Total Pageviews

Terlanjur Cinta -19-

Wednesday, September 29, 2010

| | | 0 comments
Bab 19

Nurin kembali bertugas dengan hati separa rela kerana meninggalkan Zuhrin sendirian di rumah. Zuhrin menghantar dan bakal menjemputnya daripada kerja, setiap hati. Ciuman dan pelukan setiap kali bertemu dan berpisah memberikan sedikit semangat buat Nurin yang separuh rela.

“Kerja elok-elok tau, jangan asyik nak berkhayal ingatkan saya.” Zuhrin sempat mengusik Nurin, sebelum isterinya melangkah turun daripada kereta.

Nurin mencebikkan bibirnya, kononnya merajuk dengan usikan Zuhrin. Cebikan Nurin disambut dengan cubitan manja oleh Zuhrin di pipi kanan Nurin. Mereka ketawa bersama. Nurin melambai Zuhrin sebelum melangkah masuk ke pejabat.

Senyuman tidak lekang dari bibirnya, hatinya seakan terbuai.

“Amboi...mentang-mentang la cik abang dia ada sini, senyum meleret. Tak lenguh ka cek oii.” Usik Zaim apabila senyuman terukir di wajah Nurin sepanjang hari.

Meja Nurin yang agak terasing dari teman-teman yang lain memudahkan Zaim mengusiknya tanpa perbualan mereka didengari oleh teman-teman yang lain.

Zaim dan keluarganya telah diperkenalkan dengan Zuhrin semasa kenduri menyambut kepulangan Zuhrin yang lalu. Zaim seronok melihat Nurin yang selalu gembira, tak seperti Nurin yang dikenalinya selama ini. Mungkin Nurin berasakan kehidupannya sudah lengkap, tidak sendirian lagi.

“You tak suka ka tengok I happy?” Saja Nurin memprovok Zaim.

“Memang la I suka. Tapi jangan haraplah you nak stayback kat office macam biasakan? Hilanglah pekerja I yang paling komited.” Zaim buat muka kasihan.

Nurin mencebik bibir mendengar kata-kata Zaim.

Nurin memang dikenali sebagai antara pekerjanya yang sangat komited dengan kerjayanya.

“Tau pun. So jangan suruh I buat kerja banyak-banyak dan jangan bagi I projek baru. I nak berehat.” Nurin mengingatkan Zaim dalam nada bergurau.

Tapi Zaim tahu, Nurin memang memaksudkan kata-katanya. Sebagai orang lama, pasti Nurin ingin menikmati saat-saat indah bersama suaminya sekarang. Zaim juga tidak mahu menjadi seorang majikan yang kejam dan tidak bertimbangrasa kepada pekerja bawahannya. Dia mahu semua pekerja di bawah jagaannya bekerja dalam keadaan sepenuh hati dan seronok. Dia sentiasa terbuka untuk apa saja perbincangan.

Menanti pukul 5.30 petang bagaikan satu penyeksaan kepada Nurin yang selama ini tidak pernah mempedulikan waktu yang berlalu. Tepat 5.30 petang Zuhrin menghantar mesej memberitahu dia telah ada di lobi untuk menjemput Nurin. Cepat-cepat Nurin menghilangkan diri tanpa sempat dikesan oleh teman-temannya yang lain, termasuk Zaim.

“Assalamualaikum.” Nurin memberi salam sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kereta.

Tangan Zuhrin disalami dan dicium. Zuhrin tersenyum dan mencium lembut pipi Nurin.

“Penat la...” Nurin mengadu sambil mematah-matahkan jarinya yang kelenguhan.

“Betoi ka awak kerja?” Usik Zuhrin.

Nurin memandang dengan penuh tanda-tanya. Dahinya berkerut. Tak faham dengan soalan Zuhrin.

“Yela, mana la tau kan...kot-kot sepanjang hari ni awak dok termenung ingatkan saya. Buas ka nakal ka kat rumah tu.” Kata-kata Zuhrin disambut dengan cubitan oleh Nurin di paha kiri Zuhrin.

“Aduh...sampai hati awak cubit saya.” Nurin menjelirkan lidahnya sedikit buat Zuhrin, sebagai isyarat padan muka.

“Sampai hati awak, dah awak cubit saya awak jelir pulak kat saya.” Zuhrin pura-pura merajuk.

Sengaja dia membuat muka sedih. Nurin terasa bersalah.

“Maaf.” Perlahan Nurin menuturkan maaf.

Serentak itu juga Zuhrin menyeringai.

“Sayang awak.” Zuhrin mencuit lembut hidung Nurin, mengendurkan kembali suasana yang hampir suram.

Nurin mengeluh, geram juga kerana terkena dengan usikan Zuhrin.

‘Percikan sinar matamu singgah di hati ini, membuatkan bibirku bergetar dan bisu. Sukar untuk dimengerti, kenapa. Tanpa sempat berkelip, hatiku telah kau tawan sedangkan sebelum ini aku tidak pernah mengerti apa itu cinta. Biarpun aku cuba menyembunyikan gelora hati ini, cahaya cinta tak mampu diselindungkan bagaikan cahaya bulan purnama di malam hari.’ Zuhrin tak mampu menzahirkan rasa hatinya kepada Nurin, namun dia dapat rasakan Nurin memahami perasaannya kepada wanita itu.

Betapa dia amat mencintai dan mengasihi isterinya. Dia juga mengharapkan Nurin mencintainya sebagai dia mencintai isterinya.

“Awak sempatkan kenduri kahwin Didi?” Mereka beriringan masuk ke rumah selepas Zuhrin membuka pintu gelungsur berkaca hitam itu.

“Bila?” Zuhrin ada terdengar perihal Didi yang bakal menamatkan zaman bujangnya, namun dia tak pasti akan tarikhnya.

“Hujung bulan depan, dua puluh lapan haribulan.” Zuhrin melihat kalender di atas meja bulat di sisi televisyen plasma 32 inci.

Seketika kemnudian Zuhrin menganggukkan kepalanya. Namun wajahnya hilang ceria.

“Awat ni?” Nurin terperasankan riak Zuhrin yang berubah.

“Seminggu lepas tu, saya kena balik sana.” Zuhrin berbaring di atas ribaan Nurin, di atas sofa hijau muda berbentuk L.

Nurin membelai lembut rambut suaminya yang panjang.

“Kalau ikutkan hati, saya memang tak mau bagi awak balik sana lagi. Saya nak awak di sini bersama saya, selalu. Tapi saya tahu, saya tak boleh tamak. Awak masih ada tanggungjawab yang perlu awak sempurnakan.” Nurin menundukkan dan mencium dahi Zuhrin.

Zuhrin mencari tangan isterinya dan digenggam erat, tangan Nurin di bawanya ke dada.

“Dan kita perlu bersedia menghadapi kebenaran dalam hidup kita. Laluan kita tak mudah, sayang. Insya-Allah, kalau cinta kita kuat kita akan berjaya tempuhi apa saja dugaannya.” Nurin membalas senyuman Zuhrin, sebagai azimat untuk masa depan yang tak pasti.

‘Sayang, kaulah hidupku. Aku cinta padamu sampai mati, isteriku. Belahlah dadaku, akan ku buktikannya kepadamu.’ Nurin sebenarnya juga risau dengan masa depan mereka.

Namun dia cuba untuk tidak menunjukkan kerisauannya kepada Zuhrin. Dia tak mahu menambahkan kekusutan fikiran Zuhrin.

“Saya nak mandi, awak nak mandi tak? Lepas mandi nanti saya masak. Awak nak makan apa?” Tanpa menjawab soalan Nurin, Zuhrin bangun dan terus mendukung Nurin ke bilik air.

Terjerit-jerit Nurin apabila didukung oleh Zuhrin dengan tiba-tiba. Dari Saidatina Aisyah r.a, ia berkata, “Aku biasa mandi bersama dengan Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam dengan satu bejana. Kami biasa bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bejana).” (HR. Abdurrazaq dan Ibnu Abi Syaibah).

Terlanjur Cinta -18-

Monday, September 27, 2010

| | | 0 comments
Kepada teman2 yg mengikuti cerita ni, thanks. To Wahida yg alert aku untuk apdet...thank you very much. Ralit raya dgn baking2...sampai lupa nk apdet stori mori nih...jom layan cerita yg x seberapa nih....

Bab 18

“Betoi kak, aku nampak sendiri. Budak tu sebijik Ayen. Takkan aku tak kenai bakai menantu sendiri?” Sebaik sahaja pulang dari Tesco, Mak Nab terus bergegas ke rumah Zuhrin.

Mak terus menggoreng ikan bilis untuk dibuat sambal, jualan petang ini.

“Hang ni, Nab. Takkan Ayen balik tak bagitau aku. Lagipun, mana dia nak cari duit nak balik pulak. Kenduri Aisyah hari tu kan dia baru balik.” Walaupun mulut mak menafikan, tapi sebagai seorang ibu hatinya tetap berdetak menerima perkhabaran yang sangat-sangat mengejutkan.

“Aku nampak dia dengan perempuan.” Mak Nab tetap mahu memberitahu apa yang dinampaknya.

Dia mempercayai apa yang dilihatnya. Dia pasti, dia tak bermimpi.

“Perempuan? Ayen tak pernah ada hubungan dengan mana-mana perempuan. Dia anak yang paling patuh, dia takkan buat benda pelik-pelik. Lagipun, dia pun tahu lepas habis belajaq dia akan nikah dengan Iffah.”

Mak Nab mengakui kebenaran kata-kata mak, tapi dia sukar untuk menafikan apa yang dilihatnya. Terlalu jelas dan dekat. Dia yakin, itu ialah Zuhrin.

Walaupun hatinya tidak enak, mak tetap meneruskan persiapan buat meniaga malam nanti. Mak berniaga nasi lemak dan nasi campur. Itulah rezeki yang membantu mereka sekeluarga meneruskan kehidupan dan dengan rezeki itulah dia membesarkan anak-anaknya. Didikannya suami isteri kepada anak-anak agak ketat.

Tapi perkhabaran yang dibawa sahabat baiknya, tetap mengusik ketenangan seorang ibu. Mak pura-pura tak memberi perhatian dengan perkhabaran itu dan cuba menyakini anak kesayangannya.

Zuhrin berpeluh-peluh mengayuh basikal di dalam gim mini di tingkat atas rumah. Nurin pula sibuk dengan stok yang baru sampai di spa. Di hatinya terasa rindu kepada keluarga, terutamanya mak dan ayah.

‘Ya Allah, ampunilah dosa aku. Berikanlah aku kekuatan, aku rasa aku dah buat satu keputusan yang betul. Memilih unuk berkahwin daripada menambah dosa menjalinkan hubungan cinta tanpa ikatan. Berdosakah aku, kerana membelakangkan orang-orang yang melahirkan aku dan membesarkan aku dengan penuh kasih sayang?’

Zuhrin mengesat peluhnya, singlet putih yang dipakainya sudah lencun. Penat berkayuh, Zuhrin berlari-lari anak di atas treadmill.

‘Aku cintakan dia, aku tak sanggup kehilangan dia.’ Zuhrin mengeluh sendirian.

Fikirannya buntu. Dia tahu dan sedar, masalahnya sekarang cukup besar. Dia dah mengheret Nurin sama ke dalam masalah keluarganya. Walaupun dia pernah memberitahu keluarga sudah punya pilihan untuknya, namun dia tidak pernah memberitahu yang dia telah ditunangkan seawal umur lapan belas tahun dengan anak Mak Nab yang juga sebaya dengannya.

Iffah, memang cantik. Lebih cantik daripada Nurin, namun tidak pernah terdetik rasa cinta dihatinya pada Iffah. Iffah baik budi bahasa, bersopan santun dan juga pintar. Sebagai seorang bakal doktor yang kini sedang meneruskan pengajiannya di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. Iffah sepatutnya menawan hatinya. Tapi, entah kenapa dia tak pernah mampu untuk memupuk rasa cinta kepada wanita muda itu sebagaimana Iffah kini amat mencintainya. Emel-emel yang Iffah layangkan dan ingatan wanita itu seakan mengejarnya, namun tak pernah dibalasnya, bimbang menanam harapan di hati wanita muda itu.

Zuhrin rasa bersalah dan berdosa kepada semua. Penat berlari Zuhrin meloloskan diri melalui pintu kaca untuk keluar ke balkoni tingkat atas. Sekadar mencari angin, melepaskan rasa sesak di dalam dada.

“Apa yang awak menungkan?” Sapaan Nurin yang sedang menatang dua gelas jus epal dan sedikit kuih mengejutkan Zuhrin.

Nurin meletakkan dulang di atas meja santai berbentuk bulat daripada rotan yang dilengkapi dengan empat bangku rotan.

“Takdak apa. Penat kayuh basikal awak tu.” Zuhrin berdalih.

Nurin mengukir senyum sendiri. Dia tahu, Zuhrin menyembunyikan kegelisahannya. Nurin bangun dan berjalan ke arah Zuhrin. Nurin memeluk Zuhrin dari belakang dan menyandar kepalanya ke belakang suaminya. Zuhrin tersentuh, perlahan-lahan dia memegang tangan Nurin yang memeluknya erat.

“Awak...kita kena hargai setiap saat yang kita ada, sebab kita tak tau apa yang akan terjadi nanti. Selagi kita bersama, setiap saat adalah milik kita. Saya tak mau kehilangan satu saat pun daripada masa-masa ni.” Nurin membisikkan kata-kata semangat buat Zuhrin.

Zuhrin mengangguk perlahan, mengakui kebenaran kata-kata Nurin.

“Awak...saya tak menyesal kalau satu hari nanti takdir tak menyebelahi kita. Awak nak tau sebab apa?” Sengaja Nurin memprovok Zuhrin

Zuhrin mengangguk lagi.

“Sebab kasih sayang yang awak bagi, cukup untuk menemani saya sepanjang hayat. Saya cintakan awak dan akan terus mencintai awak. Insya-Allah...kalau boleh, sampai ke hujung nyawa.” Nurin melafazkan ikrar cintanya kepada Zuhrin.

“Saya juga...tapi saya sentiasa doakan agar takdir menyebelahi kita.” Zuhrin berkalih dan membalas pelukan Nurin.

“Jom, minum.” Nurin tidak mahu kesedihan menyelubungi kebahagiaan mereka.

Usah memberatkan kepala dengan sesuatu yang belum pasti, itu praktis Nurin.

Mereka beriringan dan menikmati hidangan petang dengan ceria. Nurin mahupun Zuhrin memilih untuk melayan perkara yang belum mereka hadapi dengan secara berdepan sambil menikmati saat-saat bahagia mereka bersama.

TERLANJUR CINTA

Sunday, September 26, 2010

| | | 0 comments


Blogger Templates
Blogger Templates

Terlanjur Cinta -17-

Monday, September 20, 2010

| | | 0 comments
Bab 17

Zuhrin memarkir Honda City peninggalan Asya di kawasan meletak kereta Tesco Sungai Petani. Walaupun perjalanan dari rumah ke Tesco tak sampai lima minit, mereka berdua tetap berkereta memandangkan banyak keperluan yang hendak dibeli.

Mereka berjalan beriringan sambil berpegangan tangan. Zuhrin tetap kelihatan segak bergaya walaupun hanya berbaju T Mustang warna hitam dan dipadankan dengan jean biru dari jenama yang sama. Nurin juga mengenakan pakaian yang sedondon dengan Zuhrin cuma Nurin memilih blaus labuh dan longgar yang disulami dengan manik-manik seakan baju punjabi dipadankan dengan jeans biru dan tudung berwarna biru muda.

Tak ramai orang membeli-belah, mungkin kerana hari ini merupakan hari bekerja bukannya hari minggu.

“Tak bestnya, esok lusa dah kena kerja. Cuti saya dah nak habis.” Nurin memuncungkan mulutnya.

Tak sanggup rasanya mahu meninggalkan Zuhrin di rumah sendirian, manakala dia pula terpaksa berkerja.

“Tak mau kerja, berhenti. Dok rumah, jaga saya ja.” Usik Zuhrin.

Dalam nada bergurau, Zuhrin menzahirkan perasaannya.

“Awak suka kalau saya berhenti?” Nurin cuba meneka hati Zuhrin.

Zuhrin menarik troli yang paling di hadapan dan menolaknya. Nurin masih memaut lengan Zuhrin sambil berjalan. Di dalam hati Zuhrin terselit kerisauan andai terserempak dengan orang-orang yang mengenalinya, terutama keluarga tanpa mengira jauh atau dekat. Tapi nak dizahirkan kepada Nurin, bimbang menyinggung perasaan si isteri.

Mereka menyusuri rak ke rak. Nurin menarik Zuhrin ke lorong yang menempatkan cadar.

“Saya ingat nak beli cadar baru lah. Dah lama tak beli.” Zuhrin hanya menganggukkan kepala sambil sama-sama memilih yang berkenan di hati.

Nurin mempunyai rutin untuk menukar set cadar sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Manakala langsir pula dua bulan sekali. Nurin sukakan suasana yang segar.

“Awak pilih na. Saya nak citarasa awak pula.” Dia mahu terasa dekat dengan Zuhrin walaupun nanti Zuhrin akan meninggalkannya untuk kembali ke Adelaide.

“Pilih sama-sama la.” Zuhrin menarik Nurin yang bersidai di troli untuk sama-sama memilih.

Nurin menggelengkan kepalanya.

“Saya nak pilihan awak sepenuh. Pilih tiga set, untuk bekalan waktu awak takdak dengan saya nanti.” Barulah Zuhrin mengerti akan hajat Nurin.

Zuhrin mencuit hidung Nurin lembut. Nurin tersenyum. Selesai memilih cadar-cadar yang diperlukan, mereka menyusuri lorong ke lorong sehinggakan troli yang kosong mulai penuh. Semua keperluan sama ada makanan mahupun keperluan harian seperti sabun dan lain-lain telah memenuhkan troli mereka.

Mereka berbual riang bak pasangan kekasih yang sedang asyik bercinta dan sememangnya itulah yang mereka rasai. Dua minggu berlalu terlalu pantas, bagaikan tak terasa.

“Awak betul-betul tak kisah kalau saya resign?” Nurin mengembalikan persoalan yang terhenti sebentar tadi, Zuhrin yang sedang berbaris untuk membayar berkalih dan mencari wajah isterinya.

“Awat pula saya nak kisah? Saya lebih suka kalau awak resign, saya ni kesiankan awak. Terkejar-kejar ke sana sini sebab nak siapkan kerja, lepas tu nak uruskan bisnes lagi. Robot pun boleh rosak tau.”

Nurin menarik nafas panjang dan melepaskannya sebagai keluhan. Entah kenapa, Nurin rasa terbeban.

“Tapi, keputusannya di tangan awak. Sebagai suami, saya tak paksa awak resign. Saya sokong semua keputusan awak, yang penting...awak happy.” Zuhrin meletakkan tangan kirinya ke bahu Nurin.

“Saya takut bosan bila awak tak ada nanti.” Rengek Nurin.

Zuhrin mengukir senyum, sangat memahami perasaan Nurin kerana dia juga begitu apabila Nurin tiada bersamanya.

“Awak masih ada perniagaan untuk awak uruskan. Cuba awak fikirkan, memanglah depa boleh diharapkan. Tapi sampai bila awak nak orang uruskan semuanya untuk awak. Mana tahu, satu hari nanti Seri dengan Ina nak kahwin dan berhenti. Macam tu juga Rosma, nak tumpukan perhatian kepada rumahtangga ka.” Zuhrin cuba memujuk dengan memberi ruang kepada berfikir.

Nurin menganggukkan kepalanya. Memang kata-kata Zuhrin ada kebenarannya. Perbualan mereka terhenti apabila sampai giliran mereka untuk membayar barangan yang diambil.

“Bagi masa untuk saya fikirkan. Saya sayangkan karier saya sekarang, tapi saya juga tahu lambat laun saya akan berhenti dan tumpukan perhatian kepada yang lebih perlu... yang lebih penting.” Nurin merujuk kepada rumahtangga dan perniagaan peninggalan orang-orang tuanya.

“Lebih penting? Termasuk saya?” Zuhrin mengusik nakal.

Pantas pinggang Zuhrin disambar ketam Nurin. Zuhrin mengaduh manja sambil menggosok pinggangnya. Melihatkan Nurin yang kerisauan, ketawa Zuhrin kembali meledak. Nurin menarik muka kerana dipermainkan.

Zuhrin memunggahkan barang-barang dengan berhati-hati ke dalam but kereta. Nurin yang mahu membantu disuruhnya masuk ke dalam kereta. Nurin akur.

“Nak ke mana lagi?” Tanya Zuhrin sebaik sahaja selesai menyimpan semua barang dan masuk ke dalam kereta. Bersedia untuk beredar.

Nurin menunjukkan riak berfikir. Zuhrin mengundurkan kereta untuk memberi ruang kepada kereta yang sedang menunggu, masuk.

“Nak ke bulan.” Zuhrin menarik hidung Nurin sebaik mendapat jawapan daripada si isteri.

Namun Zuhrin bagaikan tersentak apabila terpandangkan orang yang berada di dalam kereta yang sedang menunggu apabila kereta mereka bertentangan.

“Mak Nab?” Zuhrin dan wanita yang dipanggilnya Mak Nab itu berpandangan seketika.

Nurin yang terperasankan reaksi Zuhrin cepat-cepat mencuit suaminya. Sebaik sahaja tersedar, pantas Zuhrin menggerakkan kereta untuk meninggalkan kawasan itu secepat mungkin.

Mak Nab tak sempat memberitahu suaminya, Pak Rosli. Melihatkan isterinya bagaikan ternampak hantu, Pak Rosli mencuit isterinya.

“Awat yang hang terbeliak macam nampak hantu?”

“Saya nampak Ayen.” Pak Rosli terpinga-pinga.

“Ayen kan ada kat Australia la ni.” Mak Nab menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Betoi, saya nampak. Dia dengan perempuan dalam kereta yang keluar tadi.” Mak Nab mempertahankan pendiriannya.

Pak Rosli hanya mendiamkan diri, tanpa mahu melayan isterinya. Baginya Mak Nab hanya ternampak pelanduk dua serupa. Kalau Zuhrin pulang ke Malaysia, masakan mereka tak tahu memandangkan rumah mereka bersebelahan dan mereka bakal berbesan apabila Zuhrin tamat pengajian nanti.

Nurin perasankan reaksi tegang di wajah Zuhrin.

“Awak...” Nurin memanggil lembut.

Zuhrin berkalih dan mengukir senyum semanis mungkin. Namun Nurin dapat merasakan kehambaran disebalik senyuman itu.

“Awak, okey?” Zuhrin menganggukkan kepalanya sambil masih tersenyum.

Nurin mencari tangan Zuhrin. Perlahan-lahan dia membelai jari-jari suaminya.

“Saya tau, ada something yang mengganggu awak.”

“Sorry.” Zuhrin bersuara perlahan.

“Awat pula minta maaf dengan saya. Saya cuma nak tau, apa yang tiba-tiba buatkan suami saya terdiam.” Sememangnya Nurin dihimpit dengan rasa ingin tahu.

“Kereta yang bertentang dengan kita, waktu nak keluar parking tadi jiran saya. Kawan baik mak ayah saya.” Nurin turut terdiam mendengarkan jawapan Zuhrin.

Seketika kemudian Nurin kembali senyum.

“Insya-Allah tak ada apa yang akan jadi. Kita perlu lebih berhati-hati. Tapi kalau dah suratannya kita perlu berdepan dengan semua ni dengan lebih awal, saya pasrah. Kita hadapinya bersama-sama.” Zuhrin membalas genggaman Nurin.

Dia mencari kekuatan.

“Saya tau, betapa susahnya awak nak hadapi orang yang melahirkan dan membesarkan awak. Betapa besarnya keputusan yang awak buat untuk membolehkan kita bersama. Terima kasih.” Pujukan Nurin menyejukkan hati Zuhrin.

Zuhrin mengambil tangan Nurin dan diciumnya perlahan. Nurin mengusap pipi Zuhrin sambil tersenyum. ‘Cinta kita adalah milik kita. Kita akan pertahankannya bersama, hingga ke akhirnya.’ Mereka berikrar tanpa ucapan, hanya mata yang berbicara.

Terlanjur Cinta -16-

Friday, September 17, 2010

| | | 0 comments
Bab 16

Nurin mengambil cuti dua minggu untuk meluangkan masa bersama Zuhrin. Memandangkan mereka tidak sempat berbulan madu selepas berkahwin, mereka memilih untuk menikmati keindahan Pulau Perhentian untuk bersama.

Pulau Perhentian bukan nama asing di peta pelancongan Malaysia. Ia ibarat sebutir mutiara di antara gugusan pulau di perairan Terengganu yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia. Pulau pelancongan berkenaan terbahagi dua, iaitu Perhentian Kecil dan Perhentian Besar. Bagaimanapun, bagi pengunjung yang mahukan lebih kedamaian, Perhentian Kecil yang kurang jumlah penduduknya wajar menjadi pilihan.

Pulau Perhentian terkenal dengan air lautnya yang jernih bak kristal, pepasir pantai yang putih dan juga ikan-ikan tropika yang mendiami terumbu karang yang menakjubkan. Pulau ini juga dihiasi kehijaunan flora dan fauna yang bening jika pengunjung menyusuri denai hutannya.

Mereka memilih untuk terbang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur seterusnya ke Kota Bharu, Kelantan. Dari Kota Bharu mereka memilih teksi sebagai pengangkutan ke Kuala Besut yang jaraknya empat puluh lima minit, untuk ke Pulau Perhentian pula mengambil masa tiga puluh minit dengan bot dari jeti Kuala Besut. Zuhrin lebih suka jika memandu dari rumah, namun Nurin menolak kerana takut percutian kurang menarik kerana penat di perjalanan. Enam jam perjalanan pasti memenatkan dan baginya sayang masa yang terbuang.

Mereka berdua memilih untuk menginap di Bubu Long Beach Resort (Bubu Resort). Bubu Resort hanya kira-kira 50 meter dari pantai. Lokasi strategiknya membuatkan ia menjadi pilihan ramai pelancong tempatan dan luar negara.

Bagaimanapun bilik penginapan di Bubu Resort tidak mempunyai kemudahan TV kerana ia memang tidak diperlukan supaya tetamu dapat berehat sepenuhnya. Malah, ia menyediakan bilik khas berkonsep Bali untuk pasangan yang berbulan madu.

Zuhrin mengheret bagasi mereka masuk ke bilik bulan madu ataupun Honeymoon Room yang telah ditempah oleh Nurin.

‘Alhamdulillah.’ Zuhrin memanjatkan syukur kerana diberi peluang untuk menikmati percutian bersama Nurin.

Nurin memilih bilik bulan madu kerana dia mahukan yang terbaik dalam bulan madu mereka dan dia mencari keselesaan juga kepuasan. Bilik ini dilengkapi dengan katil bersaiz king, bilik mandi bersama mandian air panas, dan balkoni untuk menikmati matahari pagi dari Laut China Selatan. Keindahan dan hembusan bayu Laut China Selatan terasa mendamaikan. Bagaikan hembusan kebahagiaan yang merestui mereka.

Bilik ini dihiasi dengan perabut etnik yang menawarkan suasana yang romantik. Nurin merebahkan badannya ke atas katil. Zuhrin mengukir senyum melihat Nurin yang keletihan. Nurin menanggalkan tudung kepala yang berwarna putih sambil berbaring. Zuhrin mengemaskan pakaian ke dalam almari.

“Awak pernah mai sini?” Soalan Nurin dijawab dengan gelengan oleh Zuhrin.

Zuhrin duduk di sisi Nurin sebaik sahaja selesai mengosongkan bagasi mereka. Nurin bangun dari pembaringannya. Mata mereka bertentangan dan akhirnya mereka mengukir senyum bersama.

“Pernah dak awak terfikirkan kegilaan kita?” Nurin ingin menyelami pemikiran suaminya.

“Kegilaan?” Zuhrin mengerutkan dahinya, tak faham apa yang cuba diperkatakan oleh Nurin.

“Ya, kegilaan. Kita saling tak mengenali, berjumpa tak sampai sekerat hari tapi kita pilih untuk berkahwin daripada bercinta.” Barulah Zuhrin faham persoalan yang cuba dikemukakan oleh Nurin.

“Kalau difikirkan, memang ada gilanya. Tapi bila direnungkan, itulah hikmahnya.” Zuhrin menzahirkan pemikirannya.

Nurin bersandar ke dada Zuhrin. Zuhrin mengubah kedudukannya untuk memeluk Nurin dari belakang, di pinggang.

“Saya teringatkan satu cerita, awak dengar ya.” Nurin menganggukkan kepalanya tanpa menoleh.

“Pada suatu pagi di satu sekolah menengah, ada seorang pelajar bertanya pada seorang guru yang sedang mengajar. Waktu tu, guru tu sedang menyentuh mengenai kasih dan sayang secara am. Dialog di antara pelajar dan guru tersebut berbunyi begini. `Cikgu, macam mana kita nak pilih seseorang yang terbaik sebagai orang paling kita sayang? Macam mana juga kasih sayang itu nak berkekalan?” Zuhrin tersenyum sendiri apabila teringatkan cerita yang pernah di ceritakan Razman saat dia keliru dalam membuat keputusan tentang hubungannya dengan Nurin.

“Apa cikgu tu jawab?” Nurin memotong cerita Zuhrin dengan soalan.

“Oh, awak nak tahu ka? Emmm...baiklah, sekarang kamu buat apa yang saya suruh. Ikut je ye...mungkin kamu akan dapat apa jawapannya. Kamu pergi ke padang sekolah yang berada di luar kelas sekarang juga. Kamu berjalan di atas rumput di situ sambil memandang rumput di depan kamu, pilih mana yang paling cantik tanpa menoleh ke belakang lagi walaupun sekali. Dan kamu petiklah rumput yang paling cantik yang berada di depan kamu tersebut dan selepas itu bawa balik ke kelas.”

Dahi Nurin berkerut, berfikir tapi dia tidak mahu memotong cerita Zuhrin.

“Apabila pelajar tersebut balik semula ke kelas, tiada pun rumput yang berada di tangannya. Maka cikgu pun bertanya kepada pelajar tu, Mana rumput yang cikgu suruh petik?”

Nurin menganggukkan kepalanya sambil cuba berfikir.

“Murid tu jawab macam ni, tadi saya berjalan di atas rumput dan sambil memandang rumput yang berada di situ, saya carilah rumput yang paling cantik. Memang ada banyak yang cantik tapi cikgu kata petik yang paling cantik maka saya pun terus berjalan ke depan sambil mencari yang paling cantik tanpa menoleh ke belakang lagi. Tapi sampai di penghujung padang , saya tak jumpa pun yang paling cantik. Mungkin ada di antara yang di belakang saya sebelum itu tapi dah cikgu cakap tak boleh menoleh ke belakang semula, jadi tiadalah rumput yang saya boleh petik.” Zuhrin bercerita dengan penuh semangat.

Nurin masih menanti cerita seterusnya daripada Zuhrin.

“So sayang, moral the story is apabila kita telah berjumpa dengan seseorang yang kita sayang, janganlah kita hendak mencari lagi yang lebih baik daripada itu. Kita patut hargai orang yang berada di depan kita sebaik-baiknya. Janganlah kita menoleh ke belakang lagi kerana yang berlaku tetap dah berlaku. Dan semoga yang berlalu tidak lagi berulang. Jika kita berselisih faham dengan orang yang kita sayang itu, kita boleh perbetulkan keadaan dan cuba teruskan perhubungan tersebut walaupun banyak perkara yang menggugat perhubungan tersebut. Dan ingatlah orang yang kita sayang itulah yang kita jumpa paling cantik dan paling baik pada mulanya walaupun nak ikutkan banyak lagi yang cantik dan baik seperti rumput tadi. kecualilah jika perhubungan tersebut tak boleh diselamatkan lagi, maka barulah kita mulakan sekali lagi. Maka sayangilah orang yang berada di depan kita dengan tulus dan ikhlas.” Nurin mengukir senyum sendiri.

“Tapi, awak tak takutkah saya merupakan pasangan yang silap?” Nurin masih cuba menduga Zuhrin.

“Sayang, dalam dunia ini tak ada istilah pasangan yang silap. Allah dah menetapkan jodoh semua hamba-Nya. Cuma manusia yang silap dalam menjadi pasangan. Kita tak hargai pasangan kita.” Nurin terasa bahagia.

Pemikiran Zuhrin lebih matang daripada usianya. Zuhrin mencium pipi Nurin dari belakang. Nurin berkalih, Zuhrin melonggarkan pelukannya untuk memberi ruang kepada Nurin berkalih menghadapnya.

“Terima kasih sebab pilih untuk hidup bersama saya yang serba kekurangan.”

Zuhrin tak mahu Nurin terus hanyut dalam emosinya. Bibirnya mencari bibir Nurin sebagai jawapan kepada segala persoalan. Mereka hanya mendoakan, kebahagiaan yang mereka kecapi akan berpanjangan dan berkekalan.

Mereka menghabiskan masa selama empat hari tiga malam di Pulau Perhentian. Menikmati keindahan alam semlajadi dan bersantai sambil meluangkan masa untuk lebih mengenali antara satu sama lain.

Mereka berdua tidak melepaskan peluang untuk menerokai keajaiban dunia dasar lautnya. Keindahan terumbu karang dan ikan berwarna-warni sememangnya menakjubkan. Mereka bernasib baik kerana dapat melihat penyu dan ikan pari.

Di masa yang terluang, mereka sekadar bersantai dan bermalasan di tepi pantai sambil menikmati kesegaran udara dan keindahan pantai. Zuhrin menyinsing seluar jeans Giordano berwarna kelabu gelap sehingga ke paras betis. Baju T putih longgar bagaikan lekat ke badan dek peluh. Tangan Zuhrin kejap memegang tangan Nurin yang juga sedondon.

“Pernah tak awak terfikir tentang anak?” Mereka terus berjalan menyusuri pantai, membiarkan kaki di basahi air laut.

“Awat pula dak?” Zuhrin membalas perlahan.

“Awak dah bersedia untuk jadi seorang ayah?” Soalan Nurin membuatkan langkah Zuhrin terhenti.

“Kalau boleh, saya memang nak anak cepat. Saya sukakan budak-budak. Lagipun anak tu kan pengikat kasih sayang.” Jawapan Zuhrin melegakan hati Nurin.

“Tapi, saya kesian tengok awak. Kesibukan awak, menakutkan saya.” Zuhrin berterus-terang, memandangkan komitmen Nurin kini.

Nurin mengukir senyum.

“Sekurang-kurangnya, saya taklah sunyi sangat bila awak takdak.” Zuhrin menganggukkan kepalanya, mengakui kebenaran itu.

“Tapi, awak janganlah pulak lebihkan anak sampai lupakan saya.” Zuhrin memprovok Nurin dengan nada merajuk.

“Awak nak tau, awat kita pakai cincin kahwin kat jari manis?” Zuhrin mengerutkan dahi, kenapa tiba-tiba bertukar topik. Namun Zuhrin tetap menggelengkan kepalanya.

“Ibu jari melambangkan ibu bapa, jari telunjuk represent adik beradik kita, jari hantu ialah diri kita sendiri, jari kelinking pula anak-anak.”

“Jari manis?” Zuhrin bertanya, mungkin Nurin terlupa.

“Jari manis melambangkan pasangan kita.” Nurin tersenyum.

“Saya tak faham.”

“Cuba awak cantumkan jari-jari awak. Jari tangan kiri dengan tangan kanan. Ibu jari dengan ibu jari. Macam tu juga dengan jari lain. Lepas tu jari hantu awak masukkan ke dalam. Jari lain biarkan bertemu hujungnya.Cuba awak buka ibu jari awak, ibu jari menwakili orang tua, ibu jari biasanya dibuka kerana semua manusia mengalami sakit dan mati. Dengan demikian orang tua kita akan meninggalkan kita suatu hari nanti. Tutup balik ibu jari awak, kemudian buka jari telunjuk, jari telunjuk mewakili kakak dan adik anda, depa akan memiliki keluarga sendiri, sehingga mereka juga akan meninggalkan kita. Sekarang tutup balik jari telunjuk dan buka jari kelingking, yang mewakili anak-anak. Cepat atau lambat anak-anak juga akan meninggalkan kita. Last sekali, tutup jari kelingking dan buka jari manis awak tempat dimana kita pakai cincin perkawinan, awak akan heran sebab jari ni tidak boleh dibuka. Sebab jari manis mewakili suami dan isteri, selama hidup kita dan pasangan kita akan terus melekat satu sama lain.” Zuhrin yang sedang mendengar dan mempraktikkan teori dari Nurin mengakui kebenaran itu.

“Cinta sejati akan berusaha bersama, selama-lamanya.” Zuhrin kembali menggenggam tangan isterinya.

“Saya akan terus mencintai awak, selamanya walaupun anak kita dah sedozen.” Kata-kata Nurin itu di sambut dengan ketawa dan pelukan oleh Zuhrin.

Nurin membalas pelukan Zuhrin.

“I love you.” Bisikan cinta Zuhrin bagaikan air sejuk yang membasahinya saat kehangatan.

Terasa damai dan bahagia. Masa seakan terlalu mencemburui mereka, empat hari di sana berlalu dengan terlalu pantas. Terasa berat hati untuk meninggalkan pulau yang penuh keistimewaan itu. Apa yang pasti, bagi Nurin mahupun Zuhrin; cinta mereka makin kuat. Mereka semakin memahami erti cinta yang sebenar. Cinta bukan untuk dilupakan tapi untuk dimaafkan, bukan untuk berjumpa tapi untuk memahami dan bukan untuk melepaskan tapi memegangnya kuat-kuat.

Terlanjur Cinta -15-

Tuesday, September 14, 2010

| | | 0 comments
Bab 15

Sebaik sahaja semua tamu beredar, mereka semua tersandar keletihan.

“Kak Ina, Kak Seri…tinggallah dulu benda-benda kat dapur tu. Mai sini dulu.” Mendengarkan laungan Nurin, Ina dan Seri meninggalkan dapur dan pinggan mangkuk untuk menyertai yang lain di ruang tamu.

Nurin tersenyum melihatkan semua pekerjanya berada di sekelilingnya.

“Alhamdulillah semuanya dah selesai. Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua sebab dah penat dan bersusah payah untuk majlis hari ni. Walaupun ringkas, tapi alhamdulillah berjalan lancar.”

Mereka yang lain hanya tersengih mendengar pujian Nurin. Zuhrin juga mengukir senyuman. Nurin terharu, entah bila pekerja-pekerjanya membuat persiapan. Kesemua mereka berpakaian sedondon berwarna ungu muda malah sempat menyiapkan pakaian buatnya dan Zuhrin yang juga berwarna ungu.

“Saya panggil semua berhimpun sebab dua perkara. Satu, saya nak perkenalkan sekali lagi suami saya kepada semua.” Nurin menoleh ke arah Zuhrin di sisinya yang masih lengkap berbaju melayu dan bersampin, nasib baik Seri tak letak keris dan tengkolok pada suaminya.

“Ini Suhaimi dan Wan. Depa dua ni pekerja serbaguna merangkap pemandu untuk SPA dan butik pengantin. Ini pula Din, kerja yang sama tapi untuk butik kat Taman Sejati. Kak Ina dan kak Seri awak dah kenalkan. Ini pula Kak Rosma yang jaga butik Taman Sejati. Lisa dan Hisham ni pula cameraman saya.” Zuhrin bersalam dengan Suhaimi, Din dan Wan.

“Sebelah kanan ni pulak, Suzy, Asma, Mas pembantu Kak Ina di Spa. Nurul dan Sofi pembantu Kak Seri di sebelah ni. Farah dan Wirna pula tolong Kak Ros.” Zuhrin mengukir senyum sebagai tanda perkenalan.

Kesemua yang hadir sebenarnya terkejut apabila melihat penampilan Zuhrin yang menarik. Keramahan Zuhrin membuatkan mereka mudah mesra.

“Okey, second chapter. Sebab semua dah penat dan bersusah payah malam ni, saya izinkan semua kedai ditutup tiga hari. So siapa yang ada appointment dengan client esok, boleh kalau nak datang kerja dan gantikan cuti pada hari lain ataupun call client dan postpone appointment ke hari lain. Kalau tak, nanti client bising saya dah tak bagi cuti lagi.” Dalam menyampaikan berita gembira, Nurin tetap tegas.

Berita itu disambut dengan sorakan gembira oleh pekerja-pekerjanya. Nurin sememangnya disukai oleh semua pekerjanya kerana selalu bertolak ansur walaupun tegas. Semua perkara boleh dibincangkan dan tidak sukar menerima pendapat orang lain andai munasabah. Hanya kerana itu, mereka tidak pernah berat tulang melakukan tugas demi Nurin.

“Tapi Nurin, macamana dengan esok?” Pertanyaan Lisa disambut dengan tanda Tanya oleh Nurin.

“Esok? Esok macam yang saya kata la.” Nurin tidak faham.

“Macam ni. Aku dah arrange untuk tangkap gambaq pengantin hang dengan Zuhrin. Walaupun semuanya koboi, alang-alang semua kelengkapan dah ada kami nak tangkap gambar kahwin hangpa. Kami dah siapkan semua kelengkapan. Baju semua kami dah pilih, location untuk outdoor pun dah set.” Penjelasan Didi membuatkan Nurin ternganga.

Satu kejutan buatnya. Nurin menyeka air mata terharunya. Dia memeluk Didi seketika.

“Okey, kalau awak sanggup korbankan cuti saya tak kisah.” Nurin mengusik Lisa nakal.

“Kami tak kisah, bukan hari-hari kami tangkap gambar orang.” Hisyam mencelah.

Nurin tersnyum bangga kerana memiliki pekerja-pekerja yang berdedikasi dan tidak berkira.

“Tambah-tambah pula untuk bos. Bila lagi nak kipas.” Kata-kata Lisa disambut dengan gelak tawa semua yang ada.

Mereka terus berbual-bual kosong. Rosma dan keluarga minta diri kerana anaknya sudah terlena di atas sofa, penat bermain agaknya.

Oleh kerana dah lewat malam, Nurin membenarkan Suzy, Asma, Mas, Nurul dan Sofi tidur di butik pengantin bersama Seri dan Ina manakala Suhaimi, Din dan Wan tidur di Spa. Tapi Didi, Lisa dan Hisham memilih untuk pulang ke rumah masing-masing walaupun jam sudah menginjak ke pukul 2.30 pagi.

“Nurin jangan lupa, esok pukul sepuluh.” Pesan Lisa sebelum pulang.

Selepas semua beredar, Nurin menguncikan pintu rumahnya sebelum naik ke bilik tidur. Sebaik sahaja tangannya menutup lampu ruang tamu, Nurin terjerit apabila di dukung Zuhrin dari belakang.

“Shhh…, nanti terkejut orang kiri kanan.” Nurin terdiam malu.

Zuhrin mendukungnya melalui tangga ke bilik mereka di tingkat atas. Nurin benar-benar terharu. Sebaik sahaja Zuhrin melangkah masuk ke bilik, Nurin ternganga. Nurin menggosok matanya, bagaikan tak percaya dengan apa yang dilihatnya sekarang.

Biliknya dihias cantik, bagaikan bilik pengantin.

“Ini idea Didi, saya dengan Seri tolong-tolong ja.” Bisik Zuhrin kepada Nurin yang masih di atas dukungan.

“Ni yang awak buat dengan Didi tadi?” Nurin bagaikan tak percaya.

Dalam masa yang singkat, mereka sempat menukar wajah biliknya menjadi indah. Persalinan bilik yang berwarna hijau muda ditukar kepada warna kegemarannya merah darah, cadar katil pula berwarna putih susu dan dihiasi dengan corak bunga kecil berwarna merah terang. Kelihatan menarik, ditambah dengan jambangan bunga mawar merah di meja solek.

“Didi terlalu sayangkan awak, kan?” Zuhrin dapat merasakan kasih sayang Didi buat Nurin.

Kamar itu terasa segar dengan wangian mawar, pastinya Didi dah menyembur wangian kegemarannya Lovely Rose.

Mereka berpandangan, terus ke hati masing-masing.Mereka menikmati malam yang indah ini dengan penuh kebahagiaan. Hanya mereka yang mengerti kebahagiaan yang mereka miliki.

‘Menatap keindahan senyuman di wajahmu, membuatkan aku terdiam dan terpaku. Cuba untuk mengerti akan hadirnya cinta yang terindah saat kau memeluk mesra tubuhku ini. Terlalu banyak kata yang tak mampu diungkapkan kepadamu. Aku hanya ingin selalu bersamamu, mengharapkan kau hadir dan menemani setiap langkahku. Kau singkirkan segala derita yang telah lama bertapak di hatiku, kau ciptakan berjuta kemanisan hidup bersama.

Aku sentiasa yakin bahawa kau tercipta untukku. Aku yang juga tercipta untukmu adalah milikmu dan akan mencintaimu sepanjang hidupku. Moga Tuhan akan terus merestui dan memberkati cinta kita, selamanya.’

Mereka hanya mahu menikmati keindahan cinta mereka dan saling kasih-mengasihi antara satu sama lain, buat selamanya.

Terlanjur Cinta -14-

Wednesday, September 8, 2010

| | | 0 comments
Bab 14


Nurin memimpin tangan Zuhrin masuk ke salun kecantikan dan berada di sebelah kiri rumahnya melalui pintu yang berada di antara dua dinding di ruang tamu sementara Ina, Seri dan Didi menikmati nasi lemak di dapur.

“Saya tau, dalam fikiran awak la ni terlalu banyak persoalan yang takdak jawapan.” Nurin memahami kedudukan Zuhrin.

Zuhrin mengangguk lemah dan mengeluh perlahan.

“Kedai ataupun rumah di kiri kanan rumah kita ni, juga milik saya. Bukan milik saya, yang sebenarnya peninggalan ibu dan orang tua saya.” Zuhrin menikmati dekorasi ala bali di dalam salun kecantikan dan spa itu.

“Spa ni, milik arwah ibu. Saya hanya teruskan usaha ibu. Kak Ina tolong uruskan SPA ni sementara saya kerja. Kak Seri pulak, uruskan butik pengantin di rumah sebelah kanan sana. Sebab depa masih bujang, saya syorkan depa tinggal kat butik pengantin. Selain depa boleh save kos, saya tak payah risau pasai rumah-rumah ni bila saya outstation. Butik pengantin pula peninggalan mama dan abah. Sebelum ni ibu yang uruskan, tapi sekarang saya kenalah teruskan usaha orang tua saya. Lepas pindah ke sini, ibu jadikan rumah kami di Taman Sejati sebagai butik untuk busana muslimah. Kak Rosma yang uruskan, dia dah kahwin tapi tinggal berdekatan dengan butik sana.” Zuhrin membelek beberapa perhiasan dinding daripada kayu jati yang menarik perhatiannya.

“Banyak pasal awak yang saya tak tau.” Zuhrin rasa benar-benar tidak mengenali Nurin.

Nurin memeluk Zuhrin. Wajah mereka bertentang.

“Bukan niat saya nak rahsiakan, cuma saya nak tunggu masa yang sesuai. Lagipun saya nak perkahwinan kita adalah kerana kita. Saya bersyukur, sebab awak kahwin dengan saya sebab awak cintakan saya.” Nurin mengambil langkah berani untuk mengucup bibir suaminya.

Kucupan itu terasa menyegarkan Zuhrin yang terasa amat rendah diri.

“Awat awak tak uruskan sendiri?” Zuhrin masih belum mahu melepaskan pelukan mereka.

“Entah. Rasa macam nak kerja, gunakan kelayakan saya.” Nurin sendiri tak ada jawapannya.

Zuhrin hanya menganggukkan kepalanya.

Mereka berjalan beriringan, berpegangan tangan. Nurin membawa Zuhrin mengelilingi rumah teres dua tingkat setengah, rumah itu diperbesarkan sehingga memenuhi lebihan tanah yang dimilikinya.

“Tapi rasanya, lebih baik awak uruskan sendiri kan? Sampai bila nak kerja dengan orang?” Zuhrin sekadar memberi cadangan.

‘Sebenarnya, saya nak awak sentiasa di sisi saya. Menemani saya. Saya juga harapkan kita dapat membesarkan anak kita sama-sama tanpa mengharapkan pembantu rumah.’ Zuhrin menaruh harapan, namun dia tak mahu mendesak Nurin membuat keputusan dalam hidupnya.

Biarlah dia bahagia dengan pilihannya, tambahan pula Zuhrin masih belum menamatkan pengajian. Dia takut Nurin akan kembali sunyi andaikata dia mendesak Nurin meninggalkan kerjayanya sekarang.

“Ibu beli lot tepi ni sebab SPA perlukan lebih ruang, nak buat jakuzi, nak buat bilik mandi sauna, mandian-mandian lain. Ada juga bilik untuk facial, lulur dan urut ala aromaterapi. Tapi semua ni hanya untuk perempuan.” Tegas Nurin.

Zuhrin menganggukkan kepalanya.

“Untuk perempuan saja? Maknanya saya pun tak boleh la?” Usik Zuhrin.

“Awak ni. Lepas salun tutup, saya pun boleh buat.” Zuhrin ketawa besar apabila melihat Nurin yang geram dengan usikannya.

“Nurin, hidup ni penuh dengan ranjau yang berduri. Dalam kemanisan pasti akan ada kepahitan. Tapi, saya yakin kita akan tempuh semua dugaan bersama.” Mereka melabuhkan punggung di tepi kolam air terjun mini di satu sudut rumah.

Nurin mengukir senyum. Tangan mereka menggenggam erat antara satu sama lain. Bagaikan tidak mahu berpisah lagi.

“Awak menyinari hidup saya bagaikan sinar yang cerah. Walaupun kita baru bersama, tanpa awak saya bagaikan hilang arah dan tujuan. Saya mengharapkan awak akan terus bersama saya melayari hidup bersama.” Nurin menyandar ke dada Zuhrin.

“Sebelum bersama awak, saya tak pernah mengenali cinta. Saya tak sangka betapa cinta itu amat indah. Terasa sayang kerana terlewat mengenali awak, tapi saya bersyukur kerana dipertemukan juga dengan awak.” Zuhrin memeluk pinggang Nurin.

Nurin terasa bahagia.

“Walaupun berjauhan, saya menyakini cinta awak. Hadir awak bagaikan mimpi, menemani saat saya benar-benar perlukan. Awak merubah hidup saya yang sepi menjadi indah.” Zuhrin mencium lembut rambut Nurin.

“Saya tak sabar nak habiskan pengajian dan kembali untuk bersama awak, selamanya.”

“Saya akan sabar nantikan hari tu. Saya nak jadi seorang isteri yang solehah dan ibu yang mithali. Saya perlukan bimbingan awak.” Nurin tak mahu kebahagiaan ini berakhir.

Didi menutup pintu SPA pelan-pelan. Dia meninggalkan ruangan itu tanpa mahu mengejutkan mereka. Didi tersenyum, walaupun mendengarnya tanpa sengaja Didi bersyukur kerana Nurin sudah bertemu dengan cintanya.

Sebagai sahabat yang paling akrab, Didi takut keputusan Nurin untuk bersama Zuhrin akan menjadi racun dalam hidupnya. Tapi kini, Didi menaruh harapan tinggi kepada Zuhrin untuk membahagiakan sahabat baiknya yang kini bagaikan saudara kandungnya.

Terlanjur Cinta -13-

Thursday, September 2, 2010

| | | 0 comments
Bab 13

Zuhrin mengaminkan doa sebaik sahaja selesai solat subuh berjemaah dengan Nurin. Terasa satu kebahagiaan dan rahmat kerana memiliki Nurin yang penuh dengan rahsia dan kejutan.

Zuhrin bersidai di balkoni bilik tidur mereka, menikmati kesegaran udara pagi. Berhadapan rumah itu, masih lagi tanah lapang. Belum ada rumah yang dibina walaupun sudah ada perancangan. Nurin berada di dapur, menyiapkan sarapan pagi.

Zuhrin masih terkejut sebenarnya apabila melihat realiti kehidupan Nurin yang jauh tersasar dari bayangannya. Walaupun sebatang kara, Nurin hidup mewah. Dia rasa rendah diri, bagaikan tak layak untuk berdampingan dengan Nurin. Namun masih terngiang-ngiang di telinganya.

“Saya tak kurang wang ringgit, tapi saya miskin kasih sayang. Saya tak minta wang ringgit awak, saya hanya minta awak cintai dan sayangi saya sepenuh hati awak.” Nurin terperasankan reaksi Zuhrin yang merendah diri.

“Walaupun miliki harta bergunung, ia tak mampu memberikan saya kebahagiaan dan kasih yang hilang.” Sambung Nurin lagi untuk mengembalikan semangat Zuhrin kepadanya.

“Awak, kita sarapan dulu.” Kehadiran Nurin yang tiba-tiba, mengejutkan Zuhrin dari lamunannya.

Zuhrin menganggukkan kepalanya, menutup rasa terkejutnya.

Mereka beriringan menuruni tangga. Rasa bangga di hatinya apabila melihatkan potretnya hasil lukisan bergantung bersebelahan dengan potret Nurin. Rumah itu dihias dengan tema retro dan kontemporari, memenuhi citarasa anak muda yang funky dan ceria. Sewajarnya orang takkan dapat meneka kesepian dan kesunyian pemiliknya.

Zuhrin melabuhkan punggungnya ke kerusi makan. Kerusi makan untuk empat orang kelihatan elegan, dengan dibaluti kulit berwarna hitam dan kemasan jahitan benang berwarna koko seakan emas, di tengah meja segi empat itu bagaikan berlubang dan diisi dengan batu-batu sungai yang pelbagai warna dan saiz.

“Bila awak masak semua ni?” Zuhrin agak terkejut melihat hidangan nasi lemak bersama sambal sotong kering bersama ikan bilis, sambal ayam, ikan bilis goreng dan telur rebus. Zuhrin membayangkan Nurin seperti wanita lain yang berkerjaya, kurang cekap di dapur.

“Masak? Pagi ni la. Tapi bahan-bahan saya dah siapkan semalam lagi.” Nurin keliru dengan soalan Zuhrin.

‘Awat orang tua ni tengok aku semacam ja?’ Nurin perasan riak wajah Zuhrin yang penuh tanda tanya.

Tanpa menghiraukan persoalan Zuhrin, Nurin menghidangkan nasi lemak buat Zuhrin.

“Takut nak makan masakan saya ka? Saya tak pandai masak, cukup-cukup untuk makan sendiri saja.” Zuhrin tersentak.

Takut Nurin terasa hati.

“Bukan macam tu. Saya terkejut. Saya tak expect semua ni. Sejak dari semalam terlalu banyak kejutan buat saya. Saya agak keliru. Maafkan saya.” Zuhrin menzahirkan rasa hatinya.

Nurin mengukir senyum.

“Mungkin saya juga begitu, kalau berada di tempat awak.” Nurin memejamkan sedikit matanya apabila Zuhrin mengusap lembut pipi Nurin.

Zuhrin menarik cekak yang dikenakan oleh Nurin pada rambutnya yang ikal separas bahu itu.

“Awak lebih cantik macam ni. Saya suka.” Nurin tersipu malu mendengar pujian Zuhrin.

Zuhrin suka melihat Nurin membiarkan rambutnya lepas, keayuannya mempersonakan. Mereka menikmati hidangan bersama.

‘Terima kasih kerana menyerikan hidup ini. Aku bersyukur, amat bersyukur kerana memilikimu. Moga cinta kita akan terus teguh menempuh apa jua dugaan dan rintangan yang melanda.’ Zuhrin bermonolog sendiri sambil menikmati keredupan wajah isterinya yang sedang menikmati hidangan mereka.

“Saya ingat nak buat kenduri sikit.” Kata-kata Nurin menyentak khayalan Zuhrin.

“Kenduri?” Nurin menganggukkan kepalanya.

“Bukan apa, awak cuti tiga bulan. Selama ni semua orang tahu saya ni bujang. Saya tak mau timbul syak atau tak puas hati di kalangan jiran. Saya juga tak mau kena tangkap basah dalam rumah sendiri.”

Kata-kata Nurin yang terakhir disambut dengan tawa besar daripada Zuhrin.

“Okey…okey. Saya setuju. Saya pun tak mau kena tangkap basah lepas kahwin.” Zuhrin masih dalam tawanya.

“Adoi…” Zuhrin terjerit apabila dicubit Nurin di paha.

Cepat-cepat Zuhrin mencium pipi Nurin yang geram dipermainkannya.

Zuhrin menarik manja hidung isterinya. Mereka ketawa bersama. Betapa indahnya hidup, saat bersama. Sememangnya Zuhrin tidak pernah menyesal memilih untuk menikahi Nurin. Dia tak kesal menamatkan zaman bujangnya ketika usianya masih muda, ketika teman-temannya masih mencari erti kasih.

“Assalamualaikum.” Laungan salam menyentakkan mereka.

Nurin mencapai tudung kepala yang sedia tersangkut di bilik bawah.

“Waalaikumsalam.” Suara Nurin ceria.

Nurin berlari anak membuka pintu. Ina dan Seri, dua orang pembantu kedainya yang tinggal di atas butik pengantin tersengih. Inilah kakak-kakak yang dimaksudkannya kepada Zuhrin semalam.

“Awainya Kak Ina dengan Kak Seri. Nak mai kemas rumah ka?” Usik Nurin apabila melihatkan rumahnya masih dipenuhi dengan kelopak-kelopak mawar merah.

Sekali lagi mereka tersengih.

“Didi on the way. Kami semua nak minta cuti hari ni. Kita tutup semua kedai boleh?” Nurin terbeliak.

‘Uiks…nak mogok ka?’ Nurin terkejut.

“Awat kak? Tetiba ja, ada apa-apa yang tak kena ka?” Tanya Nurin sambil mempersilakan Ina dan Seri masuk.

Mereka melabuhkan punggung ke atas sofa berbentuk L, berwarna hijau muda. Nurin pula duduk bertentangan di atas sofa berbentuk jari sambil memeluk bantal spongebob. Belumpun sempat Seri mahupun Ina menjawab apa-apa, kedengaran Didi memberi salam.

Serentak mereka menjawab salam.

“Hi, Babe.” Didi memeluk Nurin erat.

“Macamana, kreatif dak idea aku?” Becok Didi bertanyakan idea bunga mawarnya.

Nurin hanya ketawa.

“Kreatif, tapi jangan lupa kemas balik na. Hang kan dah janji.” Didi hanya tersengih sambil menggaru kepala.

“Ha, kak Seri, kak Ina…kita sambung balik.” Nurin hampir terlupakan persoalan mereka tadi.

Perbualan mereka sekali lagi terhenti apabila Zuhrin menyertai mereka dengan menatang seteko air kopi bersama beberapa cawan.

Seri dan Ina tersengih.

“Hai, Didi.” Sapa Zuhrin kerana dia hanya mengenali Didi.

Seri dan Ina berpandangan. Terpukau dengan ketampanan Zuhrin walaupun hanya berbaju T putih dan berkain pelikat.

“Hai, apa habaq? Sihat?” Didi ramah.

“Rasa macam nak demam.” Kata-kata Zuhrin disambut dengan gelak tawa Nurin dan Didi.

“Jom siap. Kita pi beli barang nak buat kenduri.” Nurin terbeliak.

“Hari ni?”

Serentak Didi, Ina dan Seri mengangguk.

“Buat hari ni la, sebelum jadi bahan cerita.” Potong Didi.

“Dan ka nak cari cater?”

“Buat apa katering. Kita masak la sama-sama. Bukannya ramai jemputan hang. Staf-staf hang, orang-orang lorong ni. Berapa kerat ja?”

Walaupun tidak faham, Zuhrin tetap membisu.

“Awak okey ka kalau kita buat kenduri hari ni?” Nurin tak mahu membelakangkan Zuhrin.

“Saya tak kisah.” Zuhrin memang tak kisah.

“Nurin, tak mau kenalkan kami ka?” Ina dah penat menunggu.

Nurin menepuk dahinya, menyedari kealpaannya.

“Sorry...sorry...” Nurin mengakui keterlanjurannya.

“Awak, ni Kak Ina dengan Kak Seri. Depa ni jiran kita. Kak Ina, Kak Seri, ni Zuhrin suami saya.” Mereka berbalas senyum. “Habaq je la kami ni pekerja hang. Jiran apa lak. Kami kan merangkap jaga untuk hang.” Zuhrin makin keliru.

Followers