Total Pageviews

Izinku Pergi -21-

Wednesday, February 22, 2012

| | |


Bab 21
15 Jun 1999
Pagi ni, Qistina mendaftarkan diri sebagai mahasiswi di Institut Teknologi Mara, Arau dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik pengkhususan Peralatan Industri manakala Adam telah menolak tawaran melanjutkan pengajian ke University of Surrey di UK dalam Bachelor in Electrical Engineering sebaliknya menerima tawaran ke Institut Teknologi Mara, Permatang Pasir dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik pengkhususan Elektrik Tenaga.
Adam tetap menolak tawaran ke Surrey walaupun bapanya memberi jaminan untuk mencari ruang buat Qistina menyambung pengajian di universiti yang sama. Adam juga hanya kembali dari pengajian kursus pendeknya dalam bidang fotografi di India, seminggu sebelum pendaftaran masuk. Siapa pun tak dapat meneka apa yang Adam fikirkan.
Seminggu yang pendek itu, hanya dua kali Adam datang menemuinya dan semalam merupakan kali kedua Adam datang menemuinya. Hanya untuk memberi keizinan kepada Qistina menyambung pengajiannya. Qistina dapat merasakan kebekuan dan kedinginan Adam padanya.
Walaupun Qistina amat merindui Adam yang meninggalkannya sejak dua hari selepas pernikahan untuk menamatkan pengajian kursus pendeknya dalam bidang fotografi di Chennai, India dia takut untuk menzahirkan perasaanya apabila melihat kedinginan Adam.
Sedangkan sebelum menemui Adam, hatinya sangat teruja. Dia teringin memeluk lelaki yang sah menjadi suaminya sejak tiga bulan yang lalu. Dia teringin melihat sinar kasih di mata Adam seperti dulu. Sebelum menjadi isteri kepada Adam, Qistina pernah merasakan dia takkan kembali mengasihi mahupun merindui lelaki itu. Tetapi perasaan yang dimilikinya usai ijab kabul membuatkan dia redha dan mula menyemai benih kasih buat suami sendirian.
Sepanjang perjalanan dari rumah mak ayah ke Arau, Qistina menghabiskan masa dengan termenung. Fikirannya melayang jauh. Hidupnya terasa sangat kosong. Sepanjang di Chennai, Adam menghubunginya seminggu sekali untuk bertanya khabar. Itupun hanya perbualan yang singkat.
Qistina pujuk hati, Adam sibuk di sana. Adam perlu fokus untuk selesaikan pengajian kursus jangka pendeknya. Tapi pertemuan semalam, walaupun sekadar beberapa jam, Qistina benar-benar terasakan kehilangan Adam yang amat mencintai dirinya. Dia bagaikan menerima hukuman kerana keangkuhannya menolak cinta tulus Adam selama ini.
Mereka sekadar menikmati makan malam di Tanjung Dawai. Beberapa jam bersama, mereka lebih banyak mendiamkan diri dan menikmati angin malam di tepian laut Tanjung Dawai.
Qistina mengimpikan mereka akan berjalan sambil berpegangan tangan buat kali pertamanya dan dia teringin menonton wayang bersama Adam. Namun semuanya bagaikan terlekat dikerongkong sahaja apabila melihat kebisuan Adam.
Ada juga bisikan jahat di fikirannya, apakah Adam sudah punya pengganti sepanjang di Chennai? Apakah Adam sudah beralih kasih? Kalau ya, kenapa Adam memilih untuk kembali ke Malaysia. Pasti lebih baik jika Adam meneruskan pengajiannya di Surrey. Segala prasangka bermain di fikirannya. Qistina sedih dan hiba sedangkan selama ini, puas dia menolak Adam jauh dari sisinya.
Qistina mendaftar masuk seawal pukul 9 pagi di Fakulti Kejuruteraan dan ditempatkan Kolej Beringin. Kolej Beringin tidak sebagaimana kolej siswi yang lain. Selain daripada agak jauh daripada kolej-kolej lain, Kolej Beringin juga kelihatan seperti kawasan perumahan kerana bentuknya seperti rumah berkembar dua tanpa pagar.
Suasana sekeliling sangat santai dan nyaman. Qistina terpegun. Setiap rumah di Kolej Beringin menempat lapan pelajar dan Qistina sangat bernasib baik kerana semua isi rumahnya adalah pelajar yang baru mendaftar masuk. Qistina ditempatkan di ruang tamu bersama tiga pelajar lain. Dua daripada mereka iaitu Nora dan Fairuz juga daripada Fakulti Kejuruteraan dan seorang lagi Syuhada dari Fakulti Perniagaan.
Qistina mengemaskan barang-barangnya dengan hati yang sangat kosong. Sesungguhnya dia terasa sangat kehilangan dan kesunyian walaupun persekitaran riuh dengan gelak ketawa. Ditinggalkan sendirian di bumi Arau benar-benar buatkan dia rasa kejauhan daripada semua yang disayanginya.
Qistina menarik nafas panjang dan melepaskannya, seakan satu keluhan.  Semuanya salahnya sendiri. Permintaannya untuk membawa hala sendiri selepas perkahwinan benar-benar dituruti Adam.
Untuk menarik balik kata-katanya, Qistina malu. Untuk menyesal, rasanya sudah terlambat. Adam meninggalkannya di Arau untuk meneruskan pengajian sedangkan Adam di Permatang Pasir. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata tanggunglah akibatnya.
Qistina mengeluh, mengenangkan kesilapan sendiri.

0 comments:

Followers