Total Pageviews

Izin ku pergi -2-

Thursday, February 24, 2011

| | |

Bab 2


Mac 1997…

Proton wira biru metalik ayah memasuki perkarangan sekolah baru Qistina, SEMENTAS. Bermacam-macam perasaan yang ada pada Qistina sekarang. Dia sendiri pun tak tahu apa sebenarnya perasaannya sekarang. Segala macam perasaan bercampur baur kini. Sedih juga apabila mengenangkan yang dia akan berpisah dengan ibu bapanya. Maklumlah tidak pernah berenggang kecuali seminggu dua, itupun untuk menyertai perkhemahan Rakan Muda.
Matanya ligat memerhati ke kiri dan kanan jalan. Ramai juga pelajar baru yang mendaftar sepertinya. Bermacam-macam ragam.
Selamat datang dunia baru. Moga aku tabah menghadapi cabaran hidup di sini. Doa Qistina di dalam hatinya, sendiri.
Qistina berjalan di sisi ibunya, Nurol Qasrina. Mereka menuju ke sebuah blok tiga tingkat yang diletakkan tanda yang ditulis “PENDAFTARAN PELAJAR BARU”. Qistina dan ibu memasuki kelas yang di lekatkan dengan kertas putih yang bertulis kejuruteraan elektrik, jentera dan awam manakala jurusan pertanian dan perdagangan pendaftaran di kelas sebelah. Seorang pengawas kelihatan garang dan juga seorang pegawai wanita… mungkin juga seorang guru tapi kelihatan cukup lembut berbanding pengawas perempuan yang berkulit gelap dan berkacamata itu.
Ibu duduk di atas kerusi yang disediakan di hadapan kaunter. Ibu menyerahkan segala dokumen yang diperlukan kepada pengawas perempuan yang sedang bertugas.
Fatin Najwa. Qistina membaca tag nama di kot biru tua pengawas itu.
“Nurol Qistina binti Syamsir Ammar, kelas 4KE2.” Qistina dan ibunya mengangguk.
“Terima kasih.” Balas ibu dengan lembut.
Fatin Najwa langsung tidak mengangkat muka. Sibuk mengisi data-data Qistina ke dalam borang sebelum dimasukkan ke dalam fail berwarna hijau muda yang mempunyai lambang sekolah dan tertulis ‘ORIENTASI’ di hadapannya.
Qistina membuntuti ibu yang berjalan berpandukan penanda-penanda jalan menuju ke kelas 4KE2. Qistina jatuh cinta dengan pemandangan persekitaran sekolah yang seperti di dalam taman itu. Mereka beriringan menuju ke bangunan empat tingkat dan mendaki sehingga ke tingkat teratas bangunan empat tingkat itu. Termengah-mengah juga Qistina dan ibunya menaiki bangunan empat tingkat itu.
Apa la malangnya nasib aku. Kelas ataih sekali. Rungut Qistina sendiri.
Kelihatan hanya ada beberapa orang sahaja di dalam kelas itu. Ibu merapati meja guru dan beratur di belakang dua orang lagi ibu. Qistina duduk di kerusi berhampiran dengan ibu namun pandangannya di halakan ke luar, ke arah sawah bendang. Asyik sekali dia dengan pemandangan sawah bendang yang menghijau dari tingkat tiga itu.
“Hai.” Qistina menoleh apabila di sapa.
Terkejut juga dia dibuatnya. Tercegat dihadapannya seorang gadis manis berkata mata. Qistina menghadiahkan senyuman buat gadis manis itu.
“Saya Nabila, dari Muar.” Gadis yang memperkenalkan dirinya sebagai Nabila itu menghulurkan tangan untuk bersalam.
Qistina menyambut baik huluran persahabatan daripada Nabila itu. Musuh jangan di cari. Itulah pegangan Qistina walau ke mana jua, persahabatan jua yang di cari.
“Qis….Qistina.” Qistina menoleh apabila mendengar suara ibu.
Qistina melambai kepada Nabila dan mereka berdua beredar dari kelas itu menuruni tangga.
“Ibu hantaq Qis masuk dorm dulu, simpan barang. Lepas tu pukoi dua kita ada taklimat kat dewan sekolah.” Qistina tunduk mendengar kata-kata ibu.
“Awat Qis diam?” ibu mengesan perubahan anak perempuannya itu.
Qistina menggelengkan kepalanya. Bukannya apa, cuma dia agak takut kalau-kalau tidak serasi untuk tinggal di asrama.
Ya Allah…Ya Tuhanku…berikanlah aku kekuatan menempuhi segala yang asing. Dan lindungilah aku daripada segala yang tidak diingini. Doa Qistina di dalam hati.
Qistina dan ibu melangkah masuk ke dalam dorm Teja yang menempatkan dua puluh orang pelajar di dalamnya. Qistina memanjatkan syukur di dalam hati kerana tiada pelajar senior yang bakal menghuni bersamanya di dalam dorm itu.
“Hai.” Dia disapa riang oleh pelajar yang berada di katil bersebelahan dengannya.
Qistina menghadiahkan senyuman buat teman barunya itu.
“Nama aku, Syiera.”
“Aku, Niza.” Sapa seorang lagi yang berada di sebelah kanan katilnya manakala Syiera berada di sebelah kiri katilnya.
“Qistina.” Jawab Qistina.
“Hangpa kelas mana? Kami dua orang kelas 4KE2” Syiera bertanya ramah.
“Aku pun.” Jawab Qistina.
Dia riang kerana sudah bertemu dengan tiga pelajar sekelas dengannya. Ibu juga rasa senang untuk meninggalkan Qistina kerana sudah punya teman yang nampaknya baik-baik belaka.
Qistina ternampak Nabila mengheret beg besarnya masuk ke dorm yang sama. Qistina melambai-lambai Nabila.
Nabila berjalan ke arah Qistina sambil terus mengheret beg besarnya dan diikuti oleh seorang wanita yang juga dilihatnya sewaktu di dalam kelas sebentar tadi. Ibunya barangkali.
“Katil atas awak kosong tak?” Tanya Nabila pada Qistina.
Qistina menjawab soalan Nabila dengan hanya gelengan sahaja menunjukkan bahawa katil atas masih tidak berpenghuni.
“Ha…Nabila. Depa ni pun kelas kita jugak.”
“Aku Syiera, ni Niza. Kami kelas 4KE2.” Syiera memperkenalkan dirinya dengan Niza kepada Nabila.
“Okay gak, ada kawan sekelas ye. Senang nak study.” Nabila menerima salam perkenalan yang dihulurkan oleh Syiera dan Niza.
“Anak-anak, cepat kemas. Sat gi nak pi dewan pulak ada taklimat. Nanti tak dan nak makan.” Ibu menyedarkan anak-anak itu yang asyik berbual dan berkenalan.
Qistina mengemaskan pakaian dan barang-barangnya sekadar mampu, juga mengalas katilnya dengan cadar warna putih berjalur hijau kuning dan bertulis SEMENTAS yang dibelinya di koperasi tadi. Semua yang berada di dalamnya juga melakukan yang sama. Sebagai tanda katil sudah mempunyai tuan.
Selepas makan di dewan makan, mereka berempat melangkah menuju ke dewan sekolah. Ibu meninggalkan Qistina dengan sebuah pelukan hangat dan ciuman di kedua belah pipi, kasih seorang ibu yang tidak sanggup berpisah sebenarnya. Qistina melambai ibu dan menahan air matanya daripada jatuh kerana dia tidak mahu menangis, walaupun dia sebenarnya seorang yang teramat mudah tersentuh.
Dia mahu menjadi seseorang yang baru, yang lebih kuat dan tabah. Mereka melangkah bersama-sama untuk mendengar taklimat dan kata-kata aluan juga ringkasan tentang program orientasi yang bakal ditempuhi mereka selama seminggu itu.
Qistina melihat Syiera dan Niza bagaikan kembar. Keriuhan mereka berdua memeriahkan sedikit sebanyak suasana walaupun dalam keadaan perlahan. Sekurang-kurangnya dia tidak berasa mengantuk kerana mendengar taklimat yang panjang lebar dari beberapa orang guru.
Nabila pula asyik sekali dengan taklimat sampai sedikit ternganga mulutnya. Nabila seorang amat memberi perhatian kepada apa yang dilakukan oleh dirinya dan juga orang yang berada di sekelilingnya. Pandangan pertama Qistina pada teman-teman barunya itu.
Mata Qistina melilau ke sana sini melihat teman-teman yang punya nasib dan rezeki samanya saat ini. Sama-sama bergelar pelajar baru SEMENTAS. Pelbagai bangsa dan juga berasal daripada pelbagai latar belakang berkumpul di dalam satu dewan dengan satu tujuan saat ini.
Dia mengharapkan sesuatu yang bersinar gemilang untuk masa depannya. Dia mahu jadi seorang anak yang dapat dibanggakan sebagaimana kakak dan abangnya yang mana kedua-duanya sudah menjawat jawatan yang baik. Kakaknya,Nurol Qamarina kini sudah bergelar jurutera kimia di Petronas dan abangnya Syamsir Adli baru pulang dari Jepun dan sudah bekerja dengan sebuah syarikat komputer di Kuala Lumpur sebagai seorang jurutera perisian komputer dan kini dia menyambung perjuangan kakak dan juga abangnya untuk menjadi seorang jurutera seperti yang diingini oleh bapanya yang juga seorang jurutera dalam bidang telekomunikasi.
Qistina meraup perlahan wajahnya. Mencari semangat dan juga kekuatan.

0 comments:

Followers