Total Pageviews

Izinku Pergi -13-

Wednesday, April 13, 2011

| | | 0 comments



Bab 13
Adam melangkah meninggalkan dewan sekolah dan bergerak menuju ke tempat pertemuan. Persekitaran sekolah amat sunyi. Tiada siapapun kelihatan. Dia mendaki anak tangga ke tingkat tiga, bangunan yang menempatkan kelas-kelas untuk tingkatan empat. Kelas yang menyimpan banyak kenangan mereka.
Sepi terasa menyelubungi seisi bangunan. Seluruh isi sekolah menghadiri jamuan di dewan sekolah. Adam kelihatan kacak dengan sepasang baju melayu ala Raihan berwarna biru, sedondon dengan Qistina…warna kegemarannya dan dipadankan dengan sampin berwarna emas dan coklat tua.
Adam amat berharap Qistina akan menemuinya setelah melihat Qistina menerima hadiahnya, namun Qistina adalah seorang yang sukar dijangka hati dan fikirannya. Adam mengakui walaupun Qistina tidak secantik Syiera dan Niza, mahupun gadis-gadis lain, namun Qistina amat istimewa di hatinya.
Sebaik sampai ke tingkat tiga, tempat perkenalannya dengan Qistina. Kelas 4KE2 yang menyimpan terlalu banyak memori dalam hubungan mereka yang singkat. Adam melintasi tempat kenangan dan melangkah birai tingkap untuk ke koridor tepi kelas yang bertentangan dengan koridor yang digunakan sebagai laluan pejalan kaki. Koridor yang seluas satu meter, selalu menyaksikan pertemuan mereka dahulu.
Pemandangan menghijau sawah padi dan angin yang bertiup agak mendamaikan. Koridor itu teduh, dilindungi dek pokok-pokok yang tinggi melangit. Kehijauan yang mendamaikan hati yang lara.
Adam memetik gitar yang sengaja dibawa, sebagai temannya. Manalah tahu, andai Qistina tidak sudi memenuhi permintaannya. Sekurang-kurangnya, tidaklah dia terlalu kebosanan.
Dengan penuh perasaan Adam mendendangkan lagu nyanyian Hattan yang berjudul Dari kekasih kepada kekasih. Bait-bait lagu didendangkan dengan penuh perasaan.
Entah berapa kali kucuba membohong hati ku ini,
Hebat dilanda rindu padamu
Namun semua alasan…rapuh bagaikan awan berarak
Yang memang tidak pernah abadi
Dan terlalu cepatnya berlalu
Pabila di giring angin dan mudah pula layu
Selepas ia melimpahkan titis-titis ehsan
Kini hatiku sangat terdesak untuk memilikimu
Agar bisa aku meneruskan sisa-sisa hidupku ini
Seperti manusia yang punya kekasih
Yang punya kekasih
Qistina lewat sepuluh minit. Sebaik sahaja sampai, telinga menangkap suara Adam yang merintih melalui lagu dendangannya. Qistina dibalut rasa bersalah dan terharu. Qistina melabuhkan punggungnya dibirai tingkap. Serba-salah menghimpit perasaannya.
Adam berhasrat untuk mengubah posisinya dari menjuntai kaki dengan bersandar ke dinding kelas. Sebaik sahaja memalingkan badannya, Adam terpaku. Senyuman manis Qistina seakan mahu meluruhkan jantungnya.
“Bila awak sampai?”
Qistina mengukir senyum sebagai jawapan.
“Dah lama awak sampai?” Tanya Adam lagi.
Qistina menganggukkan kepalanya.
“Awak tak sudi nak duduk di sini bersama saya?” soal Adam apabila Qistina masih berada di dalam kelas.
“Boleh awak tolong saya?” tanya Qistina kepada Adam dan membiarkan soalan Adam tanpa jawapan.
“Tolong saya, kain ni sempit.” Muka Qistina kemerahan, malu.
“Oh…” Adam tersenyum, sambil menghulurkan tangannya kepada Qistina.
Perlahan-lahan Qistina menyambut huluran tangan Adam dan melangkah naik ke atas kerusi lalu melangkahi birai tingkap dan terjun ke koridor. Qistina jatuh ke pelukan Adam. Cepat-cepat Qistina meleraikan pelukan yang tidak disengajakan itu.
Buat seketika masing-masing terdiam, malu. Muka mereka kemerah-merahan. Mereka berdua duduk di hujung koridor, membiarkan kedua belah kaki terjuntai turun sambil menikmati padi yang sedang berbuah.
“Awak…”
Qistina memalingkan wajahnya dan memandang Adam.
“Terima kasih.” Ucap Adam.
“Terima kasih?” Qistina tak faham.
“Sebab awak sudi pakai baju ni.”
“Oh…terima kasih pada awak sebenarnya. Baju ni cantik.”
“Baju ni takkan cantik kalau bukan awak yang pakai.” Adam memuji.
Qistina kembang setaman.
“Awat awak ajak saya mai sini?” Qistina mahukan penjelasan.
Adam hanya mengukir senyum.
“Kalau awak nak terus dengan senyuman awak, saya nak balik lah.” Gertak Qistina apabila Adam tidak lekang dengan senyumannya.
Tiba-tiba sahaja tawa Adam meledak apabila mendengar gertakan Qistina. Qistina menarik muka masam.
“Awak nak tau, awak makin cantik tau bila merajuk.” Adam terus ketawa.
Qistina bingkas bangun dan mahu beredar. Terasa dipermainkan. Pantas tangan Adam mencapai tangan Qistina.
“Janganlah lari lagi. Saya perlukan awak di sisi.” Adam bersuara perlahan, sambil tangannya masih menggenggam tanya Qistina.
Qistina yang cuba bangun, kembali duduk. Adam memegang tangan Qistina dan meletakkan tangannya di sisi. Sepasang gelang perak terlihat. Qistina memandang Adam, mencari jawapan.
“Saya tak pandai nak bermadah, tak puitis bila bercakap. Tapi saya tahu apa yang saya mahukan.” Adam diam buat seketika.
Angin menghembus ke muka mereka. Terasa amat mendamaikan. Qistina menantikan kata-kata Adam.
“Terlalu awai untuk saya sunting awak sebagai teman hidup, tapi saya takut kehilangan awak. Hampir setengah tahun awak mendiamkan diri, saya nanar sendiri. Hidup saya terlalu kosong dan hilang serinya tanpa awak. Awak...awak terlalu beerti dalam hidup saya. Saya ingin diam di hati awak, selamanya.”
Qistina tiada kata-kata buat seketika, membiarkan Adam memegang dan mengusap tangannya. Akhirnya, tautan tangan mereka saling menggenggam. Tapi mereka masih membisu.
Mereka saling berpandangan dan tersenyum.
“Dan tak sanggup saya lihat, awak dipimpin pergi dek orang lain. Apa lagi yang harus saya perbuat supaya awak boleh faham dan sudi terima saya? Saya cintakan awak, saya perlukan awak. Tanpa awak, hidup saya kosong…kosong sekali. Gelang ni sebagai tanda tak rasmi saya melamar awak. Saya harap awak sudi menerima.” Bicara Adam puitis.
“Awak rasa apa yang saya rasa?” Qistina membalas soalan Adam dengan senyuman.
“Awak dah tau akibatnya, bohongi saya. Mungkin ini peluang kedua buat awak, tapi saya tak rasa akan adanya peluang ketiga.” Jawapan Qistina merungkai segala persoalan di hati.
Adam menyambutnya dengan sengihan dan kegembiraan yang teramat sangat. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia memeluk erat gadis kesayangan yang berada di depan mata.
“Saya janji, saya akan sayangi dan kasihi awak…sepenuh hati saya.”
Qistina tersenyum mendengar ikrar Adam.
“Jangan hanya pandai berjanji.” Tegur Qistina, sekadar peringatan buat buah hati.
“Awat awak bagi saya baju ni?” Qistina cuba merungkai persoalan yang bersarang di hati sejak semalam.
“Saya nak dapatkan sedikit klu sebelum saya luahkan perasaan saya. Kalau awak tak sudi pakai, sekurang-kurangnya saya tau yang saya dah awak singkirkan terus dari hati awak. Tapi saya tetap berdoa, agar awak sudi pakai.” Bicara Adam dengan kata-kata yang tersusun.
“Tapi, kita tak pernah declare apa-apa sebelum ni. Awat lak timbui soal hati dan perasaan?” sengaja Qistina memprovok Adam.
“Soal hati tak perlu declare apa-apa. Tunggu ja saya masuk pinang awak.” Adam membayangkan hasrat hatinya dalam seloroh sambil mencuit manja hidung Qistina.
Mereka ketawa riang. Mereka berbual, bercerita tentang semua benda yang terjadi semasa perang dingin antara mereka. Adam dan Qistina sibuk bercerita, semua cerita yang selama ini terpendam diluahkan semuanya. Adam galak mengusik Qistina.
“Macamana baju ni boleh muat-muat ja dengan saya?”
Adam hanya tersengih apabila mendengar soalan Qistina.
“Kita tanya, dia sengih. Ada ka patut.” Qistina pura-pura merajuk.
Adam menarik lembut wajah Qistina yang dipalingkan ke sebelah kiri dari melihat Adam yang berada disebelah kanan.
“Syiera tolong saya rembat baju kurung prep awak buat contoh. Lepas tu saya suruh dia dapatkan ukuran pinggang awak.” Adam tersengih sambil membongkar rahsianya.
“Sampai hati awak buat pakatan dengan Syiera.” Qistina pura-pura merajuk.
“Awak…” Adam membuka genggaman tangan Qistina. Dua utas rantai bersama loket ‘A’ dan satu lagi loket ‛Q’ bertukar tangan.
Qistina memandang Adam dengan penuh tanda tanya.
“Lamaran saya pada awak. Lamaran agar awak sudi bersama saya. Lamaran untuk awak jadi suri hidup saya, biarlah orang tua kita yang uruskan. Untuk awak emas putih, dan untuk saya perak. Rantai yang sama dan loket yang berbeza huruf.” Adam menunjukkan rantai yang dipakainya. Qistina rasa terbuai.
Qistina memulangkan rantai berloket ‛A’ itu kepada Adam. Muka Adam berubah.
“Awat?” Cuak juga apabila Qistina melakukan sedemikian.
“Saya nak awak pakaikan.” Kata Qistina sambil menguak sedikit tudung yang dipakai.
Adam menarik nafas lega. Takut ditolak lagi.
“Awak sentiasa di hati saya. Saya…” kata-kata Adam terhenti apabila terdengar bunyi benda jatuh dari dalam kelas.
Mereka berdua terperanjat. Kalau cikgu yang datang…memang naya mereka berdua. Pantas mereka bangun, tapi untuk lari…tak mungkin.

Terlanjur Cinta -29-

Tuesday, April 12, 2011

| | | 0 comments



Bab 29
Sudah sebulan Zuhrin memulakan tugasnya di H2H menggantikan Nurin. Mereka berdua semakin ceria melayari hidup bersama. Zuhrin juga sudah mula berpindah ke rumah Nurin seminggu selepas memulakan tugasnya.
Bukan mudah untuk Zuhrin menyakinkan mak untuk membenarkannya hidup sendiri. Zuhrin terpaksa meminjam rumah teman bujang sebagai samaran hidup menyewa. Sekali lagi dia terpaksa menipu orang yang melahirkannya.
‛Maafkan Ayen, mak.’
Mereka juga mula mempersiapkan kelengkapan menyambut orang baru dan juga mempersiapkan diri secara fizikal dan mental menerima gelaran baru. Dalam keterujaan mereka sangat takut.
Walaupun semakin sarat, Nurin masih tetap cergas dan bertenaga. Mungkin kerana Zuhrin yang kini sentiasa bersamanya. Zuhrin rajin melayaninya, memenuhi semua kehendaknya. Mungkin sebagai menggantikan masa-masa yang mereka kehilangan. Apa yang paling Nurin teruja apabila Zuhrin bersama-sama masuk ke bilik doktor sewaktu pemeriksaan perut. Tak ternilai harganya melihat wajah teruja Zuhrin apabila melihat scan 3D. Nurin mengucap syukur yang tak terhingga.
Zuhrin sudah menyiapkan bilik tidur untuk anak-anak mereka. Bilik bertentangan di cat dengan warna biru muda dan merah jambu. Dua katil bayi di letakkan di tengah-tengah bilik, sebelah menyebelah. Dua almari baju penuh dengan kelengkapan bayi seperti kain lampin, lampin pakai buang, pakaian, minyak angin dan pelbagai keperluan lain semuanya dibeli dua set.
Nurin bahagia melihat kesungguhan dan kegembiraan Zuhrin menanti kehadiran cinta hati mereka.
“ When the one man loves the one woman and the one woman loves the one man, the very angels desert heaven and come and sit in that house and sing for joy.” Nurin masih teringatkan kata-kata Zuhrin apabila mereka berbual dan mengharapkan sebuah keluarga besar yang bahagia dan Nurin mengakuinya.
Sekaya manapun seseorang itu, hidupnya tak lengkap tanpa keluarga. Itulah yang dilaluinya sebelum Allah mempertemukannya dengan Zuhrin.
Dalam kesibukan membahagikan masanya, Zuhrin masih sempat membawa Nurin ke Cameron Highland untuk menikmati saat-saat terakhir berdua sebelum mereka berempat.
Udara nyaman Cameron Highland amat menggembirakan Nurin. Cameron Highlands atau Tanah Tinggi Cameron merupakan sebuah pusat peranginan tanah tinggi yang terkenal di semenanjung Malaysia. Cameron Highland terletak di barat daya negeri Pahang, sebuah negara yang kaya dengan khazanah hutan semulajadinya. Dengan kedudukan setinggi 1,829 meter dari aras laut dan mempunyai bersuhu antara 10°C hingga 25°C. Keindahan Cameron Highland pastinya akan memukau hati sesiapa sahaja yang berkunjung ke sana.
Mereka naik ke Cameron Highland melalui Tapah, Perak dan merancang pulang ke Sungai Petani melalui Simpang Pulai. Sengaja Nurin mengajak Zuhrin naik melalui Tapah kerana suka melihat keindahan air terjun Lata Iskandar.
Secara keseluruhan Cameron Highlands merupakan kawasan tanah tinggi yang paling menarik di Malaysia. Keindahan di Blue Valley Tea Estate, Gunung Brinchang, Tringkap dan petempatan Orang Asli Sungai Ruil cukup memukau. Nurin ketawa apabila melihat pondok orang Asli yang hampir roboh pun dah ada piring ASTRO. Sudah semakin maju orang asli sekarang.
Ladang yang menghijau dan indah di sana diusahakan oleh Sungai Palas Boh Tea Plantation. Lain-lain tarikan ialah Wild Orchid Farm, Green Farm, Rose Valley Village, Butterfly Farm, Butterfly Garden, Kea Farm, Pasar Sayur, Uncle Sam Farm, Cactus Point, Tokong Sam Poh , Cactus Valley, Strawberry Farm, rumah rehat dan juga padang golf.
Di puncaknya terletak Balai Polis Cameron Highlands dan Balai Bomba Cameron Highlands. Di sini juga terletaknya Gunung Beremban, Gunung Jasar, Gunung Perdah dan Air Terjun Robinson. Lain-lain lokasi ialah Ringlet dan Kampung Lembah Bertam Stesen Janakuasa elektrik Cameron Highlands berfungsi sebagai pembekal elektrik.
Cameron Highland telah mendapat namanya setelah seorang pegawai Inggeris iaitu William Cameron menemuinya pada tahun 1885 ketika sedang membuat tinjauan pemetaan.
Mereka menginap di Strawberry Park Resort yang terletak di antara Tanah Rata dan Gunung Brinchang. Tanah Rata terletak di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands. Sebahagian Tanah Rata terletak dalam negeri Perak dan sebahagian lagi terletak di negeri Pahang. Gunung Brinchang dengan ketinggian 2031 meter terletak di negeri Pahang. Bandar Tanah Rata merupakan ibu daerah Cameron Highland. Tanah Rata mendapat nama dari muka bumi yang lebih rata dan datar di kawasan ini berbanding dengan seluruh pergunungan Cameron.
Mereka banyak menghabiskan masa berjalan-jalan di ladang Strawberry dan menikmati teh panas di Ladang Teh Bharat dan juga Ladang Teh Boh. Di situ, mereka tak perlu takut dikenali orang seperti di Sungai Petani. Hidup dalam rahsia punya kesulitan yang tersendiri. Tapi mereka redha.
Zuhrin seronok melihat Nurin ketawa riang, melihat wajah ceria Nurin apabila bergurau dengannya. Zuhrin menanamkan di dalam hatinya, apapun yang terjadi dia takkan melepaskan wanita itu pergi dari hidupnya. Dia akan berusaha sehabis daya untuk mempertahankan wanita itu dan juga anak-anaknya walaupun dia sedar laluannya penuh liku.
Sakit hati dan amarah mak masih bersisa kerana dikhianati kembar sendiri. Zuhrin yakin, Allah telah mempertemukan jodoh mereka sebagai medium untuk meleraikan segala masalah yang terjadi sebelum kelahiran mereka.
Zuhrin setuju dengan kata-kata Mignon McLaughlin, a successful marriage requires falling in love many times, always with the same person.
‛I love you much, dear. Forever and ever.’ Zuhrin mengucup dahi Nurin yang terlena dipangkuannya, barangkali terlalu penat berjalan apalagi dengan perut yang semakin sarat.
Zuhrin tersenyum bahagia.

Izinku Pergi -12-

Monday, April 11, 2011

| | | 0 comments


Bab 12
Qistina membelek kad yang dijumpai di dalam laci mejanya, bersama dengan satu bungkusan yang dibalut kemas dan cantik. Qistina membelek kad dan bungkusan yang diterima dari Adam.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri…saya mohon maaf zahir dan batin. Saya harap sangat awak sudi mengenakan pakaian ini untuk Jamuan Hari Raya esok. Saya akan tunggu awak dekat tempat biasa, pukul 11.15 pagi.
P/S : Tahun baru ni apa kata kalo kita bukak buku baru???”
Qistina menyumbatkan bungkusan itu ke dalam beg sekolah. Hatinya meronta mahu melihat isi bungkusan itu. Dia mampu membohongi teman-teman, namun dia tidak mampu membohongi hatinya sendiri. Dia amat merindui Adam.
Bagi Qistina, malam itu berlalu dengan terlalu perlahan. Dia tidak sabar menanti hari esok. Jamuan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal diadakan keesokkan harinya membuatkan hatinya berdebar-benar. Duduk salah, berdiri salah, baring pun rasa salah, kesimpulannya semuanya buatkan dia rasa serba-salah.
Syiera juga kelihatan teruja menanti esok. Katanya pakaiannya dengan Ijam adalah sedondon. Niza juga sedondon dengan Shahril dari kelas KJ2. Mereka yang berpasangan sejak dari pertengahan tingkatan empat merupakan pasangan yang bahagia di matanya. Di hatinya, dia kepingin untuk memiliki satu cinta yang bahagia seperti teman-temannya.
Qistina mengenakan kebaya labuh berwarna biru yang penuh dengan sulaman dan juga dihiasi dengan manik-manik. Qistina amat menyukai baju yang dihadiahkan oleh Adam. Kebaya itu muat-muat disarungkan ke tubuhnya. Syiera dan Niza yang juga sedang bersiap, terpegun melihat kecantikan kebaya yang sedang dipakai oleh Qistina dan dipadankan dengan tudung sutera berwarna krim yang disulam dengan bunga yang sama.
“Vougenya.” Sepatah perkataan yang keluar dari mulut Syiera.
“Vouge sangat ka?” Qistina sudah mula cuak.
Takut dikatakan melampau dek teman-teman.
“Cantik. Cantik sangat.” Niza dan Syiera kagum pada keindahan sulaman dan buatan kebaya pemberian Adam.
Qistina gugup sebenarnya, malu melangkah keluar dari bilik apatah lagi ke sekolah dengan pakaian begitu. Namun, apabila dikenangkan yang ianya permintaan dari Adam, ditabahkan juga hatinya untuk melangkah.
Qistina sedar, dia agak menjadi perhatian hari ini. Tambahan pula, majlis diadakan di Dewan Sekolah. Tapi nasib baiklah, semuanya teman-teman setingkatan kerana pelajar tingkatan empat belum melaporkan diri lagi. Minggu hadapan barulah pelajar tingkatan empat akan melaporkan diri.
Qistina perasankan lirikan mata Adam dan senyuman manisnya. Senyuman tanda puas hati. Qistina tunduk malu. Syiera dan Niza yang sentiasa kecoh menceriakan suasana dengan gelak tawa mereka. Di tengah-tengah kemeriahan itu, hati Qistina dan Adam berperang hebat.
“Amboi…sedondon nampak.” Usik Ijam yang entah dari mana datangnya.
Qistina agak tersentak. Tadi dilihatnya Ijam asyik bersama Syiera dan Shahril. Entah bila dua pasangan ini menghampiri, langsung tidak disedarinya.
“Sedondon?” Qistina buat-buat tidak faham.
Mereka senyum nakal.
“Kalau dalam hati tu dah ‘kuch kuch hota hai’, terima je lah. Jadi macam kami. Insya-Allah bahagia. Ni dak, sorang ke utara, sorang ke selatan. Sudahnya angau sendiri, sakit jiwa.” Usik Shahril pula.
“Ops…ops…apa ni? Aku kurang paham. Untuk makluman hang Shah, aku ni ambik kelas kejuruteraan bukan kelas sastera. Cakap tu cuba bagi terang.” Qistina malas dan gugup melayan usikan dan kiasan mereka.
Qistina meneruskan suapan nasi himpit ke mulut. Nasi himpit berkuah lodeh dan sambal ikan bilis amat digemarinya. Qistina diulit rasa cemburu apabila melihat kemesraan dan kebahagiaan teman-temannya. Sedikit sebanyak dia mengakui kata-kata Shahril.
“Guys, enjoy yourself. Aku nak pi jumpak cikgu-cikgi dengan kawan-kawan kita yang lain.” Qistina meminta izin berlalu apabila jarum jam sudah menginjak ke pukul sebelas pagi.
“Nantilah kita pi sekali.” Niza cuba menahan langkah Qistina tapi sudah terlambat.
Qistina sudahpun berlalu meninggalkan mereka berempat yang sedang menikmati sate dan juga ketupat bersama rendang.
“Awat nampak Que pelik ja hari ni?” Ijam memecah kesunyian yang tercipta dek keasyikan menjamu selera.
“Entah. Nampak cam gabra pun ada jugak.” Celah Shahril.
Syiera dan Niza berpandangan.
“Macam ada yang tak kena.” Serentak Syiera dan Niza bersuara.
Mereka berpandangan sesama sendiri, idea nakal terbit di kepala masing-masing.

Izinku Pergi -11-

Friday, April 8, 2011

| | | 0 comments


Bab 11
Januari 1998…
Selepas lebih sebulan bercuti, semua pelajar termasuk Qistina kembali ke SEMENTAS untuk menyambung pengajian mereka ke tingkatan lima. Kerinduan pada teman-teman yang selama ini terpendam akhirnya terlampias juga.
Qistina, Syiera, Niza dan Niza berpelukan riang. Walaupun sering berhubung melalui telefon dan juga berkongsi cerita melalui ‘chat room’ di internet, masakan sama dengan duduk dan bercerita bersama.
Apa yang pasti, lebih banyak cabaran yang menanti mereka di tahun baru, 1998. Kini, merekalah penghuni bilik H9 yang pernah dihuni oleh Zurina dan teman-teman. Bukan main gembira mereka bertiga apabila berpeluang menghuni bilik yang hanya tiga orang penghuninya.
Nabila telah dipilih menjadi Penolong Ketua Pengawas ASPURI, manakala Lisa pula sebagai Ketua Pengawas ASPURI dan juga sekolah Penolong Ketua Pengawas Sekolah. Mereka berdua menghuni bilik tunggal, ataupun bilik hanya untuk seorang. Qistina, Syiera dan Niza juga pernah ditawarkan menjadi salah seorang pengawas ASPURI, namun mereka menolak dengan alasan mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada SPM yang bakal diduduki dan juga sibuk dengan persatuan-persatuan yang telah mereka anggotai sejak ditingkatan empat.
“Aku ada cerita nak bagitau.” Syiera memecahkan kesunyian tatkala mereka asyik mengemaskan barang masing-masing di kamar baru.
“Cerita?” Niza dan Qistina sama-sama tidak sabar menanti cerita Syiera.
Mereka meninggalkan barang masing-masing dan duduk menghampiri Syiera.
Syiera hanya tersengih apabila melihat teman-teman yang tidak sabar.
“Loh…tunggu apa lagi? Cerita la.” Desak Niza.
Syiera hanya tersengih sambil membelek-belek jarinya.
Qistina terpandang sesuatu yang berkilau di jari manis teman baiknya.
“Syiera…?”
Syiera mengukir senyuman manis.
“Hang dah bertunang?” Terpacul soalan itu dari mulut Niza yang juga perasankan kilauan di jari temannya.
Syiera hanya tersengih.
“Sudah-sudahlah dengan sengih tu. Cerita la tadi kata nak cerita.” Desak Qistina pula apabila melihatkan temannya yang kelihatan amat bahagia.
“Tunang…belum. Tapi, risik…dah.” Syiera memberitahu sambil tersenyum malu.
“Wow…bestnya.” Qistina dan Niza menumpang bahagia dengan berita gembira itu.
“Dengan sapa? Bila nak bertunang? Bila nak kahwin?” Soal Qistina dan Niza bertalu-talu.
“Relax lah. Satu-satu.” Syiera juga gembira melihatkan penerimaan teman-temannya.
“Jawablah.” Desak Niza.
“Insya-Allah lepas habih SPM baru bertunang. Dia hantaq family dia suruh risik sebab dia nak couple dengan aku dengan cara yang betoi. Nikah, kena tunggu habih study dulu la. Lagi lambat habih, lagi la lambat kami kahwin.” Cerita Syiera yang kononnya malu-malu.
“Sapa?” tanya Qistina.
“Kami kenai dak?” sampuk Niza, belum sempat Syiera menjawab.
Syiera sengih kerana belum sempat menjawab, sudah diasak dengan pertanyaan lain.
“Kenai…kenai sangat-sangat.” Jawapan Syiera membuatkan Niza dan Qistina berpandangan.
“Kenai?” Qistina dan Niza bertanya serentak.
Syiera hanya menganggukkan kepalanya.
“Ijam?” Nama itu spontan terkeluar dari mulut Qistina.
Syiera mengangguk, malu-malu.
“Waa….gentlemannya.” jerit Niza.
“Janganlah bising-bising. Kami dah janji nak rahsiakan perkara ni. Tak mau nanti kecoh satu sekolah. Janji tau.”
Qistina dan Niza mengangkat tangan tanda berjanji.
“Kami tumpang bahagia.”
Mereka bertiga berpelukan, gembira.
“So…hangpa kenalah bercinta elok-elok. Tak boleh main-main tau. Nanti orang tua yang pening.” Nasihat Qistina, dalam hatinya agak tak bersetuju kerana usia mereka yang baru menganjak ke tujuh belas tahun.
“Macamana hang dengan Zack?” soalan Syiera membuatkan Qistina terdiam.
Niza juga mengalihkan pandangannya dari Syiera ke arah Qistina.
“Huallahualam…aku berserah pada yang Esa.” Jawab Qistina perlahan.
“Kami tau, betapa dia sayang kat hang. Sayang sangat-sangat. Bagilah dia peluang sekali lagi.” Niza seakan merayu bagi pihak Adam.
Qistina tersenyum hambar. Dihatinya juga terselit rasa rindu buat pria kesayangannya. Dalam hubungan hatinya dengan Adam, Qistina lebih banyak bercerita dengan Lisa kerana dia rasa lebih selesa begitu. Bukan dia tak percayakan Syiera dan Niza tapi persahabatan mereka dengan Adam buatkannya lebih selesa untuk mendiamkan saja perasaannya.
“Tengok tu, kita cakap…dia senyum la plak.” Syiera seakan mahu merajuk.
“Syiera, hati dan perasaan adalah sesuatu yang cukup kompleks. Jodoh, pertemuan, ajal dan maut…semuanya ketentuan Allah S.W.T.”
“Tak cukup lagikah hang dera dia?” Niza pula mempersoalkan hukumannya pada Adam.
“Dera atau dak…itu bukan persoalannya. Tapi…entahlah.” Qistina sendiri tiada jawapan pada persoalan yang dikemukakan teman-temannya.
“Que…buatlah apa yang patut dan terbaik buat hangpa dua orang. Tapi…apa pun keputusan hang, pikiaq masak-masak. Jangan buat keputusan terburu-buru.” Syiera menasihatkan Qistina dengan lembut.
Niza juga menganggukkan kepalanya.

Followers