Total Pageviews

Terlanjur Cinta -28-

Wednesday, April 6, 2011

| | |


Bab 28
Sebaik sahaja majlis keluarga itu tamat, Zuhrin segera menghilangkan diri dengan alasan mahu bertemu rakan-rakan dan mungkin tak pulang tidur. Nurin sudah beransur pulang setengah jam lebih awal. Perjalanan dari rumah tok ke rumah Nurin hanyalah dua puluh minit, pasti Nurin sudah sampai ke rumah. Fikir Zuhrin.
Apabila Zuhrin sampai, rumah dalam keadaan gelap. Cahaya lampu hanya kelihatan dari bilik utama. Azan Isya’ sedang berkumandang. Kereta Nurin sudah berada ditempatnya.
Zuhrin melangkah perlahan-lahan memasuki rumah sambil berwaspada. Risau juga hatinya apabila melihat rumah dalam keadaan gelap. Walaupun cuba menepis namun dia tak mampu membuang perasaan curiga dari dalam hatinya. Apatah lagi dengan kadar jenayah yang makin meningkat dari hari ke hari.
Dalam berjaga-jaga Zuhrin tak mampu menepis rasa rindu yang teramat sangat kepada Nurin. Perlahan-lahan Zuhrin menolak pintu kamar tidur utama. Air matanya jatuh apabila melihat Nurin tertidur dengan kain telekung sambil memeluk erat foto perkahwinan mereka. Zuhrin memegang dada, hatinya sakit melihat Nurin menderita kerana mencintainya.
Zuhrin mendekati Nurin, perlahan-lahan mengusap lembut pipi Nurin supaya Nurin tidak terkejut.
“Saya dapat rasa awak akan balik malam ni.” Nurin mencapai tangan Zuhrin untuk disalam dan dicium.
Zuhrin membalas dengan ciuman di dahi Nurin. Lama mereka memandang antara satu sama lain. Rindu yang tak terucap, bagaikan cukup hanya dengan memandang.
“Saya nak awak tau, walaupun kita ditakdirkan sepupu dan laluan kita agak berliku selepas ni...awak tetap di sini.” Zuhrin menarik tangan Nurin dan diletakkan di hatinya.
“Saya percaya, selagi Allah memberkati pernikahan kita...selagi cinta kita teguh ditempatnya selagi itu kita akan tetap bahagia bersama walaupun apa saja yang mendatang.” Zuhrin memberi perangsang buat Nurin.
Nurin memeluk erat Zuhrin.
Saat bersama buatkan masing-masing lupa segala masalah yang membelenggu buat seketika. Zuhrin juga lupa pada keluarga di kampung. Saat ini, hanya dia dan Nurin...itu keluarganya.
Betapa bahagia dan nikmatnya hidup dapat solat berjemaah bersama, kebahagiaan yang tak terucap.
“Saya tak mau kita kejar dunia semata-mata sebab kita hidup bukan untuk selamanya.” Zuhrin sentiasa mengingatkan Nurin akan tanggungjawab sebagai seorang muslimat dan juga isteri.
“Demi cinta, kita pilih untuk jalani hidup bersama. Saya ingin awak sentiasa samping. Tanpa awak, saya hanya seorang manusia tanpa cinta dan hanya awak di taman hati saya sebab dalam hati ni ada taman khas untuk awak.” Zuhrin membelai hati Nurin dengan kata-kata manis.
“Walaupun laluan cinta kita bakal berliku, saya akan terus mencintai awak, menjaga awak dan anak-anak kita selama saya masih hidup. Dan saya berjanji, hanya awak yang saya sayangi.” Tangan mereka berdua saling menggenggam erat dan Nurin hanyut dalam pelukan Zuhrin.

0 comments:

Followers