Bab 14
“Amboi…amboi…kita dok asyik dengan Jamuan Raya, depa dok bercanda kat sini.”
Adam dan Qistina menarik nafas lega apabila melihatkan siapa yang datang. Qistina memegang dadanya, bagaikan memegang jantung agar jangan terlucut dari tangkainya. Mereka berdua hanya tersengih apabila disergah begitu oleh Syiera.
Zack dan Ijam membantu buah hati masing-masing untuk melangkah birai tingkap, ke koridor.
“Tapi…rasanya kami semua ni tengah confuse.” Sengaja Ijam memprovok Adam dan Qistina.
Mereka berdua buat muka bodoh. Tanpa sebarang komen.
“Woii…apa cerita ni?” Sergah Niza pula.
“Tak dak apa. Sembang-sembang.” Adam sengaja membakar hati teman-teman yang teruja.
“Patutlah dari tadi, dua-dua nampak gelabah ja. Rupanya ada projek X kat sini no.” Usik Zack.
“Uiks…apa projek-projek X? Dengaq dek orang lain…lain pulak yang depa pikiaq.” Sergah Adam kembali.
“Dah tu, cerita la…” Mereka berempat masih berusaha.
Qistina dan Adam saling berpandangan dan tersenyum, membakar hati teman-teman yang memandang. Sengaja mereka mendera teman-teman begitu.
Sedalam mana mereka cuba untuk menutup hubungan yang terjalin, tetap terlihat dek pandangan orang. Masakan mampu bersembunyi apabila di mana saja ada Qistina, di situ pasti adanya Adam, kecualilah ASPURI/ASPURA mahupun tandas. Nasib baiklah mereka tidak sekelas, tapi tetap punya ruang untuk main mata kerana kelas mereka bertentang. Mahu lingkup SPM kalau asyik melayan cinta.
Dalam kesibukan belajar dan bercinta, Qistina tetap mengutamakan aktiviti ko-kurikulumnya terutama Pengakap dan Persatuan Silat.
Dalam pelajaran Qistina dan Adam saling berlumba, markah siapa yang lebih baik setiap kali ujian mahupun peperiksaan dan mereka saling membantu apabila belajar. Tetapi dalam aktiviti ko-kurikulum, Qistina lebih rapat dengan Ijam kerana mereka di dalam persatuan dan kelab yang sama dan sama-sama memegang jawatan penting dalam persatuan. Nasib baiklah Ijam dan Adam sahabat karib dan Ijam terang-terang mencintai Syiera, kalau tidak susah juga.
Semakin mengenali Adam, Qistina perasankan sesuatu yang agak kurang menyenangkan. Adam agak kuat cemburunya. Kehilangan Qistina tahun lepas benar-benar membuatkannya takut kehilangan lagi. Oleh itu, dengan sebolehnya Adam cuba untuk menjadi lelaki terbaik buat Qistina. Setiap gerak Qistina akan cuba dipastikan, setiap langkah Qistina pasti akan dipantau.
Qistina sedar Adam amat mencintainya dan Qistina juga rasakannya, cuma dengan usia mereka yang masih sangat muda Qistina takut untuk memberikan komitmen yang berlebihan. Qistina seorang yang sangat aktif dan lasak, gemarkan cabaran dan Adam kurang gemar apabila Qistina lasak kerana terlalu bimbangkan Qistina.
Kadang-kadang naik buntu Qistina apabila memikirkan Adam. Sehinggakan dia rasa lapang apabila Adam tiada kerana latihan hoki ataupun ada perlawanan di tempat lain. Sekurang-kurangnya langkahnya tidak sumbang dek terlalu diperhatikan.
Apakah ini juga rasanya cinta? Qistina tiada jawapannya.
0 comments:
Post a Comment