Bab 12
Qistina membelek kad yang dijumpai di dalam laci mejanya, bersama dengan satu bungkusan yang dibalut kemas dan cantik. Qistina membelek kad dan bungkusan yang diterima dari Adam.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri…saya mohon maaf zahir dan batin. Saya harap sangat awak sudi mengenakan pakaian ini untuk Jamuan Hari Raya esok. Saya akan tunggu awak dekat tempat biasa, pukul 11.15 pagi.
P/S : Tahun baru ni apa kata kalo kita bukak buku baru???”
Qistina menyumbatkan bungkusan itu ke dalam beg sekolah. Hatinya meronta mahu melihat isi bungkusan itu. Dia mampu membohongi teman-teman, namun dia tidak mampu membohongi hatinya sendiri. Dia amat merindui Adam.
Bagi Qistina, malam itu berlalu dengan terlalu perlahan. Dia tidak sabar menanti hari esok. Jamuan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal diadakan keesokkan harinya membuatkan hatinya berdebar-benar. Duduk salah, berdiri salah, baring pun rasa salah, kesimpulannya semuanya buatkan dia rasa serba-salah.
Syiera juga kelihatan teruja menanti esok. Katanya pakaiannya dengan Ijam adalah sedondon. Niza juga sedondon dengan Shahril dari kelas KJ2. Mereka yang berpasangan sejak dari pertengahan tingkatan empat merupakan pasangan yang bahagia di matanya. Di hatinya, dia kepingin untuk memiliki satu cinta yang bahagia seperti teman-temannya.
Qistina mengenakan kebaya labuh berwarna biru yang penuh dengan sulaman dan juga dihiasi dengan manik-manik. Qistina amat menyukai baju yang dihadiahkan oleh Adam. Kebaya itu muat-muat disarungkan ke tubuhnya. Syiera dan Niza yang juga sedang bersiap, terpegun melihat kecantikan kebaya yang sedang dipakai oleh Qistina dan dipadankan dengan tudung sutera berwarna krim yang disulam dengan bunga yang sama.
“Vougenya.” Sepatah perkataan yang keluar dari mulut Syiera.
“Vouge sangat ka?” Qistina sudah mula cuak.
Takut dikatakan melampau dek teman-teman.
“Cantik. Cantik sangat.” Niza dan Syiera kagum pada keindahan sulaman dan buatan kebaya pemberian Adam.
Qistina gugup sebenarnya, malu melangkah keluar dari bilik apatah lagi ke sekolah dengan pakaian begitu. Namun, apabila dikenangkan yang ianya permintaan dari Adam, ditabahkan juga hatinya untuk melangkah.
Qistina sedar, dia agak menjadi perhatian hari ini. Tambahan pula, majlis diadakan di Dewan Sekolah. Tapi nasib baiklah, semuanya teman-teman setingkatan kerana pelajar tingkatan empat belum melaporkan diri lagi. Minggu hadapan barulah pelajar tingkatan empat akan melaporkan diri.
Qistina perasankan lirikan mata Adam dan senyuman manisnya. Senyuman tanda puas hati. Qistina tunduk malu. Syiera dan Niza yang sentiasa kecoh menceriakan suasana dengan gelak tawa mereka. Di tengah-tengah kemeriahan itu, hati Qistina dan Adam berperang hebat.
“Amboi…sedondon nampak.” Usik Ijam yang entah dari mana datangnya.
Qistina agak tersentak. Tadi dilihatnya Ijam asyik bersama Syiera dan Shahril. Entah bila dua pasangan ini menghampiri, langsung tidak disedarinya.
“Sedondon?” Qistina buat-buat tidak faham.
Mereka senyum nakal.
“Kalau dalam hati tu dah ‘kuch kuch hota hai’, terima je lah. Jadi macam kami. Insya-Allah bahagia. Ni dak, sorang ke utara, sorang ke selatan. Sudahnya angau sendiri, sakit jiwa.” Usik Shahril pula.
“Ops…ops…apa ni? Aku kurang paham. Untuk makluman hang Shah, aku ni ambik kelas kejuruteraan bukan kelas sastera. Cakap tu cuba bagi terang.” Qistina malas dan gugup melayan usikan dan kiasan mereka.
Qistina meneruskan suapan nasi himpit ke mulut. Nasi himpit berkuah lodeh dan sambal ikan bilis amat digemarinya. Qistina diulit rasa cemburu apabila melihat kemesraan dan kebahagiaan teman-temannya. Sedikit sebanyak dia mengakui kata-kata Shahril.
“Guys, enjoy yourself. Aku nak pi jumpak cikgu-cikgi dengan kawan-kawan kita yang lain.” Qistina meminta izin berlalu apabila jarum jam sudah menginjak ke pukul sebelas pagi.
“Nantilah kita pi sekali.” Niza cuba menahan langkah Qistina tapi sudah terlambat.
Qistina sudahpun berlalu meninggalkan mereka berempat yang sedang menikmati sate dan juga ketupat bersama rendang.
“Awat nampak Que pelik ja hari ni?” Ijam memecah kesunyian yang tercipta dek keasyikan menjamu selera.
“Entah. Nampak cam gabra pun ada jugak.” Celah Shahril.
Syiera dan Niza berpandangan.
“Macam ada yang tak kena.” Serentak Syiera dan Niza bersuara.
Mereka berpandangan sesama sendiri, idea nakal terbit di kepala masing-masing.
0 comments:
Post a Comment