Bab 34
Sengaja Zuhrin memandu Iffah ke Pantai Merdeka. Nurin berada di rumah tok sejak semalam, untuk membantu persiapan kenduri kesyukuran yang akan diadakan esok. Nurin kembali ke rumah mereka sebaik sahaja selesai berpantang. Zuhrin mengambil kesempatan dengan kesibukan kenduri untuk menjelaskan kekusutan hubungannya dengan Iffah sekarang. Dia tak mampu berselindung lagi.
“Awat abang bawa Iffah sampai sini?” Iffah melabuhkan punggungnya ke atas kerusi batu replika kayu sebaik keluar dari kereta.
Zuhrin mengeluh.
“Abang tak pernah cintakan Iffah, kan?” Tanpa kias Iffah melontarkan soalan kerana dia amat menyedari hakikat itu.
Sekali lagi Zuhrin mengeluh. Keluhan Zuhrin bagaikan jawapan kepada semua persoalan Iffah.
“Satu saja yang Iffah nak tanya abang, apa kurangnya Iffah? Abang tak pernah cuba untuk mencintai Iffah. Abang tak pernah bagi peluang kepada Iffah.”
Zuhrin melabuhkan punggungnya di bangku yang sama. Tapi amat berjarak. Iffah mengalihkan badannya dan memandang Zuhrin yang berada di tepinya. Hati wanitanya tersentuh apabila melihat Zuhrin duduk di hujung bangku.
“Aku dah cuba tapi tak boleh. Sejak dari dulu, aku dah anggap hang macam adik aku. Bila mak pak kita nak jodohkan kita, aku tak mampu nak bantah. Aku ingat, bila kita berjauhan aku boleh pupuk rasa cinta pada hang. Tapi, aku silap. Aku tak mampu sebenaqnya.”
“Apa yang abang cuba nak bagitau Iffah?” Iffah dapat rasakan apa yang bakal disampaikan oleh Zuhrin.
Satu kenyataan yang sangat ditakuti walaupun sudah lama dia mengetahui hakikat itu.
“Sekali lagi aku minta maaf. Aku akan selesaikan masalah kita. Tapi sebelum aku bagitau semua orang, aku rasa hang perlu tahu keputusan aku.” Suara Zuhrin perlahan, tapi tegas.
Iffah menundukkan kepalanya, debaran di hatinya bagaikan orang yang sedang menanti hukuman mati.
“Aku buat semua ni sebab aku tak boleh khianati insan-insan yang amat aku cintai dengan menikahi hang.”
“Insan-insan? Abang dah ada kekasih?” Iffah cuba mendapatkan kepastian walaupun dia cuba untuk menafikan maksud kata-kata yang didengarnya sebentar tadi.
“Bukan sekadar kekasih. Tapi seorang isteri dan sepasang cahaya mata.” Iffah bagaikan mahu pitam. Iffah menganggap gurauan Zuhrin sudah melampau.
“Kalau abang tak mau kahwin dengan Iffah pun, tak payahlah abang buat cerita macam ni.” Iffah cuba mengawal emosinya.
“Aku dah kahwin, di Adelaide. Kami baru saja menimang cahayamata, kembaq. Kami terpaksa rahsiakan pernikahan kami sebab pertunangan kita. Dia perempuan pertama yang aku cintai dan aku tak sanggup kehilangan dia.” Iffah menarik nafas panjang, untuk menenangkan dirinya.
“Aku akan bagitau semua, cuma aku nak bagitau hang dulu. Hang tunang aku, aku salah sebab tak berlaku adil pada hang. Hang tak kurang apa-apa Iffah, cuma aku yang tak pandai menilai. Mungkin inilah yang dikatakan jodoh. Aku suka dan sayangkan hang, tapi hanya sebagai seorang abang kepada seorang adik. Moga hang akan bertemu dengan insan yang terbaik, jauh lebih baik dari aku.” Zuhrin masih menekan perkataan adik dan sememangnya itulah yang dirasakannya sejak dulu dan ia tak pernah berubah.
“Abang dah gila? Pernah dak abang pikiaq macamana penerimaan keluarga kita, terutamanya keluarga abang?”
“Takkan aku tak pernah pikiaq? Takkan aku tak rasa berdosa bila terpaksa sembunyikan perkara sebesaq ni daripada mak pak aku?” Soal Zuhrin kembali kepada Iffah.
“Aku cuma mampu berdoa depa dapat maafkan aku. Aku cuma buat pilihan untuk bersama orang yang aku cintai, secara halal.”
“Kalau Iffah sanggup bermadu?” Iffah cuba memprovok Zuhrin dan sememangnya Iffah sanggup bermadu, asalkan dia dapat hidup bersama Zuhrin.
Zuhrin tersentak, dia tak sanggup Iffah sanggup berfikir sejauh itu.
“Aku yang tak sanggup. Walaupun hang dan dia sanggup bermadu, aku tak sanggup bahagi-bahagikan kasih aku.” Zuhrin kembali tegas.
Bagi Zuhrin, isterinya hanya seorang. Kasihnya akan dibahagikan sama rata kepada Nurin dan anak-anak mereka bukannya kepada isteri-isteri.
Bayu laut yang sepoi-sepoi bahasa bagaikan taufan yang menghentam, bagi Iffah. Dia tak sangka Zuhrin sanggup menolaknya hingga sebegitu. Dia ingat, dia mampu memiliki Zuhrin andaikata dia sanggup berkongsi kasih dengan isteri lelaki itu. Iffah rasa malu dan terhina, dia mengetap bibirnya kuat hingga hampir terluka.
Zuhrin segera mengajak Iffah beredar. Dia tak mahu melayan kegilaan Iffah dan dia juga tak mahu kehilangannya mencurigakan keluarganya. Iffah membisu sepanjang perjalanan. Zuhrin meninggalkan Iffah di hujung lorong bagi mengelakkan daripada dikesan keluarga Iffah.
Zuhrin bergegas kembali ke kampung yang hanya dua puluh minit berkereta. Dia memarkir kereta Honda City itu di padang di hadapan rumah tok bersama kereta-kereta lain, termasuklah Honda Civic Nurin. Zuhrin menyapu kenderaan ditepinya itu sekali lalu.
‘Tak dapat pegang tuan, pegang kereta pun jadilah.’ Hati Zuhrin berbisik, nakal.
Zuhrin mengangkat kotak yang berisi barang-barang yang dibeli berpandukan senarai pesanan yang diberi oleh mak. Zuhrin lalu di tepi Nurin dan mereka berbalas senyuman.
“I miss you.” Bisikan Zuhrin dengan senyuman nakalnya mengundang jelingan tajam Nurin.
“Ayen.” Zuhrin tersentak dengan laungan mak. Nurin tergelak kecil.
Tanpa menunggu lama, sambil menjinjing kotak barangan Zuhrin berjalan laju mencari mak.
“Hang pi cari nyok muda dengan abang hang. Nak jamu orang-orang yang buat kerja kat luaq tu.” Zuhrin terkejut.
‘Nurin suka minum nyok muda ni, tapi orang baru lepas pantang boleh minum ka?’ Zuhrin tak sanggup membiarkan Nurin terliur andai kata dia tak boleh menikmatinya. Dia tak sampai hati.
“Tak payahla cari ayaq nyok tu. Kan Nurin dengan kak cik tak boleh minum.” Kata-kata Mak Long melegakan hati Nurin, sekurang-kurangnya ada juga orang yang memikirkan tentang Nurin dan kakaknya yang baru habis pantang.
“La, kak long...yang tak boleh minum tu tak payahlah minum. Bagi la depa minum ayaq halia ka.” Jawab mak tak acuh.
Hati mak sakit apabila Mak Long menyebelahi Nurin. Tanpa memperdulikan mereka, mak terus menggoreng ayam dengan dibantu oleh Mak Tam.
“Hang pi buat laici kang dengan maksu, hang beli ikut senarai yang mak hang bagikan?” Zuhrin menganggukkan kepalanya sambil menyelongkar kotak besar yang di bawanya bersama, tadi.
Nurin melangkah masuk ke dapur dan menuju ke kabinet dapur.
“Awak cari apa?” Spontan Zuhrin bertanya apabila melihat Nurin bagaikan tercari-cari.
“Ayaq masak. Ayaq dalam bilik dah habis. Saya nak buat susu.” Nurin tersenyum sambil menunjukkan botol-botol susu yang dipegangnya.
Terdengar suara tangisan dari bilik.
“Awak pi tengok anak, nanti saya hantaq susu.” Cepat-cepat Zuhrin menyuruh Nurin berlalu sambil mengambil botol-botol susu dari pegangan Nurin.
“Sat na Mak Long. Sat lagi Ayen buat laici kang tu na.” Mak Long mengangguk, tapi terselit tanda tanya di fikirannya, tapi tidak pada maksu yang sudah biasa dengan keadaan itu sepanjang Nurin berpantang.
Kecekapan Zuhrin menyiapkan susu menambahkan kehairanan Mak Long. Zuhrin memang suka membantu di dapur, itu mereka tak nafikan tapi melihat kemesraan antara Zuhrin dengan Nurin dan anak-anaknya agak menghairankan mereka.
Zuhrin cepat-cepat mendapatkan Nurin kerana mendengar tangisan yang semakin kuat.
“Nurin, awat anak reyau kuat tu?” Laung tok yang sedang melihat orang bersiang di luar rumah.
“Tak dak apa tok. Lapaq ja ni.” Nurin sebenarnya kelam-kabut.
Dia hanya mampu menyusu seorang saja pada satu-satu masa, seorang lagi meraung. Dalam celah kekalutan itu Zuhrin menjenguk ke dalam bilik. Nurin sedang menyusu Nurzaiham dan Nurzaihani sedang menangis minta disusukan. Cepat-cepat Zuhrin mengangkat Nurzaihani yang sedang meragam dan disusukan.
“Ala sayang daddy, jangan nangis na. Mummy sibuk tu. Nani baik kan.” Zuhrin memujuk Nurzaihani dengan lembut dan suaranya diperlahankan untuk mengelakkan daripada didengari.
Nurin mengukir senyum apabila melihat Zuhrin datang menyelamatkan keadaan. Nurzaiham yang kembali terlena ketika disusukan dikembalikan ke sebelah adiknya.
“Dah lena balik budak-budak tu?” Tok yang tiba-tiba muncul benar-benar memeranjatkan mereka berdua.
“La...hang buat apa kat sini, Ayen?” Tok bertanya apabila melihatkan anak mereka berdua bersama anak-anak di bilik itu, walaupun pintunya tidak bertutup namun langsir yang labuh hingga melindung pandangan orang lain akan mengundang tanda tanya kepada hadirin apabila sepupu berlainan jantina di dalam satu bilik tanpa orang lain tambahan pula Nurin sedangkan menyusukan Nurzaiham.
“Dia tolong saya tok. Saya nak buat susu tadi, Am dengan Nani teriak. Ayen tolong buatkan susu dan hantaq mai.” Nurin berterus-terang.
Tok menganggukkan kepalanya.
“Hang pi la keluaq, tolong orang kat luaq nu. Nanti apa pulak orang kata.” Tanpa bantahan mahupun sebarang kata dari mulut Zuhrin melainkan senyuman, Zuhrin berlalu meninggalkan bilik itu sambil mengenyitkan matanya.
Tok tersenyum lagi melihat cicit-cicitnya yang sedang lena. Hatinya puas kerana dapat menjaga Nurin sepanjang dia berpantang. Namun, hatinya sayu apabila terkenangkan ibu Nurin, Nurhanis. Tok menyeka air matanya dengan mini telekung ungu yang dipakainya.
“Awat, tok?” Nurin hairan, dalam senyuman tok mengalirkan airmatanya.
“Tok teringat kat mak hang. Walaupun tok tak dak peluang nak jaga dia masa dia beranak kat hang dulu tok tetap bersyukur. Sebab umuq tok panjang lagi, tok boleh tengok hang dengan anak-anak hang. Tok rasa bersyukur sangat-sangat. Tok harap umuq tok cukup panjang untuk jumpa laki hang pulak lepaih ni.” Tok memeluk Nurin bersama kerinduannya kepada Nurhanis walaupun dulu dia teramat kecewa dengan tindakan anak kesayangannya itu.
Nurin membalas pelukan tok dengan penuh kasih sayang. Sekali lagi Nurin terasa amat bersyukur kerana diberi peluang untuk memiliki satu lagi kasih sayang.