Bab 38
Zuhrin cuba mengawal rasa terperanjatnya dengan tersenyum sambil membuka mangga untuk gril yang melindungi pintu cerminnya. Tetamu-tetamu mereka juga terkejut apabila melihat kewujudan Zuhrin di situ.
Zuhrin bersalam dan mencium hormat tangan tetamu-tetamunya. Nurin yang turun dengan jubah berkain lembut dari warna ungu muda dan tudung berbunga dari warna sama juga hampir pitam apabila melihat siapakah tetamu-tetamu mereka. Sama seperti Zuhrin, Nurin juga bersalam dan mencium tangan mereka.
Buat pertama kalinya tok datang menjenguknya di rumah dan ditemani oleh Mak Long, Pak Long, Mak Tam, Pak Tam dan Mak Su. Mereka berdua mempersilakan tetamu-tetamu mereka masuk dan melabuhkan punggung di atas sofa. Nurin terus ke dapur untuk menghidangkan air, Mak Su juga membuntutinya tanpa sebarang kata.
Tok mengurut dadanya berkali-kali, cuba untuk bertenang dan berfikir dengan rasional.
“Apa yang hangpa buat dalam rumah yang bertutup rapat, berdua-duaan?” Tok cuba mengawal suaranya.
Zuhrin membisu, menundukkan kepalanya. Dia cuba mencari ayat yang sesuai untuk menerangkan perkara yang sebenar.
“Walaupun aku kata, aku suka kalau hangpa dua menikah tapi tak bermakna hangpa dua orang boleh buat suka-suka hati. Nurin tu bini orang dan hang sendiri tunang orang.” Ternyata tok tak mampu mengawal amarahnya.
Zuhrin dan Nurin merupakan cucu kesayangannya. Dia tak sangka mereka berdua sanggup menconteng arang ke mukanya. Nurin dan Mak Su di dapur juga dapat mendengar suara tok yang meninggi.
“Hang buat apa kat sini, Ayen? Hang tak kerja ka hari ni?” Pak Long cuba berdiplomasi.
“Saya ambil cuti seminggu. Hari tu Nurin demam, lepas tu sambung dengan anak-anak pula. Nurin takdan nak jaga dua-dua sekali.” Zuhrin berterus-terang.
“Kalau iyapun Nurin dengan anak-anak demam, awat tak bagitau kami? Kami boleh jaga. Hang tak payah susah-susah.” Tok menyanggah niat baik cucu kesayangannya.
“Nurin dan anak-anak adalah tanggungjawab saya.” Nurin yang menghidangkan air juga pucat.
Tangannya terketar-ketar apabila melihat riak wajah tok yang marah. Satu riak yang tidak pernah dilihatnya sejak dia mengenali tok.
“Sebagai kawan suami dia dan sebagai sepupu dia, hangpa dua tetap bukan mahram.” Mak Long bersuara lembut untuk mengingatkan rasional hubungan mereka.
Mata Pak Long menangkap pandang sesuatu di kabinet di satu penjuru lain. Nurin naik ke atas selepas menghidangkan air dan kembali dengan kotak fail lutsinar berwarna putih.
“Minumlah.” Nurin mempelawa perlahan.
“Aku tak mau minum. Aku nak dengaq penjelasan hangpa.” Tok menolak, menunjukkan kekerasan hatinya.
“Aku tak boleh terima perangai cucu-cucu yang macam ni. Selama ni aku dok dengaq cerita-cerita buruk pasai anak cucu orang, hari-hari aku berdoa supaya tak kena pada anak cucu aku. Tapi rupa-rupanya bukan dengaq, tapi aku tangkap sendiri.” Tok meluahkan rasa kekesalannya.
“Mak, bagilah peluang depa jelaskan hal yang sebenaq.” Pak Long juga mahukan penjelasan kerana baginya Zuhrin takkan melakukan hubungan sulit dengan isteri orang.
Didikan agama yang ada pada Zuhrin bagi Pak Long dah cukup kuat untuk memagar anak saudaranya daripada hubungan mungkar sebegitu. Pak Long tak percaya Zuhrin tergamak mengkhianati amanah seorang sahabat.
“Tok, kami tak salah. Cuma mungkin caranya saja yang tak kena.” Zuhrin cuba menjelaskan hubungan mereka.
“Tak salah hang kata?” Tok terjerit.
Pak Long dan Mak Long memegang tok yang hampir bangun untuk memukul Zuhrin. Melihatkan keadaan yang makin tegang, Nurin mengeluarkan dokumen-dokumen yang disimpannya di dalam kotak fail dan diletakkan di atas meja sebagai bukti.
“Nurin bukan isteri kawan saya, tapi dia isteri saya. Am dan Nani adalah anak-anak kami.” Cepat-cepat Zuhrin memberitahu apabila melihat Tok yang dah tak mampu bersabar lagi.
“Tok, tok pernah tanya siapa suami saya kan? Saya tak pernah bagitau tok walaupun namanya kan? Tok juga pernah minta nak tengok surat beranak Am dengan Nani tapi saya buat-buat tak dengaqkan?” Nurin bertanya Tok dengan soalan yang bertubi-tubi.
Mendengarkan pertanyaan Nurin, Tok bagaikan berfikir semula dan seketika kemudian Tok menganggukkan kepalanya. Apa yang cuba disampaikan oleh Nurin kepadanya.
“Saya tak boleh bagitau, tok. Sebab suami saya ialah Zuhrin, sepupu saya sendiri. Memang kahwin sepupu tak salah, tapi rasanya semua orang tau macamana hubungan mak Zuhrin dan arwah mama papa saya.”
“Kami mengaku, kami salah. Tapi, kami cuma memilih untuk bersama secara halal. Tapi kami tak pernah sangka wujudnya hubungan keluarga antara kami. Kami rancang nak bagitau keluarga bila saya dah habis belajaq. Tapi bila kami tau kami ni sepupu, semuanya dah berubah jadi payah.”
Semua yang ada menganggukkan kepala apabila mengenangkan dendam antara mak Zuhrin dengan arwah mak Nurin.
“Awat hangpa buat macam ni? Awat menikah senyap-senyap? Awat susah-susah menikah kat Siam?” Suara Tok mula mengendur.
Mendengar kata-kata tok menikah di Siam hampir meletuskan tawa Nurin dan Zuhrin, namun sedaya upaya ditahan.
“Mungkin inilah jodoh kami. Kami harap tok dan semua boleh restui kami.” Nurin melutut di hadapan Tok sambil memegang tangan wanita yang sudah hampir tiga suku abad itu.
Tanpa menjawab Tok memeluk dan mencium Nurin berkali-kali.
“Alhamdulillah.” Tok memanjatkan sukur apabila niat hatinya untuk melihat dua cucu kesayangannya bersatu telah dimakbulkan Allah sebelum dia mengenali Nurin lagi.
“Macamana dengan Iffah?” Mak Tam tiba-tiba teringatkan tunangan Zuhrin yang cantik dan bersopan-santun itu.
“Iffah dah tau. Saya dah bagitau dia, cuma saya dok cari jalan nak bagitau keluarga dan putuskan pertunangan kami secara rasmi.”
“Patutlah muka hang pucat bila kita sembang pasai menikah hati tu. Takut ada orang merajuk, rupanya.” Pak Tam terperasankan reaksi Zuhrin hari itu.
Terlalu banyak persoalan yang dikemukan mereka. Bermula dari bagaimana mereka berkenalan dan akhirnya mengambil keputusan untuk hidup bersama hinggalah perbincangan bagaiamana untuk menghadapi keluarganya dan juga keluarga Iffah setelah beberapa tahun bertunang.
Namun segalanya berakhir tanpa jawapan.