Bab 7
Jun 1997
“Que, Kak Ina nak jumpak hang lepas prep sat gi.” Beritahu Syiera mengenai pesanan Zurina
“Awat?” Qistina hairan.
“Tak tau la pulak aku. Dia bagitau waktu aku pi surau tadi.” Jawab Syiera sambil terus menumpukan perhatiannya pada soalan-soalan latihan Fizik yang bersepah-sepah.
“Okey. Thanks. Nanti lepas prep aku carik dia.”
Entah kenapa, hatinya berdebar-debar dengan tiba-tiba. Sebaik sahaja selesai prep, Qistina menuju ke bilik Zurina yang dikongsi bersama dengan dua lagi senior yang juga pengawas ASPURI, Irma dan Husna.
“Assalamualaikum.” Qistina memberi salam dan juga mengetuk bilik Zurina.
“Waalaikumussalam. Que ke tu, masuklah. Kak Ina tengah pakai baju ni.” Qistina menguak pintu bilik yang bernombor H9.
Tanpa dipelawa, Qistina melabuhkan punggungnya ke birai katil Zurina.
“Jap ye, Que. Kak Ina nak panggil Kak Ma dengan Kak Hus.” Qistina hanya menganggukkan kepalanya mendengarkan kata-kata Zurina.
‘Apa depa nak ni, suruh aku mai sini. Confius aku.’ Bebel Qistina seorang diri sebaik sahaja ditinggalkan.
Lebih kurang lima minit kemudian, Zurina kembali ke bilik bersama Irma dan Husna. Mereka duduk mengelilinginya.
“Ada apa ni?” Qistina makin tidak sedap hati.
‘Takkan depa nak buli aku. Minggu Orientasi dah lama habis.’ Desis hati Qistina.
Sengihan mereka bertiga mengelirukan Qistina.
“Macam ni Que, kami ni teringin sangat nak ambil seorang lagi adik angkat.” Zurina memulakan mukadimahnya.
“Maksud Kak Ina?”
‘Nak ambik sapa pulak? Apa kena-mengena dengan aku?’
“Sekarang kami dah ada Que, tapi la ni kami nak mintak tolong Que. Kami nak ambil Zack jadi adik angkat kami.” Terang Irma pula.
“Zack?” Qistina makin bingung.
‘Zack pun aku tak kenai, nak mintak tolong aku. Mintak la tolong Syiera ka Niza ka. Logik la juga.’ Omel Qistina lagi.
“A’ah, Zack. Kami rasa, Que lah orang terbaik untuk bagitau Zack hasrat kami.”
“Sat…sat…kakak-kakak sekalian, saya ni Zack pun tak kenai. Kalau Kak Ina, Kak Ma dengan Kak Hus mintak tolong dengan Syiera atau Niza, logik la juga. Depa kawan dia.”
“Loh…takkan hang tak kenai Zack. Pagi, petang, siang, malam dok berkepit, hang kata hang tak kenai Zack?” Sindiran Husna menambahkan kebingungan Qistina.
“Saya tak faham la.”
“Ma, hang ada gambaq Zack kan. Ala…gambaq waktu orientasi hari tu.”
Sebaik sahaja mendengar kata-kata Husna, Irma bangun ke meja tulisnya; mengeluarkan sebuah album gambar.
Irma membawa album itu kepada mereka bertiga. Buat beberapa ketika, Irma menyelak-nyelak album gambar yang tebal mencari-cari gambar yang dimaksudkan.
“Ha…ni dia.”
Irma menunjukkan gambar yang dikatakan kepada Qistina.
“Ini…Zack?” Bagaikan mahu pitam Qistina apabila melihat gambar Zack.
‘Ya Allah…permainan apakah ini?’ Qistina bagai mahu menangis.
“La ni hang dah kenai kan?” Sindiran Irma hanya termampu dijawab dengan anggukan oleh Qistina.
Hatinya sebak. Dia rasa tertipu, tertipu dengan lakonan Adam.
“So, hang boleh la tolong kami?”
Qistina menelan liur.
‘Macamana harus aku berdepan dengan dia?’
“Saya mintak diri dulu.” Tanpa menunggu sebarang jawapan, Qistina meninggalkan mereka bertiga terpinga-pinga apabila melihatkan airmata yang bergenang di pelupuk mata Qistina.
Qistina meluru keluar, airmata yang sedang ditahan tidak mampu lagi diempang di kelopak matanya. Qistina memilih untuk bersendirian di hujung blok ASPURI yang bersebelahan dengan padang utama. Kawasan yang menempatkan beberapa bilik stor itu cukup sunyi. Oleh kerana kesunyian itulah, Qistina sering menghabiskan masanya dia situ sambil menikmati pemandangan sawah padi yang menghijau.
‘Apa salah aku, Adam? Pasai apa hubungan kita tidak bermula dengan jujur? Kenapa aku yang hang pilih untuk dikecewakan?’
Airmatanya meluncur laju, membasahi pipinya.
Hampir sejam melayan perasaan, Qistina memutuskan untuk kembali ke dorm. Dengan langkah yang berat, Qistina mengaturkan langkahnya. Dia melintasi teman-teman baiknya tanpa sapaan seperti selalu.
Syiera, Niza dan Nabila saling berpandangan. Bingung dengan perubahan Qistina. Tanpa sebarang kata, Qistina meninggalkan mereka dan berlalu ke bilik air. Apa yang mereka perasankan, ada sisa airmata di pipinya dan itu menambahkan persoalan di benak mereka.
Membasahkan diri, memberikannya sedikit ketenangan. Qistina membiarkan air dari pancuran mandian membasahi dirinya. Kesegaran air memulihkan sedikit tekanan yang diterimanya sebentar tadi. Dia cuba untuk merasionalkan kembali hati dan perasaannya.
Qistina membiarkan malam itu berlalu tanpa sepatah kata dari mulutnya. Prep malam juga hanya di mejanya di asrama. Teman-teman makin dihimpit persoalan. Qistina tidak pernah memencilkan mahupun mendiamkan diri sebegini.
“Aku tak tau la apa masalah dia. Balik ja dari bilik Kak Ina, terus dia tak cakap dengan kami.” Luah Syiera apabila Adam bertanyakan Qistina.
Mereka berempat duduk bertentangan, menghadap satu sama lain. Muka Adam berkerut-kerut, berfikir.
“Dia macam baru lepas menangis.” Tambah Niza.
Adam makin kalut. Hatinya berdebar-debar. Ketenangan malam tidak menggambarkan ketenangan yang sepatutnya bertapak di hati Adam. Berita yang diterimanya dek seakan memukul kuat jantungnya.
“Aku takut rahsia hang dah pecah.” Sambung Niza lagi.
Adam ternganga.
“Takkan kot.” Adam mula gusar.
“Kan aku dah kata, terus-terang dengan dia. Tapi hang ketegaq. Kata nak cari masa yang sesuai la. La ni, tengok. Apa dah jadi.” Bebel Syiera.
“Woi…woi…benda tak sahih, jangan la dok hentam aku. Kot-kot dia ada masalah.” Adam cuba menyedapkan hatinya sendiri.
“Kalau dak, cuba hang bagi kami satu penjelasan yang logik. Pasai apa Que tiba-tiba jadi macam tu?” Cabar Syiera pada Adam.
Adam terdiam. Ijam menepuk perlahan bahu teman baiknya itu. Ijam dapat merasakan gelora di hati Adam. Dia tahu, betapa pentingnya Qistina kepada Adam. Walaupun Adam tidak pernah mengucapkannya, namun pandangan dan layanan Adam pada Qistina terlalu berbeza.
“Aku blah dulu. Kita tengok esok macamana.” Adam menggalas beg sandang yang belum dibongkarkan isinya malam ini.
Semuanya kerana misteri kelakuan Qistina. Dadanya rasa senak, sesak. Dia bagaikan tidak mampu untuk bernafas.
‘Qis, tolonglah izinkan saya kongsi segala masalah awak dan saya harap saya bukanlah punca segala masalah awak. Saya akui, saya salah kerana tidak berlaku jujur. Tapi, saya punya alasan saya sendiri.’
Adam melangkah lesu, kembali ke kamarnya. Angin sepoi-sepoi bahasa dirasakan bagai taufan yang menghentam dirinya. Tiada ketenangan buatnya malam ini. Hatinya sebak dan pilu dan sebarang sebab yang pasti.
Sampai ke kamar, Adam terus merebahkan badannya. Pandangannya seakan menembusi siling. Fikirannya melayang, mencari di mana Qistina dan kenapa Qistina berubah. Qistina terlalu bermakna buatnya. Kasihnya pada Qistina tulus, cuma caranya mungkin salah. Dia tak bohong, cuma dia tidak berterus-terang.
‘Kalau awak membuang saya, saya pasti akan merana. Kalau awak pinggirkan saya, saya pasti terseksa. Awak mewarnai hidup saya. Jangan awak pergi hanya kerana kebodohan saya.’
Adam merintih sendiri. Kepulangan Ijam ke kamar juga tidak disedarinya. Dadanya terasa sesak. Nak bernyawa pun bagaikan dia tidak mampu. Adam menelentang. Dia menatap gambar-gambar Qistina yang ditampalkan di lantai katil tingkat atas. Hanya gambar-gambar itulah yang sentiasa menemaninya, mengurangkan rasa rindu dendamnya pada Qistina. Walaupun saban hari mereka bersama, dek kerana cinta tidak pernah diluahkan dia menanggung rindu sendirian.
Ijam hanya mampu memandang Adam dari katilnya. Pada mulanya, dia ingin sama-sama menenangkan Adam. Namun apabila terpandangkan kemurungan Adam, Ijam membatalkan hasratnya. Dia memberikan ruang pada Adam untuk berfikir dan bertenang. Persahabatan yang terjalin sejak di sekolah rendah buatkan Ijam amat memahami Adam.
0 comments:
Post a Comment