Bab 17
Satu sekolah kecoh dengan penangkapan beramai-ramai dan hampir separuh daripadanya adalah pengawas sekolah. Sekolah menerima tamparan terbesar semenjak ditubuhkan. Tidak pernah seramai ini pengawas ditangkap kerana keluar secara haram, apatah lagi di waktu malam dan tidak pernah juga perempuan ditangkap bersama-sama.
Semua guru bermesyuarat tergempar dan semua pelajar yang bersalah dikurung di dalam bilik Kaunseling. Kesemua 15 orang duduk menghadap antara satu sama lain mengelilingi meja bulat, dah macam rundingan Meja Bulat King Arthur.
Hampir tiga jam dikurung, barulah Cikgu Husna muncul bersama Penolong Kanan HEM, Cikgu Roslin.
“Ibu bapa kamu semua sudah dimaklumkan dan ada di antaranya yang sudah tiba. Kamu akan dipanggil ke bilik Cikgu Roslin secara berperingkat bersama ibu bapa kamu untuk tindakan lanjut. Sila bersedia.” Nada suara Cikgu Husna kedengaran sangat berat.
Muka masing-masing kelat mendengar perkhabaran yang melibatkan orang tua. Satu berita yang sangat-sangat ingin dielakkan. Qistina terbayangkan tali pinggang ayah hinggap ke tubuhnya. Walaupun dia anak bongsu, ketegasan ayahnya tidak mengenal itu semua. Perbuatan nakal pasti ada habuannya. Qistina menelan liur yang terasa payau.
Qistina antara orang terakhir yang dipanggil. Sebaik saja masuk ke bilik Cikgu Roslin, kelihatan mak dan ayah juga kelihatan Adam dan kedua orang tuanya. Qistina membatukan diri di muka pintu. Kenapa perlu Adam dan keluarganya ada bersama.
Muka ayah kelihatan tegang, muka mak pula terlihat kesedihan.
‛Maaf, mak...ayah. Qis nakal...Qis tak pikiaq panjang. Qis janji...Qis tak buat lagi.’ Namun kata-kata itu tersekat dikerongkongnya saja.
Setelah beberapa minit di dalam bilik itu, barulah Qistina mengerti kehadiran Adam dan keluarganya.
Cikgu Roslin mengatkan mereka berdua ditangkap basah, bukan khalwat...bukan beramai-ramai tapi berdua-duaan.
Qistina memegang dada. Ini fitnah. Tingkah Qistina dan Adam. Tapi siapalah yang mahu mendengar penjelasan mereka apabila Cikgu Roslin langsung tidak memberi peluang mereka membela diri.
Satu kenyataan yang teramat perit untuk diterima. Qistina menangis apabila melihat mak dan mak Adam juga menangis mendengar pertuduhan anak-anak mereka. Pasti luluh hati seorang ibu mendengar anak yang disayangi sanggup menconteng arang ke muka mereka.
Kesemua mereka dihukum gantung sekolah selama dua minggu dan rotan sebanyak tujuh kali di perhimpunan sekolah sebaik sahaja tamat tarikh pergantungan.
Qistina bagaikan mahu pitam mendengar hukuman yang dijatuhkan, Adam juga membisu. Kelu tanpa mampu berkata apa-apa.
Ayah menarik Qistina ke kereta tanpa memberi peluang mengemas barangannya untuk dibawa pulang.
Sepanjang perjalanan Qistina tak berani bersuara mendengar bebelan dan kesalan kemarahan ayah.
‛Aku memang salah sebab keluaq secara haram, tapi aku tak kena tangkap basah macam Cikgu Roslin kata.’ Qistina sangat-sangat kesal dengan pertuduhan yang dikenakan. Hatinya sakit bukan kerana dihukum atau dimarah ayah, tapi sakit kerana pertuduhan palsu.
Seminggu di rumah, Qistina bagaikan orang asing dan terpulau sudahlah di rumah tu hanya mereka bertiga sahaja. Setiap malam dia menangisi kesilapan dan kekhilafan yang telah dilakukannya. Sesungguhnya Qistina serik.
Dia berikrar untuk menjadi anak yang lebih baik dan mendengar kata. Setiap hari Nabila akan menghubunginya memberitahu akan bab dan kerja rumah. Namun, apa yang termampu dilakukan apabila tiada satupun barang-barangnya yang sempat dibawa pulang. Nasib baiklah Nabila berjanji akan membantunya sebaik sahaja dia pulang dan tamat hukuman dua minggu penggantungannya nanti.
0 comments:
Post a Comment