dahulu.
Pemandangan menghijau sawah padi dan angin yang bertiup agak mendamaikan. Koridor itu teduh, dilindungi dek pokok-pokok yang tinggi melangit. Kehijauan yang mendamaikan hati yang lara.
Adam memetik gitar yang sengaja dibawa, sebagai temannya. Manalah tahu, andai Qistina tidak sudi memenuhi permintaannya. Sekurang-kurangnya, tidaklah dia terlalu kebosanan.
Dengan penuh perasaan Adam mendendangkan lagu nyanyian Hattan yang berjudul Dari kekasih kepada kekasih. Bait-bait lagu didendangkan dengan penuh perasaan.
Entah berapa kali kucuba membohong hati ku ini,
Hebat dilanda rindu padamu
Namun semua alasan…rapuh bagaikan awan berarak
Yang memang tidak pernah abadi
Dan terlalu cepatnya berlalu
Pabila di giring angin dan mudah pula layu
Selepas ia melimpahkan titis-titis ehsan
Kini hatiku sangat terdesak untuk memilikimu
Agar bisa aku meneruskan sisa-sisa hidupku ini
Seperti manusia yang punya kekasih
Yang punya kekasih
Hebat dilanda rindu padamu
Namun semua alasan…rapuh bagaikan awan berarak
Yang memang tidak pernah abadi
Dan terlalu cepatnya berlalu
Pabila di giring angin dan mudah pula layu
Selepas ia melimpahkan titis-titis ehsan
Kini hatiku sangat terdesak untuk memilikimu
Agar bisa aku meneruskan sisa-sisa hidupku ini
Seperti manusia yang punya kekasih
Yang punya kekasih
Qistina lewat sepuluh minit. Sebaik sahaja sampai, telinga menangkap suara Adam yang merintih melalui lagu dendangannya. Qistina dibalut rasa bersalah dan terharu. Qistina melabuhkan punggungnya dibirai tingkap. Serba-salah menghimpit perasaannya.
Adam berhasrat untuk mengubah posisinya dari menjuntai kaki dengan bersandar ke dinding kelas. Sebaik sahaja memalingkan badannya, Adam terpaku. Senyuman manis Qistina seakan mahu meluruhkan jantungnya.
“Bila awak sampai?”
Qistina mengukir senyum sebagai jawapan.
“Dah lama awak sampai?” Tanya Adam lagi.
Qistina menganggukkan kepalanya.
“Awak tak sudi nak duduk di sini bersama saya?” soal Adam apabila Qistina masih berada di dalam kelas.
“Boleh awak tolong saya?” tanya Qistina kepada Adam dan membiarkan soalan Adam tanpa jawapan.
“Tolong saya, kain ni sempit.” Muka Qistina kemerahan, malu.
“Oh…” Adam tersenyum, sambil menghulurkan tangannya kepada Qistina.
Perlahan-lahan Qistina menyambut huluran tangan Adam dan melangkah naik ke atas kerusi lalu melangkahi birai tingkap dan terjun ke koridor. Qistina jatuh ke pelukan Adam. Cepat-cepat Qistina meleraikan pelukan yang tidak disengajakan itu.
Buat seketika masing-masing terdiam, malu. Muka mereka kemerah-merahan. Mereka berdua duduk di hujung koridor, membiarkan kedua belah kaki terjuntai turun sambil menikmati padi yang sedang berbuah.
“Awak…”
Qistina memalingkan wajahnya dan memandang Adam.
“Terima kasih.” Ucap Adam.
“Terima kasih?” Qistina tak faham.
“Sebab awak sudi pakai baju ni.”
“Oh…terima kasih pada awak sebenarnya. Baju ni cantik.”
“Baju ni takkan cantik kalau bukan awak yang pakai.” Adam memuji.
Qistina kembang setaman.
“Awat awak ajak saya mai sini?” Qistina mahukan penjelasan.
Adam hanya mengukir senyum.
“Kalau awak nak terus dengan senyuman awak, saya nak balik lah.” Gertak Qistina apabila Adam tidak lekang dengan senyumannya.
Tiba-tiba sahaja tawa Adam meledak apabila mendengar gertakan Qistina. Qistina menarik muka masam.
“Awak nak tau, awak makin cantik tau bila merajuk.” Adam terus ketawa.
Qistina bingkas bangun dan mahu beredar. Terasa dipermainkan. Pantas tangan Adam mencapai tangan Qistina.
“Janganlah lari lagi. Saya perlukan awak di sisi.” Adam bersuara perlahan, sambil tangannya masih menggenggam tanya Qistina.
Qistina yang cuba bangun, kembali duduk. Adam memegang tangan Qistina dan meletakkan tangannya di sisi. Sepasang gelang perak terlihat. Qistina memandang Adam, mencari jawapan.
“Saya tak pandai nak bermadah, tak puitis bila bercakap. Tapi saya tahu apa yang saya mahukan.” Adam diam buat seketika.
Angin menghembus ke muka mereka. Terasa amat mendamaikan. Qistina menantikan kata-kata Adam.
“Terlalu awai untuk saya sunting awak sebagai teman hidup, tapi saya takut kehilangan awak. Hampir setengah tahun awak mendiamkan diri, saya nanar sendiri. Hidup saya terlalu kosong dan hilang serinya tanpa awak. Awak...awak terlalu beerti dalam hidup saya. Saya ingin diam di hati awak, selamanya.”
Qistina tiada kata-kata buat seketika, membiarkan Adam memegang dan mengusap tangannya. Akhirnya, tautan tangan mereka saling menggenggam. Tapi mereka masih membisu.
Mereka saling berpandangan dan tersenyum.
“Dan tak sanggup saya lihat, awak dipimpin pergi dek orang lain. Apa lagi yang harus saya perbuat supaya awak boleh faham dan sudi terima saya? Saya cintakan awak, saya perlukan awak. Tanpa awak, hidup saya kosong…kosong sekali. Gelang ni sebagai tanda tak rasmi saya melamar awak. Saya harap awak sudi menerima.” Bicara Adam puitis.
“Awak rasa apa yang saya rasa?” Qistina membalas soalan Adam dengan senyuman.
“Awak dah tau akibatnya, bohongi saya. Mungkin ini peluang kedua buat awak, tapi saya tak rasa akan adanya peluang ketiga.” Jawapan Qistina merungkai segala persoalan di hati.
Adam menyambutnya dengan sengihan dan kegembiraan yang teramat sangat. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia memeluk erat gadis kesayangan yang berada di depan mata.
“Saya janji, saya akan sayangi dan kasihi awak…sepenuh hati saya.”
Qistina tersenyum mendengar ikrar Adam.
“Jangan hanya pandai berjanji.” Tegur Qistina, sekadar peringatan buat buah hati.
“Awat awak bagi saya baju ni?” Qistina cuba merungkai persoalan yang bersarang di hati sejak semalam.
“Saya nak dapatkan sedikit klu sebelum saya luahkan perasaan saya. Kalau awak tak sudi pakai, sekurang-kurangnya saya tau yang saya dah awak singkirkan terus dari hati awak. Tapi saya tetap berdoa, agar awak sudi pakai.” Bicara Adam dengan kata-kata yang tersusun.
“Tapi, kita tak pernah declare apa-apa sebelum ni. Awat lak timbui soal hati dan perasaan?” sengaja Qistina memprovok Adam.
“Soal hati tak perlu declare apa-apa. Tunggu ja saya masuk pinang awak.” Adam membayangkan hasrat hatinya dalam seloroh sambil mencuit manja hidung Qistina.
Mereka ketawa riang. Mereka berbual, bercerita tentang semua benda yang terjadi semasa perang dingin antara mereka. Adam dan Qistina sibuk bercerita, semua cerita yang selama ini terpendam diluahkan semuanya. Adam galak mengusik Qistina.
“Macamana baju ni boleh muat-muat ja dengan saya?”
Adam hanya tersengih apabila mendengar soalan Qistina.
“Kita tanya, dia sengih. Ada ka patut.” Qistina pura-pura merajuk.
Adam menarik lembut wajah Qistina yang dipalingkan ke sebelah kiri dari melihat Adam yang berada disebelah kanan.
“Syiera tolong saya rembat baju kurung prep awak buat contoh. Lepas tu saya suruh dia dapatkan ukuran pinggang awak.” Adam tersengih sambil membongkar rahsianya.
“Sampai hati awak buat pakatan dengan Syiera.” Qistina pura-pura merajuk.
“Awak…” Adam membuka genggaman tangan Qistina. Dua utas rantai bersama loket ‘A’ dan satu lagi loket ‛Q’ bertukar tangan.
Qistina memandang Adam dengan penuh tanda tanya.
“Lamaran saya pada awak. Lamaran agar awak sudi bersama saya. Lamaran untuk awak jadi suri hidup saya, biarlah orang tua kita yang uruskan. Untuk awak emas putih, dan untuk saya perak. Rantai yang sama dan loket yang berbeza huruf.” Adam menunjukkan rantai yang dipakainya. Qistina rasa terbuai.
Qistina memulangkan rantai berloket ‛A’ itu kepada Adam. Muka Adam berubah.
“Awat?” Cuak juga apabila Qistina melakukan sedemikian.
“Saya nak awak pakaikan.” Kata Qistina sambil menguak sedikit tudung yang dipakai.
Adam menarik nafas lega. Takut ditolak lagi.
“Awak sentiasa di hati saya. Saya…” kata-kata Adam terhenti apabila terdengar bunyi benda jatuh dari dalam kelas.
Mereka berdua terperanjat. Kalau cikgu yang datang…memang naya mereka berdua. Pantas mereka bangun, tapi untuk lari…tak mungkin.
0 comments:
Post a Comment