Bab 16
Qistina membiarkan kaki kanannya yang baru diurut oleh Abang Tuah petang semalam dalam keadaan melunjur. Entah di mana silapnya, humbanan yang sepatutnya sempurna itu telah menjadi sebaliknya. Kakinya terseliuh, namun kesakitan itu telah mereda selepas diurut. Abang Tuah dan Pak Long Mat meninggalkan minyak urut buatan mereka sendiri buat kegunaannya.
"Sakit lagi kaki, awak?" Sapaan Adam memeranjatkan Qistina, namun sempat dia mengukir senyum.
"Dah kurang. Dah boleh melompat pun." Adam mengurut-urut lembut pergelangan kaki Qistina sambil mencangkung di hadapan gadis itu.
"Mana awak tau saya kat sini?" Terselit kehairanan di hatinya apabila Adam dapat menjejakinya di belakang hujung bangunan ASPURI yang menempatkan bilik suis utama.
"Syiera dengan Niza yang bagitau. Saya terserempak dengan depa tadi." Adam berterus-terang.
"Terserempak? Depa pi mana?" Qistina hairan apabila mereka berdua menghilangkan diri tanpa memberitahunya apa-apa.
"Depa pi ambil ayaq kat water-cooler, lepas tu terjumpa dengan Ijam. Ijam, macam awak taulah mana boleh nampak Syiera. Ijam ajak Syiera fly, Niza nak ikut. Lagipun Helmi ada sama. Depa tak bagitau awak sebab saya kata saya akan tolong bagitau kat awak." Fahamlah dia akan situasi yang sebenar.
Adam melabuhkan punggung di sisi Qistina.
"Depa pi mana?" Entah kenapa rasa ingin tahunya meluap-luap.
"Tak sure la. Tapi dengaq-dengaq kata depa nak pi makan koay teaw kerang dekat Simpang Kuala, lepas tu mungkin nak pi lepak kat padang sat sambil main buaian dengan jongkang-jongket." Adam sendiri tak berapa pasti dengan perancangan teman-temannya.
"Bestnya kalau dapat main buaian. Dah lama tak main buaian."
"Awak nak main buaian?"
Qistina menundukkan kepalanya. Sememangnya dia terlalu rindu untuk bermain buaian, tapi dia dah ditinggalkan teman-temannya.
"Saya lapaqla. Awak temankan saya makan boleh?" Sengaja Adam berhelah.
Dia tahu Qistina teringin untuk menyertai teman-teman mereka.
"Makan? Dining kan dah tutup?" Qistina melempar pandang ke jam tangan yang sudah melepasi angka dua belas tengah malam.
"Sapa nak makan kat dining? Saya nak makan koay teaw kerang kat Simpang Kuala." Qistina mengalih pandang kepada Adam.
Dia tak percaya dengan kata-kata yang didengarnya.
"Lepas tu, saya nak singgah padang. Main buaian." Adam cuba menggoda Qistina namun Qistina masih membisu.
"Awak kata tadi awak dah boleh melompatkan?" Adam memegang kaki Qistina lagi.
Qistina mengurut-urut kakinya, lembut. Adam membantu Qistina bangun dan mula berjalan, perlahan-lahan.
Dalam keadaan yang gelap mereka menyusuri padang sekolah. Adam dan Qistina masih di teping padang utama, asyik dengan pemandangan sawah di waktu malam dan angin sepoi-sepoi bahasa. Jam sudah menunjukkan pukul 1.15 pagi. Tidak terasa masa yang berlalu. Mereka menyusuri padang sekolah dengan perlahan-lahan, mujurlah mereka berpakaian gelap sekurang-kurangnya pergerakan mereka berdua takkan menjadi perhatian ataupun mencurigakan pengawal sekolah.
SEMENTAS mempunyai dua padang yang berasingan, yang pertama ialah padang mini yang menempatkan gelanngang bola jaring dan bola keranjang. Persembahan silat yang berlangsung petang semalam juga diadakan di padang mini. Padang kedua dikenali sebagai padang utama. Padang utama pula menempatkan balapan untuk olahraga dan juga padang untuk bolasepak, bola baling dan juga hoki.
Mereka bergabung dengan teman-teman yang lain di gerai koay teaw kerang, selesai makan mereka bergerak beramai-ramai ke taman permainan. Teman-teman ada yang berbuai, ada yang bermain jongkang-jongket dan ada yang melepak sahaja macam Adam dan Qistina.
Tanpa mereka sedari, langkah mereka sumbang sejak dari mula. Salah seorang daripada teman yang diharapkan telah membocorkan rahsia mereka kepada warden asrama. Puncanya? Cemburukan Niza kerana cintanya telah ditolak oleh Niza.
Berselerak mereka lima belas orang berlari merentas taman perumahan selepas disergah warden asrama dan sekumpulan pengawas asrama.
Walau dalam kepayahan, Adam dan Qistina berjaya meloloskan diri dan kembali ke asrama masing-masing. Lisa yang menyedari Qistina terperangkap cepat-cepat memberikan bantuannya. Mereka terselamat. Namun nasib Syiera, Niza dan teman-teman lain tidak dapat dipastikan. Qistina dan Lisa sangat-sangat susah hati. Operasi pukul tiga pagi itu membuahkan hasil apabila empat lima daripada lima belas orang telah ditangkap.
Qistina hampir rebah apabila melihat Syiera, Niza, Ijam, Helmi dan Iwan yang juga sekelas dengan Adam ditangkap. Kelihatan darah di mulut masing-masing. Perhimpunan mengejut ataupun roll-call telah diadakan di dewan makan.
Lisa memegang kuat tangan Qistina apabila melihat Qistina sangat resah melihat teman-teman baiknya tidak di dalam keadaan yang baik.
"Jangan Que. Stay. Dont you ever move." Lisa memberi amaran.
Tiga orang warden lelaki, Cikgu Amran, Cikgu Hisham, Cikgu Shahri mengetuai operasi pagi itu. Kelihatan warden ASPURI Cikgu Husna baru sampai. Cikgu Husna kelihatan cemas.
Roll-call dimulakan dengan kata-kata daripada Cikgu Amran tentang operasi mereka sehingga tertangkapnya lima orang daripada lima belas orang. Di hadapan semua yang terlibat, soal siasat dan tekanan dikenakan kepada mereka berlima. Namun, tiada siapa yang membuka mulut walaupun pipi masing-masing disepak berkali-kali.
Qistina makin lemah apabila melihat pipi teman-temannya merah dan darah mengalir dari mulut masing. Dia merentap pegangan Lisa.
"Saya serah diri cikgu. Tapi jangan pukul lagi kawan-kawan saya." Rayu Qistina dengan air mata.
Melihatkan Qistina menyerah diri, Adam dan teman-teman yang lain juga menyerah diri.
"Kamu semua nak jadi apa? Tiga orang perempuan dengan dua belas orang lelaki? Nak jadi bohsia?" Sergah Cikgu Shahri.
Masing-masing mendiamkan diri. Pelajar-pelajar yang lain mula berbisik-bisik apabila semua yang bersalah mula berbaris di hadapan himpunan.
"Cikgu-cikgu semua, saya rasa baik kita bersurai. Semua yang terlibat dah mengaku. Kita selesaikan esok pagi saja, ya." Ternyata Cikgu Husna masih boleh bertoleransi.
Setelah berbincang sesama sendiri, ketiga-tiga warden ASPURA telah menyuraikan perhimpunan tergempar itu.
Mereka bertiga kembali ke bilik mereka dan masing-masing berdiam di katil masing. Syiera dan Niza sama-sama menangis, takut dan sakit. Entah apa yang akan berlaku kepada mereka esok.
Ketiga-tiga mereka serentak menoleh ke arah pintu apabila mendengar pintu bilik dibuka.
Lisa menghulurkan kepalanya saja masuk ke dalam bilik.
"Girls, Cikgu Husna nak jumpak." Mendengar kata-kata Lisa, spontan mereka berdiri dan berpandangan sesama sendiri.
Dengan senyuman Cikgu Husna melangkah masuk ke dalam bilik.
"Duduklah, saya bukan mai nak rotan kamu." Dengan lembut Cikgu Husna bersuara.
Mereka berempat duduk di atas katil Qistina.
"Pertama sekali, saya sangat-sangat terkejut dengan berita ni. Banyak sebab yang buatkan saya terkejut, salah satunya tujuh orang daripada pengawas saya ditangkap sama termasuk kamu, Syiera dan Niza." Cikgu
Husna juga merupakan guru disiplin di SEMENTAS.
"Tapi, apa yang boleh saya buat? Saya tak boleh nak pantau kamu semua dua puluh empat jam. Kamu semua dah besar dan bijak. Fikirlah apa yang terbaik untuk kamu. Tapi ingat, apa saja tindakan kamu...tolong fikirkan bagaimana baik buruk tindakan kamu kepada keluarga dan juga masa depan kamu." Padat kata-kata Cikgu Husna.
"Sekarang, pi la cuci badan dan berehat. Pagi nanti, baru kita bincang dan saya pasti kes ni akan jadi kes besar sebab melibatkan ramai orang." Amaran Cikgu Husna sebelum berlalu sangat menyesakkan dada mereka bertiga.
0 comments:
Post a Comment